Home Blog Page 15

Siti Nurhaliza Amat Berharap Tourism Malaysia Beri Sokongan Konsert Tradisional Gema Bumantara Oktober Ini!

Oleh : Syed Yusof Wafa

Sungguh luar biasa, selepas mencipta sejarah menerusi konsert berskala besar yang mendapat sambutan luar biasa awal tahun ini, Biduanita Negara Siti Nurhaliza kembali menggembirakan peminat apabila mengumumkan penganjuran Konsert Tradisional Gema Bumantara yang bakal berlangsung pada 17 Oktober depan di TM Stadium Nasional Bukit Jalil.

Pengumuman tersebut dibuat menerusi perkongsian di Instagran miliknya baru-baru ini yang turut disertakan dengan sesi siaran langsung bersama peminat. Dalam siaran itu, Siti menghiburkan pengikutnya dengan mendendangkan lagu Joget Berhibur sebelum berkongsi berita istimewa mengenai konsert berkenaan.

Menurut Siti, penganjuran Konsert Tradisional Gema Bumantara merupakan hadiah istimewa buat peminat yang sentiasa menyokong perjalanan seninya selain usaha untuk mengangkat semula keindahan muzik tradisional agar terus relevan dan dihargai oleh semua lapisan masyarakat.

“Sebenarnya hari ini saya mahu kongsikan satu berita istimewa. Saya ingin umumkan Konsert Tradisional Gema Bumantara yang akan berlangsung di TM Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 17 Oktober.

Menurut Siti, penganjuran Konsert Tradisional Gema Bumantara merupakan hadiah istimewa buat peminat yang sentiasa menyokong perjalanan seninya selain usaha untuk mengangkat semula keindahan muzik tradisional agar terus relevan dan dihargai oleh semua lapisan masyarakat.

“Harap semua gembira dan apabila tiket mula dijual nanti, jangan lupa dapatkan. Kita raikan bersama irama tradisional menerusi Gema Bumantara,” katanya.

Tiket Konsert Tradisional Gema Bumantara Dato’ Sri Siti Nurhaliza kini telah dibuka untuk jualan umum. Peminat boleh mendapatkan tiket secara dalam talian menerusi platform rasmi Ticket2U, dengan beberapa kategori tempat duduk ditawarkan mengikut harga yang ditetapkan. Orang ramai disaran membuat pembelian lebih awal bagi mengelakkan kekecewaan memandangkan setiap konsert Siti sebelum ini sentiasa mendapat sambutan luar biasa daripada peminat.

Dalam perkongsian yang sama, penyanyi lagu Anta Permana itu turut menyampaikan serangkap pantun yang menggabungkan beberapa judul lagu tradisional yang cukup sinonim dengan dirinya sepanjang lebih tiga dekad bergelar anak seni.

“Kain Cindai bersulam sembilan,
Indah bagai Sahmura berwarna,
Hati Yang Rindu kita pertemukan,
TM Stadium Nasional bergema Bumantara.”

Siti berkata, konsert tersebut bakal menjadi platform untuk memperkukuhkan apresiasi masyarakat terhadap muzik tradisional yang menjadi antara khazanah seni paling berharga negara.

“Saya juga berharap Tourism Malaysia dapat memberikan kerjasama dalam mempromosikan Konsert Tradisional Gema Bumantara ini sebagai salah satu acara yang mampu memperkenalkan keunikan seni budaya Malaysia kepada pelancong tempatan dan antarabangsa. Mudah-mudahan usaha ini dapat bersama-sama mengangkat warisan muzik tradisional negara ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya kepada Wafa News yang ditemui di sidang media anjuran CocKoo baru-baru ini.

Menurutnya, irama tradisional bukan sahaja mempunyai nilai warisan yang tinggi malah perlu terus dipelihara dan diraikan supaya dapat diwariskan kepada generasi akan datang.

“Saya juga berharap Tourism Malaysia dapat memberikan kerjasama dalam mempromosikan Konsert Tradisional Gema Bumantara ini sebagai salah satu acara yang mampu memperkenalkan keunikan seni budaya Malaysia kepada pelancong tempatan dan antarabangsa. Mudah-mudahan usaha ini dapat bersama-sama mengangkat warisan muzik tradisional negara ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya kepada Wafa News yang ditemui di sidang media anjuran CocKoo baru-baru ini.

“Jangan lepaskan peluang untuk kita sama-sama meraikan irama warisan kita.

“Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas, selamanya menjadi nadi dalam suara tradisi zaman berzaman,” katanya.

Konsert Tradisional Gema Bumantara dijangka menjadi antara acara muzik terbesar tahun ini memandangkan Siti mempunyai rekod cemerlang dalam menarik kehadiran peminat ke setiap konsert yang dianjurkannya.

Pada 10 Januari lalu, beliau melakar sejarah apabila Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza berjaya menghimpunkan kira-kira 65,000 peminat di Stadium Nasional Bukit Jalil, sekali gus membuktikan pengaruh dan popularitinya yang terus kukuh dalam industri hiburan tanah air.

@divawafa Terbaik!… Konsert Tradisional Siti Nurhaliza Demi Budaya Bangsa & Negara Tercinta ! #sitinurhaliza #sitizoner #ctdk #gemabumantara ♬ original sound – KerokNasik🎧🎶

KRU Cafe, projek baharu KRU

Oleh: Khadijah Ibrahim

SELEPAS bertahun meneroka industri muzik tanah air, kini trio adik-beradik KRU, melangkah ke fasa baharu iaitu bidang Food & Beverage (makanan & minuman).

KRU yang dianggotai oleh Datuk Norman Abdul Halim, Datuk Yusry dan Edry mengumumkan yang mereka bakal membuka KRU Cafe iaitu sebuah konsep kafe yang menggabungkan pengalaman menjamu selera dan hiburan secara imersif, yang dijadualkan dibuka di Aneka Walk, Shah Alam pada suku ketiga tahun 2026.

Idea untuk mewujudkan KRU Café tercetus apabila KRU sendiri menyaksikan secara langsung betapa luar biasanya semangat dan sokongan yang terus diberikan oleh para peminat terhadap muzik mereka.

Kumpulan tersebut berjaya menjual habis lima konsert utama di Malaysia dan Singapura, manakala lagu-lagu mereka sekali lagi menduduki carta penstriman di Spotify dan Shazam.

Selepas bertahun dalam bidang muzik, kini KRU mahu jadi tauke kafe pula yang dijangka akan beroperasi pada suku ketiga tahun ini.

Video muzik serta kandungan berkaitan turut meraih jutaan tontonan di pelbagai platform digital, membuktikan fenomena KRU masih kekal utuh sehingga hari ini.

Dengan keterujaan peminat yang kembali memuncak, KRU melihat peluang untuk mewujudkan sebuah platform yang membolehkan hubungan dengan para peminat
diteruskan melangkaui konsert dan platform penstriman muzik.

Daripada situ lahirlah idea sebuah restoran bertemakan KRU yang meraikan perjalanan muzik mereka, membangkitkan nostalgia buat peminat setia, serta memperkenalkan legasi kumpulan ini kepada generasi baharu.

KRU Café pada akhirnya adalah tentang menghidupkan semula legasi mereka dengan
cara yang segar dan menarik, di mana para peminat dapat berhubung dengan muzik, kenangan dan semangat KRU dalam sebuah suasana yang benar-benar baharu.

Bagi merealisasikan visi tersebut, Sony Music Entertainment Malaysia Sdn Bhd, selaku syarikat yang menguruskan KRU, telah diberi tanggungjawab untuk menghimpunkan rakan-rakan strategik bagi menjayakan projek ini.

“Kami semua sangat teruja dengan projek ini sejak hari pertama lagi. Apa yang paling menarik perhatian kami ialah peluang untuk mengembangkan hubungan KRU dengan para peminat melangkaui muzik kepada satu pengalaman gaya hidup yang lebih imersif,” kata Pengarah Urusan Sony Music Malaysia, Kenny Ong.

Trio KRU akan melibatkan diri dalam bisnes F & B pula.

Di bawah kerjasama ini, TMG Ventures Sdn Bhd (TMGV), kumpulan hospitaliti yang
membangunkan beberapa jenama restoran termasuk The Majapahit, sebuah restoran fine casual, akan bertanggungjawab membangunkan serta menyusun keseluruhan penawaran makanan dan minuman untuk KRU
Café.

Menu yang bakal diperkenalkan dijangka menampilkan gabungan unik cita rasa Asia
Tenggara bersama pilihan hidangan barat yang popular, termasuk sajian panggang premium dan stik, sekali gus menawarkan pengalaman menjamu selera yang mampu memenuhi cita rasa pelbagai lapisan pelanggan.

Menyertai projek ini sebagai rakan strategik bagi operasi dan pengembangan ialah Babah Ventures Sdn Bhd (BBV), syarikat di sebalik jenama Nasi Padang yang mencipta fenomena,
Bumbu Babah, yang diasaskan bersama oleh selebriti Malaysia, Ajak Shiro.

Mengulas mengenai projek tersebut, ahli-ahli KRU menyatakan keterujaan mereka terhadap potensi yang dimiliki oleh KRU Café.

Edry yang kini hampir lima tahun bermastautin bersama isteri dan anak-anak di Manchester, United Kingdom berkata, KRU sentiasa bersyukur kerana dari dulu hingga kini sokongan daripada peminat tidak pernah putus.

“Kami sentiasa amat bersyukur atas kasih sayang dan sokongan yang telah diberikan oleh
para peminat sepanjang beberapa dekad ini.

“KRU Café merupakan satu lagi cara untuk kami terus berhubung dengan mereka sambil mencipta pengalaman yang lebih bermakna bersama,” katanya.

KRU Café bukan sekadar premis menyajikan makanan tapi juga sebagai pusat aktiviti para peminat.

Sementara Yusry pula berharap KRU Café bukan sekadar premis menyajikan makanan tapi juga sebagai pusat aktiviti para peminat.

“Kami juga berharap KRU Café dapat menjadi sebuah platform untuk mencungkil,
membimbing dan mengetengahkan bakat-bakat baharu.

“Lebih daripada sekadar sebuah tempat makan, kami membayangkan kafe ini sebagai ruang yang menghidupkan persembahan muzik, kolaborasi kreatif dan pelbagai aktiviti komuniti,” ujarnya.

Manakala Norman pula berharap bisnes baharu yang bakal diterokai itu mampu berkembang maju.

“Kami amat kagum dengan apa yang telah dicapai oleh Ajak dan pasukannya melalui Bumbu Babah. Membangunkan hampir 60 cawangan dalam tempoh kurang daripada dua tahun merupakan satu pencapaian yang luar biasa.

“Kami yakin sekiranya cawangan pertama menerima sambutan seperti yang kami jangkakan, KRU Café mempunyai potensi besar untuk berkembang ke seluruh Malaysia,” katanya penuh harapan.

Pengasas Babah Ventures, Ajak Shiro berkata, peluang untuk bekerjasama dengan KRU merupakan keputusan yang tidak sukar untuk dibuat.

“Apabila Sony Music pertama kali membentangkan projek ini kepada kami, kami bersetuju untuk terlibat sebelum mesyuarat pertama itu pun selesai. Ia merupakan satu penghormatan yang amat besar buat kami untuk bekerjasama dengan KRU.

“Mereka ialah legenda negara dan antara artis muzik paling berpengaruh yang pernah dilahirkan oleh Malaysia. Kami teruja untuk menggabungkan legasi luar biasa mereka
dengan pengalaman kami dalam membangunkan dan mengendalikan jenama-jenama
restoran,” jelas Ajak.

Fahami isi hati Nadeera, “Cuba Jadi Aku”

Oleh: Khadijah Ibrahim

SELEPAS berjaya mencipta fenomena luar biasa menerusi single “Bukan Lagi Kita” yang mencapai lebih 100 juta penstriman di semua platform digital dan juga mendominasi carta muzik tempatan kini Nadeera kembali dengan karya baharu.

Single terbaharu terbitan Rocketfuel Entertainment yang berjudul “Cuba Jadi Aku”, hadir sebagai sebuah karya yang sarat dengan emosi, kejujuran dan keberanian dalam meluahkan rasa yang sering terpendam.

Malah karya ciptaan Hael Husaini dan juga Iqie Hugh itu menampilkan sisi Nadeera yang lebih matang dan lebih berani dalam penceritaan kerana beliau juga terlibat dalam pembikinan lagu ini.

Untuk single baharu ini, Nadeera bukan sekadar menyanyi, beliau turut terlibat dalam proses pembikinan karya ini.

“Cuba Jadi Aku” mengangkat tema tentang luka yang ditinggalkan oleh seseorang yang pernah dicintai sepenuh hati. Dengan gabungan melodi pop balada kontemporari yang disuntik elemen rock moden serta susunan muzik yang dramatik,
lagu ini mampu menyentuh hati sesiapa saja yang pernah lalui situasi ditinggalkan.

Menurut Nadeera atau nama penuhnya, Farah Nadeera Zaini, 33, “Cuba Jadi Aku” merupakan antara karya yang paling dekat dengan dirinya kerana mesej yang dibawakan sangat jujur dan dekat dengan pengalaman ramai.

“Sewaktu pertama kali mendengar lagu ini, saya terus merasakan kekuatan emosinya. Saya percaya ramai yang pernah berada dalam situasi di mana mereka terluka tetapi sukar untuk meluahkan apa yang dirasai.

“Kadang-kadang kita cuma berharap orang yang menyakiti kita benar-benar memahami apa yang kita lalui. Itulah intipati lagu ini.

Lagu ini dekat dengan diri Nadeera kerana ia dicipta berdasarkan pengalamannya

“Saya sangat teruja untuk berkongsi “Cuba Jadi Aku” dengan semua peminat dan berharap ia dapat menyentuh hati mereka yang pernah melalui pengalaman yang sama,” katanya.

Bagi melengkapkan lagi penceritaan lagu ini, video muzik rasmi “Cuba Jadi Aku” menampilkan Bella Dowanna, Azri Safix dan Ariana sebagai watak utama dalam sebuah kisah cinta yang diuji oleh kehadiran orang ketiga.

Watak yang dibawakan oleh Ariana menjadi pencetus konflik dalam hubungan tersebut, sekali gus menghidupkan lagi emosi dan mesej yang ingin disampaikan menerusi lagu ini.

Sementara itu, Ketua Rocketfuel Entertainment, Mathan Rajasingam berkata, pihak Rocketfuel amat berbangga dengan perkembangan seni Nadeera yang terus menunjukkan peningkatan dari satu karya ke satu karya yang lain.

Nadeera harap lagu “Cuba Jadi Aku” mampu menarik perhatian ramai seperti karyanya sebelum ini

“Sejak awal lagi kami melihat potensi besar dalam diri Nadeera. Beliau mempunyai keupayaan luar biasa untuk menyampaikan emosi menerusi nyanyian dengan begitu jujur dan berkesan.

“Kejayaan “Bukan Lagi Kita” membuktikan kekuatan beliau sebagai seorang penghibur, dan kami percaya “Cuba Jadi Aku” akan memperlihatkan sisi Nadeera yang lebih matang dari segi vokal dan penceritaan.

“Kami juga sangat berbangga dengan pencapaian beliau yang semakin menyerlah termasuk peluang mewakili Malaysia di pelbagai pentas antarabangsa. Beliau bukan sahaja membawa nama Rocketfuel Entertainment, tetapi turut membawa nama negara dengan penuh cemerlang.

“Kami percaya “Cuba Jadi Aku” mempunyai semua elemen untuk menjadi sebuah karya yang dekat di hati masyarakat dan meneruskan momentum kejayaan yang telah dibina oleh Nadeera selama ini,” katanya.

Mariani, seniwati paling sejati

Oleh SYED WAFA
Foto Koleksi SYED WAFA/Ehsan Nazran HM Rohaizad Naz.
Sumber : Ladybosz (Terima Kasih Datuk Sri Rozita Ramelan)

WATAK jahat, hitam atau antogonis sama sahaja dan yang pasti ia memang tidak boleh dipisahkan daripada seniwati yang seorang ini. Sebabnya, pertama kali melangkah kaki ke dunia filem, watak itulah yang diberikan kepadanya dan hakikatnya beliau berjaya melakonkannya dengan berkesan!

Betapa tidak sebagai Mariana dalam “Chemburu” filem pertama lakonannya arahan S. Ramanthan terbitan tahun 1953, beliau bukan sahaja telah menambahkan seorang lagi seniwati yang dibenci para peminat filem Melayu kerana ‘kejahatannya’ selain Allahyarham Siput Sarawak, Allahyarham Normadiah dan Allahyarham Datin Umi Kalthum, malah filem tersebut juga dikatakan telah mencetuskan kontroversi kerana ada babak panas.

KEJELITAAN yang dimilikki tidak hairanlah apabila Mariani dimahkotakan sebagai Ratu Cantik Singapura pada tahun 1951.
GAYA seorang ratu cantik.

Itulah Allahyarham Seniwati Mariani atau nama sebenarnya Mariam Ismail dan kakak kepada Biduanita Negara, Allahyarham Puan Sri Saloma. Mariani yang dilahirkan di Tanjong Pagar, Singapura pada 20 April 1933, adalah anak kepada pasangan suami isteri, Ismail Osman dan Umi Kalsom Mahbon. Selain Saloma, beliau mempunyai dua orang adik sebapa iaitu Allahyarham Mimi Loma atau nama sebenarnya, Aminah dan Jasmaniah.

Sebelum menjadi pelakon, pada usia 17 tahun, Mariani telah dimahkotakan sebagai Ratu Cantik Singapura pada tahun 1951. Beliau adalah gadis pertama yang memenangi gelaran itu dan disebabkan pertandingan tersebut julung kali diadakan, Mariani tidak mewakili Singapura dalam mana-mana pertandingan yang diadakan di luar Singapura.

MARIANI sebagai wanita penggoda dalam filem lakonannya.
MARIANI…seniwati yang menjadi pujaan ketika itu.

Meskipun tidak berjaya ‘melebarkan sayapnya’ sebagai Ratu Cantik, namun dengan gelaran itu, ia telah membuka ruang buat Mariani yang merupakan antara gadis tercantik di Singapura untuk menjadi pelakon dan bergelar Seniwati apabila Sir Run Run Shaw pemilik Malay Film Production (MFP) menawarkannya berlakon.

Sayangnya tawaran itu ditolak mentah-mentah oleh Mariani kerana cita-citanya mahu menjadi doktor. Sebenarnya sejak kecil beliau sering bermain ‘doktor-doktor’ dengan adiknya, Saloma. Malah Mariani dikatakan telah mendaftar untuk belajar di Raffles Girls School. Tetapi cita-cita dan impiannya terpaksa dilupakan apabila Jepun menjajah Singapura pada tahun 1942.

MARIANI dan Ahmad Mahmud dalam satu babak filem “Dupa Cendana.
MARIANI dan Ahmad Mahmud sebagai pasangan kekasih dalam filem “Dupa Cendana.

Bagaimanapun setelah dua tahun tawaran itu datang lagi dan dengan pujukan Saloma yang yakin beliau boleh menjadi pelakon terkenal kerana memiliki seraut wajah yang menawan dan berkulit putih gebu, akhirnya Mariani bersetuju berlakon dalam filem “Chemburu.”

Bermula dengan “Chemburu” dan apabila berjaya menyantuni dengan baik wataknya dalam filem tersebut sebagai wanita jahat, bersifat pisau cukur, perampas teman lelaki wanita lain, perosak rumah tangga orang, Mariani dicop sebagai ‘wanita paling jahat’ dan menjadi kebencian para peminat filem Melayu.

MARIANI bersama Allahyarham Seniman Kuswadinata.
MARIANI dan P. Ramlee dalam satu babak filem “Labu Labi.”

Bermula dari itu, satu demi satu tawaran filem beliau terima antaranya pada tahun 1953, tiga lagi filem dilakonkan iaitu “Raja Sehari,” “Istana Impian” dan “Putus Harapan,” Mariani berlakon dengan kesinambungan watak yang menjadi kebencian para peminat filem Melayu tetapi dalam pelbagai ‘rupa dan gaya.’

Menurut Mariani, disebabkan penggambaran semua dilakukan di Studio Jalan Ampas beliau menjalani penggambaran sampai tiga ‘shift’ sehari hingga ke malam bagi memastikan filem berkenaan siap pada tarikh yang ditetapkan.

MARIANI bersama Allahyarham Haji Mahadi dalam satu babak filem “Tiga Abdul.”
MARIANI dalam satu babak filem.

Namun ‘kejahatan’ Mariani tidak terhenti setakat itu kerana satu demi satu tawaran filem diterima. Tetapi tidak pernah beliau menduga lakonannya dalam filem “Kembali Saorang” (1957) sebagai Rokiah yang menjadi penyebab Husin (Allahyarham Salleh Kamil) putus tunang dengan Aminah (Allahyarham Saadiah) setelah ditangkap polis telah melayakkan beliau menerima Anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Pesta Filem Malaya pada tahun 1957. Turut berlakon dalam filem arahan Ramon A. Estella, adalah Allahyarham Seniman Datuk Ahmad Mahmud.

Mariani turut menerima Anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Pesta Filem Malaya pada tahun 1958 kerana lakonannya dalam filem “Taufan.”

MARIANI berpasangan dengan adik iparnya, P. Ramlee dalam filem “Putus Sudah Kasih Sayang.”
P. RAMLEE bersama tiga bintang ternama Saloma, Allahyarham Latifah Omar dan Mariani yang terlibat dalam filem ‘Putus Sudah Kaseh Sayang’

Sejak itu, satu demi satu filem dilakonkan Mariani antaranya “Sultan Mahmud Mangkat Dijulang”(1961), “Labu Labi”(1962) “Bunga Tanjung, Darahku dan Nasib Si Labu Labi (1963), “Tiga Abdul dan Dupa Cendana” (1963), “Masam-Masam Manis”(1965) dan “Ahmad Albab”(1968).

Menceritakan pengalamannya sepanjang bergelar seniwati di zaman kegemilangan filem Studio Jalan Ampas, Mariani yang membahasakan dirinya ‘Mummy’ ketika saya temui beberapa tahun sebelum beliau meninggal dunia bercerita;

MARIANI kelihatan ayu apabila bergaya dengan selendang.

“Walaupun pada mulanya mummy tak mahu berlakon tetapi setelah filem pertama mummy mula merasa seronok. Apalagi selepas itu mummy berlakon tiga filem serentak.

“Mummy bukan setakat berlakon filem Melayu terbitan MFP, malah mummy pernah berlakon dua buah filem Cina yang mana salah satunya bertajuk ‘Black Gold.’

MARIANI bersama Seniwati Studio Jalan Ampas, Hashimah Yon, Zaiton dan Dayang Sofia.

“Kemudian mummy ditawarkan berlakon dua filem terbitan Filipina. Filem-filem ini semua terpaksa melalui proses ‘dubbing’ sebab manalah mummy tahu bercakap mandarin atau bahasa tagalog. Selepas filem itu, mummy ditawarkan berlakon tiga filem terbitan bersama Indonesia,” cerita beliau.

Bagaimanapun cerita Mariani sebelum beliau memasukki set penggambaran filem pertama lakonannya “Chemburu,” beliau diarah bertemu dengan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang merupakan salah seorang pengarah di Studio Jalan Ampas.

GAYA seorang seniwati hebat.

“Mummy sendiri tak tahu kenapa kena ‘mengadap’ P. Ramlee. Mulanya beliau bertanya nama mummy. Apabila mummy beritahu nama ‘Mariam,’ P. Ramlee kata nama itu tidak bagus dan beliau mahu mummy dikenali dengan nama ‘Mariani!’

“Mummy pun tak tahu kenapa beliau kata nama Mariam tak bagus. Tetapi sebelum mummy keluar dari studio beliau ingatkan mummy, dia tak mahu mummy masuk set penggambarannya.

MARIANI bersama Seniwati Dayang Sofia.

“P. Ramlee beritahu pihak studio mummy boleh berlakon tetapi dengan nama ”Mariani’ dan beliau ingatkan lagi tujuh tahun baru mummy boleh masuk set penggambarannya.

“Alhamdulillah…bukan tujuh tahun sebaliknya selepas sembilan tahun ‘diinterbiu’ akhirnya buat pertama kali mummy berpeluang berlakon dalam filem arahannya iaitu ‘Labu Labi’ (1962), ‘Tiga Abdul’ dan ‘Dupa Cendana'(1964) dan ‘Putus Sudah Kasih Sayang’ (1971).”

SENYUMAN yang memikat…Mariani.

Bagaimanapun kata Mariani, filem “Putus Sudah Kasih Sayang” filem arahan P.Ramlee terbitan tahun 1971 yang merupakan filem ke-24 lakonannya sejak mula berlakon pada tahun 1953 meninggalkan pelbagai kenangan sepanjang beliau menjadi ‘orang filem.’

Filem ini bukan sahaja pertama kali dan satu-satunya filem yang menemukan beliau dengan adik iparnya, P. Ramlee (Rostam) sebagai pasangan suami isteri malah telah melayakkan Mariani menggengam Anugerah Pelakon Wanita Terbaik pada Pesta Filem Malaya 1971/1972.

FOTO Mariani ini ditandatangani oleh beliau khas buat Wafa(Penulis)

Mariani sebagai Rosmah, isteri yang lumpuh kepada Rostam dalam “Putus Sudah Kasih Sayang” disantuni dengan begitu berkesan sehingga mampu membuat penonton larut dalam kesedihan dan jiwa seorang isteri dan wanita malang itu.

Rosmah bukan sahaja tidak mampu menjalankan tugasnya sebagai seorang isteri malah kekecewaannya semakin parah apabila mendapat tahu anak tunggalnya, Rizman (Allahyarham Bob Mustafa) menyintai Lisda (Allahyarham Seniwati Latifah Omar) perempuan kelab malam yang bakal menjadi madunya dan ibu tiri anaknya!

DI ZAMAN kegemilangannya, Mariani sering menjadi ‘cover gir’ majalah termasuk Majalah Arena Filem.

“Sampai hari ini mummy masih ingat satu babak Rosmah yang naik kerusi roda menangis kemudian jatuh tangga. Bayangkan beliau ambil masa enam hari untuk mendapatkan ‘shot’ mummy menangis dan Rostam akan mendukung Rosmah.

“Mummy memang mudah menangis dan ‘take’ pertama mummy dah menangis tetapi Ramlee tak ‘happy’ sebab dia kata ‘timing’ salah. Ramlee mahu mummy menangis apabila kamera betul-betul fokus dekat muka mummy.

SAAT bersejarah…Mariani dan Syed Mohd Hamid Syed Muhammad Al-Sagoff atau lebih dikenali HM Rohaizad pada hari pernikahan mereka pada tahun 1954.

“Bayangkan betapa sabarnya dia sampai enam hari asyik berulang ‘shot’ itu sampailah beliau dapat apa yang dimahukannya… airmata Rosmah jatuh apabila kamera betul-betul fokus pada mukanya!

“Setelah enam hari baru dapat ‘shot’ yang dia mahukan yang mana babak itu akan muncul hanya beberapa saat dalam filem, membuatkan kru kehairanan sambil bertanya beliau kenapa begitu sabar dan tidak marah-marah.

“Dengan perlahan beliau berkata ‘kakak ipar daa.” cerita Mummy sambil ketawa kecil.

MARIANI bersama suaminya, HM Rohaizad dan salah seorang anak mereka.

Menurut Mariani, beliau hanya berpeluang berlakon filem arahan P. Ramlee pada tahun 1962 (Labu Labi) setelah suaminya, HM Rohaizad meninggal dunia pada 17 Disember 1961 kerana serangan jantung.

“Mummy pun tak tahu kenapa tetapi mungkin Ramlee menghormati suami mummy yang sering menjadi Penolong Pengarah filem-filem arahannya,” kata Mariani yang dikurniakan enam orang anak sepanjang hidup bersama dengan HM Rohaizad.

MAJLIS persandingan Mariani dengan Mohamad Alias pada 8 April 1962.

Perjalanan seni seniwati hebat, Mariani tidak terhenti setakat itu malah selepas merangkul anugerah tersebut beliau terus melangkah tanpa menoleh ke belakang kerana tawaran demi tawaran berlakon diterima.

Mariani boleh dianggap sebagai seniwati yang serba boleh dan relevan walaupun tahun silih berganti kerana daripada seorang seniwati yang sinonim dengan watak jahat yang menjadi kebencian para penonton beliau mampu membuatkan penonton menangis melihat keluhuran hati dan pengorbanan seorang isteri dalam “Putus Sudah Kasih Sayang.”

MARIANI bersama anak yang baru dilahir, turut serta Saloma dan ibu mereka, Umi Kalsom Mahban.

Bermula dari tahun 1974 sehingga 2014, Mariani telah membintangi 22 filem antaranya”Setulus Hatimu,” (1974), diikuti “Detik 12 Malam” (1980), “Bayangan Cinta”(1987), “Kolej 56″(1989), “Operasi Cegah Jenayah”(1992) dengan filem terakhirnya “Cara Mengundang Hantu” (2014).

Selain menerima anugerah kerana lakonannya dalam filem “Kembali Saorang” dan “Putus Sudah Kasih Sayang,” pada Festival Filem Malaysia ke-25 (FFM25 – 2013), Mariani menerima Anugerah Khas Pencapaian Sepanjang Hayat.

MELISSA Saila turut meraikan kemenagan bonda tersayang, Mariani dinobatkan sebagai Tokoh Lakon Filem Melayu di malam Anugerah Tribute P. Ramlee di Angkasapuri,RTM.

Selain filem, Mariani juga ditawarkan berlakon drama dan lebih 20 drama dilakonkan bermula dengan “Intan” pada tahun 1970 dengan drama terakhirnya “Hello Mr. Perfect” (2015).

Disamping itu, Mariani turut berlakon hampir 20 telefilem dengan yang pertama “Jauh Pandangan” (1986 – TV1), “Aisah Lima Puluh Sen”
(2003), “Quran Buruk” (2004) dan drama terakhir “Dari Kerana Mata” (2015).

Seniwati Mariani mempunyai 13 orang anak melalui tiga perkahwinannya. Bersama suami pertama, Darus, beliau mendapat dua orang anak iaitu Noraini dan Normala.

MARIANI bersama antara anak kesayangan beliau.
MARIANI bersama salah seorang anak kembarnya, Syed Nazran. Gambar ini dirakamkan setahun sebelum beliau meninggal dunia
SYED Nazran (berkot hitam) dan isterinya bersama Dian P. Ramlee dan anak mereka Hazwady dan isterinya, Miria Soedarsoni dan cucu-cucu beliau.

Perkahwinan keduanya dengan pelakon, penolong pengarah, penulis lirik dan penulis lakon layar, HM Rohaizad atau nama sebenarnya, Syed Mohd. Hamid Syed Muhammad Al- Sagoff, pasangan ini dianugerahkan enam orang anak iaitu Sharifah Haslinda (Shasha), Sharifah Rozita, Syed Herwaini, pasangan kembar Syed Marhain dan Syed Nazran dan yang bongsu, Syed Hasmidan. Jodoh mereka tidak panjang apabila HM Rohaizad meninggal dunia kerana serangan jantung pada usia 35 tahun pada 17 Disember 1961.

Kemudian Mariani bertemu jodoh dengan Mohamad Alias. Daripada perkahwinan ketiga ini, mereka mendapat lima orang anak iaitu Iskandar Mierza, Sharoneirza, Ariff Efandi, Kamarul Ariffin dan Melisa atau lebih dikenali Melissa Saila.

SHASHA memegang sehelai daripada baju yang pernah dipakai Saloma ketika menyertai program TV.
Turut kelihatan Mariani dan Syed Wafa.

Melihat perjalanan seninya selama enam dekad yang telah membintangi lebih 50 filem, 20 drama dan telefilem ada peminatnya yang tertanya mengapa beliau tidak dianugerahkan bintang yang membawa gelaran Datuk, sambil tersenyum Mariani berkata;

“Mummy berlakon bukan kejarkan gelaran tetapi kerana rezeki dan bersyukur dengan bakat anugerah Allah. Mummy terima apa juga tawaran berlakon yang penting wataknya sesuai dan mencari rezeki yang halal.

“Walaupun mummy tak kaya tetapi rezeki itu berkat dan hidup mummy tidak melarat. Sebagai seniwati bermula dari Studio Jalan Ampas, mummy sentiasa menjaga imej dan penampilan mummy dan ia tidak perlukan beribu ringgit tetapi yang penting bergaya dan sedap mata memandang sesuai dengan umur mummy.”

Sebab itu tidak hairan para peminat yang terserempak dengan beliau kagum pada usia 81 tahun, Mariani tetap mengenakan mekap yang sederhana dan bergaya sebagai seorang seniwati.

INILAH baju yang pernah dipakai Saloma yang dihadiahkan oleh Mariani & Shashah kepada Wafa (Penulis)
ANTARA baju koleksi Biduanita Negara Puan Sri Saloma pemberian Mariani yang tersimpan rapi di Wafa Gellery.

Terlalu banyak kenangan saya (Penulis) bersama seniwati hebat ini. Beliau juga merupakan ibu angkat saya dan banyak rahsia diceriatakan kepada saya dan biarlah ianya terus menjadi rahsia buat kami berdua.

Paling indah beliau dan anaknaya Shashah Hamid menghadiahakan beberapa barangan peribadi milik P. Ramlee dan Saloma kepada saya antaranya surat nikah, kain sarung kesukaan P. Ramlee dan baju terakhir Saloma ketika beliau mengadakan persembahan di RTM. Kini semua koleksi tersebut saya simpan dengan rapi di Wafa Gellery milik saya.

KENANGAN akhir Wafa(Penulis) bersama bonda angkat tercinta beberapa hari sebelum beliau meninggal dunia.

Seniwati Mariani meninggal dunia pada usia 82 tahun kerana barah usus. Jenazah Allahyarham disemadikan berhampiran pusara P. Ramlee dan adiknya, Saloma di Tanah Perkuburan Islam Ampang pada 1 Disember 2015.

Kami di Ladybosz mendoakan semoga roh beliau sentiasa dirahmati Allah…Amin.

SYED Wafa menabur bunga mawar di pusara Allahyarham Mariani.

Kredit: Terima kasih Ladybosz.com dan Dato Seri Rozita Ramelan

Program REAKASIH 2026, bukti REA EMPIRE ambil berat perihal anak yatim

Oleh: Khadijah Ibrahim

PADA 5 Julai baru-baru ini, penulis berpeluang mengunjungi Rumah Kasih Harmoni (RKH), Paya Jaras di bawah naungan Persatuan Pengurusan Anak Yatim Malaysia (PEYATIM), yang menempatkan seramai 57 anak lelaki dan 53 anak perempuan.

Kehadiran ke situ adalah untuk melihat siri pelaksanaan program anjuran REA EMPIRE dengan PEYATIM iaitu Program REAKASIH 2026, sebuah inisiatif kebajikan dan tanggungjawab sosial yang memberi fokus kepada golongan yang memerlukan.

Program yang berlangsung dari 21 Jun 2026 hingga 27 Disember 2026 ini merupakan usaha REA EMPIRE untuk menyumbang kembali kepada komuniti melalui pendekatan yang lebih dekat dengan masyarakat, khususnya dalam memberi pengalaman positif serta meningkatkan keyakinan diri golongan kurang berkemampuan.

Menerusi REAKASIH 2026, REA EMPIRE menyediakan perkhidmatan gunting dan penggayaan rambut secara percuma kepada anak-anak yatim, warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU), golongan asnaf serta keluarga berpendapatan rendah.

Wakil The Scissor Barbershop turut terlibat dalam program REAKASIH 2026 sedang gunting rambut dan dandanan secara percuma kepada salah seorang anak-anak badan amal Rumah Kasih Harmoni.

Perkhidmatan ini akan dikendalikan oleh barisan barber muda dan pakar penggayaan rambut dari seluruh Malaysia yang tampil secara sukarela bagi menjayakan misi kemasyarakatan ini.

Antara pasukan barber yang terlibat dalam menjayakan inisiatif tersebut adalah The Scissor Barbershop yang dimiliki EFF Faizal Sarwati, Hit Barber (Watie Zainal) dan Hauz Salon (Vivitha Naidu) yang tampil menyumbangkan kepakaran mereka dalam memberikan perkhidmatan gunting rambut dan dandanan secara percuma kepada anak-anak di rumah badan amal itu.

Selain perkhidmatan penjagaan rambut, program ini turut merangkumi penyediaan dan pengagihan pek makanan, sesi motivasi serta ramah mesra bersama anak-anak yatim, di samping aktiviti kemasyarakatan yang melibatkan komuniti setempat.

Antara matlamat utama REAKASIH 2026 adalah untuk membantu meringankan beban kos sara hidup golongan kurang berkemampuan, memupuk budaya kesukarelawanan serta memperkukuh hubungan antara organisasi, komuniti dan institusi kebajikan.

Ella Ali akan gunting rambut mengikut kehendak anak-anak Rumah Kasih Harmoni, khas untuk budak perempuan saja.

Pengurus Operasi Program REA EMPIRE, Ella Ali berkata, Program REAKASIH 2026 diwujudkan sebagai salah satu tanggungjawab sosial REA EMPIRE untuk memberi kembali kepada masyarakat.

“Bagi kami, penjagaan rambut bukan sekadar tentang penampilan, tetapi juga berkait rapat dengan keyakinan diri dan emosi seseorang.

“Kami percaya bahawa penampilan yang kemas dan keyakinan diri yang tinggi boleh memberi impak positif kepada seseorang, terutamanya anak-anak yatim.

“Melalui program ini, kami ingin berkongsi rezeki, menyebarkan kasih sayang dan memberikan pengalaman yang bermakna kepada mereka,” kata Ella.

Menurut Ella lagi, REA EMPIRE juga mempunyai pengalaman dalam menjalankan inisiatif kebajikan seumpama itu sebelum ini.

Pengarah REA EMPIRE, bersama Setiausaha Agung PEYATIM, dan pegawai akauntan PEYATIM, Noryati Ab Ghani menyerahkan sijil penyertaan kepada pihak Hauz Salon.

“Sebelum ini kami telah melalui kerjasama bersama beberapa barbershop dan komuniti setempat bagi memberikan perkhidmatan gunting rambut secara percuma kepada golongan yang memerlukan .

“Reaksi daripada para barber sangat positif kerana mereka berpeluang menggunakan kemahiran mereka untuk tujuan kebajikan. Manakala bagi anak-anak yatim pula, mereka kelihatan gembira dan lebih berkeyakinan selepas menerima guntingan rambut serta dandanan yang kemas.

“Senyuman serta kegembiraan mereka menjadi motivasi untuk kami meneruskan program seperti ini pada masa akan datang,” katanya penuh semangat.

Selain gunting rambut dan styling, REAKASIH 2026 turut mengandungi pelbagai pengisian seperti sesi ramah mesra bersama peserta, pemberian sumbangan atau hadiah, aktiviti motivasi ringkas, sesi bergambar serta perkongsian mengenai penjagaan diri dan kebersihan.

Jelas Ella, pengisian tersebut bertujuan untuk mewujudkan suasana yang ceria serta memberikan pengalaman yang lebih bermakna kepada anak-anak yang terlibat.

“Kepuasan terbesar bagi kami adalah apabila melihat senyuman dan keyakinan yang terpancar pada wajah anak-anak selepas program selesai. Selain membantu mereka dari segi penampilan, kami juga dapat memberi perhatian, kasih sayang dan sokongan moral kepada mereka.

Setiausaha Agung PEYATIM, Bedollah Botok menyerahkan cenderamata kepada Pengarah REA EMPIRE, Fairuz.

“Bagi REA EMPIRE, kejayaan sebenar bukan hanya dalam perniagaan, tetapi apabila kami dapat memberi manfaat kepada masyarakat dan membawa kegembiraan kepada mereka yang memerlukan,” jelasnya.

Program tersebut turut memberi perhatian khusus kepada lebih 1,500 anak yatim di bawah naungan PEYATIM, dengan harapan dapat memberikan bukan sahaja bantuan fizikal, tetapi juga sokongan emosi, motivasi dan suntikan semangat agar mereka lebih yakin dalam mengejar impian serta masa depan yang lebih baik.

Acara amal ini turut diserikan dengan kehadiran Pengarah REA EMPIRE, Datuk Fairuz, bersama Setiausaha Agung PEYATIM, Datuk Bedollah Botok, serta Penolong Setiausaha Agung PEYATIM merangkap Pengerusi RKH, Jamaluddin Wahab.

Turut hadir mewakili PEYATIM ialah Noryati Ab. Ghani, Wan Rozana Wan Abdullah dan Nurul Fatihah Mohd. Sofian, yang bersama-sama menyantuni para peserta serta menunjukkan komitmen berterusan PEYATIM dalam menyokong pelaksanaan Program REAKASIH 2026.

Dalam pada itu, pihak PEYATIM menyambut baik kerjasama bersama REA EMPIRE menerusi Program REAKASIH 2026 dan memainkan peranan sebagai penyelaras projek bagi memastikan kelancaran pelaksanaan program tersebut.

Sementara itu, Setiausaha Agung PEYATIM, Datuk Bedollah Botok pula berkata, pihak mereka bertanggungjawab membantu mengenal pasti asrama-asrama yang bersesuaian untuk menyertai program ini berdasarkan ketetapan serta keperluan yang telah ditetapkan oleh pihak REA EMPIRE.

Anak-anak yatim Rumah Kasih Harmoni (RKH), Paya Jaras bersama sukarelawan yang terlibat dalam program REAKASIH 2026.

PEYATIM turut bertindak dalam penyusunan jadual serta giliran penyertaan setiap asrama bagi memastikan perjalanan program dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan lancar.

“Asrama yang dipilih adalah terdiri daripada asrama-asrama di bawah naungan PEYATIM, khususnya yang berada dalam lingkungan radius 100 kilometer daripada ibu pejabat PEYATIM bagi memudahkan penyelarasan, pengurusan logistik serta kelancaran pelaksanaan program.

‘Pelaksanaan program REAKASIH 2026, akan dijalankan secara berperingkat mengikut lokasi dan jadual yang telah ditetapkan, dengan penglibatan para sukarelawan, komuniti setempat serta rakan strategik yang menyokong usaha kebajikan ini,” kata Bedollah.

Bagi REA EMPIRE, mereka berharap REAKASIH 2026 dapat menjadi platform yang menyemai nilai kasih sayang, keprihatinan dan tanggungjawab sosial dalam masyarakat, selain membuka ruang kepada lebih banyak kerjasama kebajikan pada masa akan datang.

Melalui usaha ini, REA EMPIRE berhasrat untuk menjadi pemangkin kepada budaya saling membantu dalam membina sebuah komuniti yang lebih prihatin, sejahtera dan penuh nilai kemanusiaan.

REA EMPIRE turut mengalu-alukan kerjasama daripada rumah kebajikan, pusat jagaan anak-anak yatim serta organisasi yang memerlukan khidmat dan sokongan menerusi Program REAKASIH 2026.

Mana-mana pihak yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan kebajikan ini atau ingin bekerjasama bersama REA EMPIRE boleh menghubungi talian 019-466 0000 untuk maklumat lanjut.

Busana Kitar Semula ‘Eco Futuristik Lestari’ Juara Persona Lestari FELDA

Oleh : Nafsiah Jani

JENGKA, 8 Julai – Kreativiti mengubah bahan buangan menjadi busana berkonsepkan futuristik dan mesra alam membolehkan Norliyana Mohd Ridzuan Shah, 23, dinobatkan sebagai juara pertandingan Persona Lestari yang berlangsung sempena Hari Peneroka FELDA dan Sambutan 70 Tahun FELDA di Stadium Tun Abdul Razak (STAR), Jengka.

Pelajar Kursus Jahitan Tahap 2 dari Kolej Yayasan FELDA Negeri Sembilan itu berjaya menewaskan 16 peserta lain menerusi rekaan bertemakan “Eco Futuristik Lestari”, yang menggabungkan elemen kelestarian, teknologi moden dan dunia fantasi hasil inspirasi daripada filem Barbie dan Aquaman.

Pertandingan bertemakan “Kreatif Minda, Inspirasi Kelestarian” itu dianjurkan oleh Jabatan Penyelidikan, Pembangunan dan Kelestarian FELDA bagi memupuk kesedaran mengenai kepentingan amalan kitar semula serta mencungkil bakat dan kreativiti generasi muda FELDA.

Naib juara dengan tema Queen Of Leopard

Sebanyak 17 rekaan kreatif dipertandingkan sepanjang program itu, terdiri daripada Sisik Pheonix, Eco Futuristik Lestari, Eco Royale Half Saree, Queen of Leopard, Simba ‘Tradisional Suku Murut’, The Elegance of Sustainability, The Executive Avant-Garde, Aurelia Samudera, Cowboy, The Boogieman, Perfect World, Fire Girl, King of the Luminous Abyss, Recycle Cyndy, Princess Floriana, Shogun dan Ocean Classic.

Walaupun berdepan persaingan sengit daripada pelbagai rekaan unik yang menampilkan konsep budaya, alam semula jadi, fantasi dan fesyen moden, Eco Futuristik Lestari berjaya memikat hati panel juri menerusi penggunaan bahan kitar semula yang kreatif, kemasan yang teliti serta penyampaian mesej kelestarian yang jelas.

Norliyana berkata, hampir keseluruhan busana dihasilkan menggunakan bahan-bahan terpakai yang diberikan nafas baharu tanpa mengorbankan nilai estetika.

Tempat ketiga dengan tema The Elegance of Sustainability

“Baju terpakai dijadikan asas pakaian, manakala guni dan lebihan kain lining digunakan untuk menghasilkan skirt. Kotak telur pula dibentuk menjadi bunga pada bahagian badan pakaian, sementara bungkusan plastik aluminium dijadikan korset dan hiasan tambahan.

“Pinggan plastik yang dipotong menyerong digunakan bagi menghasilkan imej sisik ikan pada skirt, manakala beg plastik sampah dipotong menjadi helaian yang membentuk ekor ikan duyung.

” Botol plastik pula dipotong menjadi kepingan bagi menghasilkan kesan ekor yang lebih kembang, selain lebihan beg plastik dijadikan leretan ekor di bahagian belakang skirt yang diinspirasikan daripada gaya tocang watak Barbie,” katanya lagi.

Antara pakaian bahan buangan berkonsepkan futuristik dan mesra alam yang dipertandingkan.

Tanbahnya lagi,”Bagi melengkapkan konsep bawah laut futuristik, sudu plastik disembur warna bagi menghasilkan hiasan menyerupai cengkerang, origami tapak sulaiman dihasilkan menggunakan lebihan kertas warna.

“Rekaan sayap belakang daripada kotak dan kadbod, selain penggunaan penutup botol, straw, batang aiskrim, kepingan cermin DIY dan lebihan pinggan plastik yang dibentuk menjadi corak geometri sebagai simbol teknologi moden yang diinspirasikan daripada dunia Aquaman.

“Mahkota pula daripada cekak terpakai yang dihiasi straw, dawai bulu dan bunga pom-pom daripada lebihan plastik.

Antara fesyen bahan buangan yang diperagakan.

“Perisai tangan daripada kadbod yang dihiasi kepingan botol plastik, pinggan plastik serta sudu plastik berbentuk penyu. Malah, aksesori tanglung yang diperbuat daripada cawan kertas bertingkat, bunga ros daripada surat khabar, sudu plastik berwarna dan lampu hiasan (fairy light) menambahkan lagi keunikan persembahan.”

Norliyana berkata, kejayaan itu membuktikan bahan-bahan yang sering dianggap sebagai sampah sebenarnya mampu diubah menjadi karya fesyen yang mempunyai nilai seni dan mesej kelestarian.

“Saya berharap hasil rekaan ini dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai golongan muda supaya lebih menghargai alam sekitar serta melihat bahan buangan.”

Pertandingan itu disertai pelajar daripada Kolej Yayasan FELDA Negeri Sembilan yang mengikuti pelbagai bidang pengajian termasuk Kursus Jahitan Tahap 2, dialisis, kecemasan dan pengurusan pejabat, dengan hanya sembilan peserta terdiri daripada pelajar kursus jahitan.

Model-model peragaan bergambar kenangan bersama panel juri selepas pertandingan.

Panel juri terdiri daripada Pengarah Jabatan Penyelidikan, Pembangunan dan Kelestarian FELDA, Hazaril Haizat Md Akil; Timbalan Pengarah Bahagian Latihan Jabatan Pengurusan Modal Insan (JPMI) FELDA, Helwani Lukman; serta Pengetua Kolej Yayasan FELDA Negeri Sembilan, Nur Aida Mohd Sabri.

Majlis turut dihadiri Pengarah Operasi Perladangan FELDA yang menjalankan tugas Timbalan Pengarah Besar Perladangan FELDA, Razuwan Che Ros, bersama barisan pengurusan FELDA.

Penganjuran Persona Lestari bukan sekadar pertandingan fesyen, malah menjadi platform pendidikan yang menggalakkan inovasi, kreativiti dan penggunaan semula bahan buangan sebagai usaha menyokong agenda pembangunan lestari serta menyemai budaya cintakan alam sekitar dalam kalangan generasi muda FELDA.

M.Nasir berjaya pikat jiwa penonton

Oleh: Khadijah Ibrahim

BERMULA 2024 hingga kini, setiap tahun maestro muzik tanah air, Datuk M.Nasir tidak pernah jemu menghibur peminat-peminatnya dengan menjayakan konsert berskala besar.

Beliau yang sinonim dengan jenama ‘Cipta’ itu telah menjayakan empat edisi konsert iaitu M.Nasir CIPTA 1 pada Ogos 2024 dan pada tahun yang sama juga berlangsungnya konsert M.Nasir CIPTA 2 (Oktober) dan edisi istimewa Cipta Raya pada 13 April 2025 di Zepp Kuala Lumpur.

Manakala konsert N46IR CIPTA 3 pula berlangsung pada 27 September 2025 di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur dengan tema “Malam Ini Gua Rock”.

Penyanyi jemputan spontan, Siti Nurhaliza tidak menolak pelawaan M.Nasir untuk beraksi di pentas bersamanya.

Siri konsert tersebut diteruskan lagi dengan edisi Konsert DATO’ M. N47IR CIPTA 4 yang diadakan pada 4 Julai 2026 di Unifi Arena Kuala Lumpur, sebagai meraikan 47 tahun pembabitan seni beliau.

Meskipun pernah menonton persembahan M.Nasir atau Mohamad Nasir Mohamed, 68, sebelum ini, rata-rata yang hadir dengan busana tema batik masih juga kelompok yang sama.

Bagi mereka lagu-lagu dendangan M.Nasir tidak pernah jemu didengar kerana setiap karya ciptaan beliau mempunyai ceritera tersendiri.

Awie berduet sebuah lagu dengan M.Nasir dan menyanyi solo untuk lagu Istana Menanti.

Pada malam CIPTA 4, M.Nasir yang pernah menganggotai kumpulan Kembara bersama Allahyarham A.Ali dan S.Sahlan, memulakan persembahan dengan lagu popular trio tersebut, Ekspres Rakyat yang pernah meraih Anugerah khas di Pesta Lagu-Lagu Pop Aswan di Bangkok, Thailand pada 1982.

Kemudian diikuti dengan lagu Hati Emas yang merupakan lagu daripada album sulung Kembara yang dikeluarkan pada 1981, manakala Perjuangan merupakan lagu yang dipetik daripada album kedua Kembara pada 1982.

Menariknya sewaktu M.Nasir menyanyikan lagu ciptaannya Aku Dah Bosan yang diberikan kepada Amy Search yang terdapat dalam album solo Amy iaitu, Magic, kedengaran berbeza. Selaku komposer tersohor, setakat nak buat susunan muzik baharu untuk lagu ciptaannya sendiri bukan masalah untuknya.

Melly Goeslaw sudah lama mengagumi kebolehan M.Nasir.

“Terima kasih semua kerana sudi datang. Hari ini kita ada penonton yang lembik. Jerit sikit kasi tenaga. Malam ini kita ada lagu-lagu karaoke. Mari kita nyanyi bersama,” kata beliau sebelum memulakan lagu-lagu hits ciptaannya.

Untuk segmen medley karaoke, lagu-lagu yang dinyanyikan merupakan karya ciptaannya untuk kumpulan Ekamatra (Sentuhan Kecundang), Mega (Sekuntum Bunga Sakura Di Gurun Sahara), Spring (Sampai Hati) dan Datuk Jamal Abdillah (Azura).

Jika sesebuah karya yang dicipta itu berkualiti dan sedap didengar, tak kiralah siapa pun penyampainya, orang yang telah jatuh cinta dengan lagu-lagu tersebut tetap terhibur.

Ziana Zain juga dipanggil untuk berduet dengan M.Nasir.

M.Nasir merupakan antara insan teristimewa kerana beliau bukan saja boleh mencipta lagu, malah mendendangkan lagu dengan baik.

Di konsert itu juga, M.Nasir yang menyambut ulang tahun kelahiran (4 Julai 1957) turut dirai di pentas bersama rakan-rakan artis yang hadir dan membuktikan beliau masih mampu menjadi rocker.

Untuk itu beliau mendendangkan lagu-lagu ciptaannya yang diberikan kepada kumpulan Search iaitu Fenomena, Musnah dan Pembakar Semangat.

M.Nasir masih boleh menyanyi sambil menari.

“Terima kasih kerana sanggup tinggal rumah yang empuk, semata-mata datang nak tengok Atuk ini menyanyi,” guraunya dengan penonton.

Untuk segmen medley kedua, M.Nasir memilih lagu-lagu hit yang pernah dicipta untuk Datuk Awie (Ukiran Jiwa), Datuk Hattan (Dari Kekasih Kepada Kekasih), Allahyarham Datuk Sudirman (Milik Siapalah Gadis Ini) dan Rahim Maarof (Jangan Kau Rayu).

Kalau ikutkan pengumuman rasmi yang dikeluarkan oleh penganjur Icon Entertainment, artis undangan untuk CIPTA 4 hanyalah Awie dan Melly Goeslaw.

Bersama barisan pemuzik yang mengiringi persembahannya.

Namun pada malam itu, secara spontan ditambah lagi dua orang penyanyi jemputan yang hadir sebagai penonton tapi tidak menolak apabila diajak M.Nasir untuk berduet.

Mereka yang tidak ‘berkira’ tenaga itu ialah Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menerusi lagu Bagaikan Sakti dan Ziana Zain untuk lagu Halaman Asmara, duet Ziana bersama Awie.

Kata Siti, demi seorang legenda yang beliau hormati, tambahan pula di hari kelahiran M.Nasir yang dianggap sifu, beliau tidak menolak ajakan tersebut. Malah Siti sempat berseloroh untuk mereka menjayakan konsert bersama nanti.

Bersama Awie, M.Nasir berduet lagu Ghazal Untuk Rabiah yang dirakam bersama Jamal Abdillah sebelum ini. Malah bersama Melly pula lagu gandingan mereka adalah Suatu Masa dan Fantasia Bulan Madu.

Merai M.Nasir sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-68 pada 4 Julai 2026.

“Saya ikuti perjalann seni Datuk M.Nasir sejak dia pertama keluar dalam hiburan. Saya jatuh cinta dengan beliau sebab lagu ini (Suatu Masa).

“Saya idolakan Datuk kerana seni itu bermain dengan hati dan menyapa hati, itulah yang Datuk lakukan. Lagu yang menyentuh hati tak banyak. Tapi hasil kerja Datuk mampu menyentuh hati,” kata Melly.

Persembahan M.Nasir pada malam itu turut diserikan dengan kolaborasi bersama De’Vokalis koir dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
Untuk lagu Andalusia dan Berikan Nurbisa.

Awie ‘langgar’ nasihat doktor demi tugas

Oleh: Khadijah Ibrahim
Foto: Alang Nordin

PENYANYI rock Awie bersyukur kerana berjaya menghibur peminat-peminat yang hadir menonton showcase eksklusif “Wings Sunday Night Live” yang berlangsung di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur, pada 5 Julai, baru-baru ini.

Awie melahirkan rasa syukur kerana dalam keadaan kesihatannya yang tidak sihat, beliau mampu mendendangkan 18 buah lagu dalam tempoh dua jam persembahan.

Showcase anjuran kerjasama Awie Entertainment, Hard Rock Cafe Kuala Lumpur dan RPM Label, sempena promosi album terbaharu Wings, yang bermula jam 10.26 malam itu berjaya menghiburkan penonton dengan rangakain lagu-lagu baharu dan popular Wings.

Awie menghiburkan peminat-peminat yang hadir menonton showcase “Wings Sunday Night Live” di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Antara lagu yang di persembahan pada showcase tersebut adalah Dari Tuhan, Entah Kiri Entah Kanan, Tirai Horizon, Hutan Simpan, Ingatkan Dia, Kalifah Empat, Sekeping Kertas Bermaruah, Hukum Karma, Sayap Ilusi, Malam Gelisah, Peronda Jaket Biru, Opera Hidup, Awang Thrasher, Sejati, Misteri Mimpi Syakilla dan Di Ambang Wati sebagai penutup persembahan

“Alhamdulillah, saya bersyukur dapat habiskan kerja. Yang penting kerja habis. Saya tak tahulah macam mana bunyi dekat depan tu. Dekat atas ni (pentas) saya rasa okey. So alhamdulillah, Tuhan bantu.

“Sebenarnya, dah sebulan lebih, dekat dua bulan juga saya tak sihat. Tadi tu pun saya rasa suara saya kedengaran sengau. Hidung saya macam kena blok.

Selain mendendangkan rangkaian lagu popular Wings, Awie turut menyanyikan lagu-lagu baharu kumpulan tersebut.

“Saya ada masalah dengan paru-paru kerana bronkitis, sebab tu saya kena masuk wad, tiga hari doktor tak bagi keluar tapi disebabkan kerja saya terpaksa keluar wad juga.

“Jadi, alhamdulillah lah. Dalam, tak berapa sihat 100 peratus, boleh juga selesaikan tugasan. Saya kena tahan di hospital minggu lepas. Lepas tu saya kena pergi ke Terengganu, ke Kuantan. Saya balik tu saya kena masuk balik sebenarnya.

“Tapi saya pergi ambil nebulizer. Ambil, repeat… Repeat doktorlah. Esok appointment doktor lagi. So memang kena turutkan. Ada tiga empat doktor yang jaga. Tapi okeylah,” jelas Awie tentang kesihatannya yang hingga kini masih perlu pemantauan.

Showcase itu dianjurkan hasil kerjasama Awie Entertainment, Hard Rock Cafe Kuala Lumpur dan RPM Label sempena promosi album terbaharu Wings, selain menjadi platform memperkenalkan karya-karya baharu kumpulan tersebut kepada peminat.

Walaupun persembahan hanya bermula kira-kira jam 10.30 malam, penonton tetap setia menunggu kemunculan Wings.

Meskipun sedar akan konsekuensi yang bakal ditanggung jika tersilap langkah (doktor nasihat berehat) tapi disebabkan sudah terikat dengan tanggungjawab, Awie reda saja.

“Memang berisiko. Sebenarnya benda ni jangan main-main. Bila lung infection, dia ada yang kena tidur, ada yang ditidurkan pun ada. Tapi saya dah dua bulan on and off. Dia kejap okey.

“Di Singapura hari tu pun sama juga. Tapi pasal saya kena kerja, saya kena kuat, jadi saya kena layan benda-benda ni lah. Untuk konsert Datuk M.Nasir tu waktu rehearsal saja dah batuk teruk, tapi malam tu okeylah.

Pada 12 Julai ini, Wings akan beraksi di Hard Rock Cafe Melaka pula.

“Memang perlukan rawatan yang lama dan sepatutnya berehat. Ikutkan doktor tak bagi keluar wad sebab saya masih lagi dalam rawatan kan. Jadi sekarang ini saya kena ulang-alik hospital dan ambil nebulizer,” jelas Awie.

Selesai showcase di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur, pada 12 Julai ini, siri “Wings Sunday Night Live” akan diteruskan di Hard Rock Cafe Melaka.

Wings yang turut dianggotai oleh Edrie Hashim (gitar), Sham (gitar), Ilham Ishak (bes) dan Pae (dram) akan menjayakan Konsert 3 Veto bersama kumpulan Search (barisan KiDin bersama vokalis Pasya) dan XPDC di Mega Star Arena Kuala Lumpur pada 1 Ogos depan.

Showcase JRNL, berhibur sambil beramal

Oleh: Khadijah Ibrahim

SEBELUM ini penonton sudah beberapa kali hadir menonton persembahan pelbagai penyanyi yang menjayakan Showcase Amal Artis Legenda dari siri 1.0 hinggalah ke 4.0 anjuran Nizam Laksamana Production.

Namun memasuki tahun kelima, Zulremy Daud dari Zara Event Management selaku pengurus dan penerbit acara yang dari awal bersama Nizam Laksaman mengambil keputusan menukar jenama Showcase Amal Artis Legenda kepada Showcase Jiwa Rasa Nizam Laksamana & Kawan-Kawan.

Jelas Zulremy, beliau memilih menggunakan nama siri berbeza kali ini sebagai penghargaan kepada Nizam Laksamana atas usaha gigih beliau menganjurkan siri showcase yang terdahulu.

Zulremy Daud dari Zara Event Management selaku pengurus dan penerbit showcase (kiri) harap ada syarikat dan korporat yang sudi membantu membeli jualan meja yang dijual.

Tambahannya, beliau sering melihat sikap kasih sayang yang lahir dari jiwa Nizam apabila beliau mudah tersentuh hati kepada rakan-rakan yang ‘struggle’ untuk meneruskan kehidupan apabila dihimpit masalah kesihatan mahupun kewangan.

“Melihat anak-anak kecil yang diuji dengan pelbagai masalah kesihatan, anak-anak Autisme dan OKU (Orang Kurang Upaya) dan anak-anak yang menghidap kanser, ia sangat meninggal kesan kepada perasaan dan kehidupan beliau dan juga diri saya sendiri.

“Dengan adanya sumbangan sedikit sebanyak dapat membantu pusat jagaan anak-anak ini untuk meneruskan kelangsungan serta tanggungjawab kepada komuniti setempat di mana mereka menjadi tempat penjagaan bagi meringankan bebanan dan sokongan ibubapa dalam membesarkan anak-anak syurga ini,” kata Zulremy.

Tambahnya lagi, tujuan Showcase JRNL (Jiwa Rasa Nizam Laksamana) tidak lain hanyalah membuat satu kerja amal berganding dengan elemen hiburan yang sederhana.

Projek yang diusahakan oleh Nizam Laksamana memasuki tahun kelima, tanpa mengenali penat lelah untuk membantu mereka yang memerlukan.

Showcase JRNL akan diadakan pada 3 Oktober 2026, 8 malam di Noah Grand Ballroom Melawati KL .

“Kami punya cara sederhana menzahir semangat kasih sayang kepada golongan kurang upaya dari segi kesihatan dan membantu meringankan beban sara hidup.

“Dalam hiburan ada saja kebaikannya. Walau bagaimanapun, kami tetap berhadapan dengan cabaran mencari penaja, kejayaan penganjuran showcase terdahulu telah terbukti, namun ia tidak mampu menjadi sebab untuk ditaja atau diberi perhatian,’ katanya tanpa rasa mengalah.

Selain Nizam yang popular dengan lagu ‘Gugurnya Bunga Cinta’ showcase tersebut turut mendapat sokongan daripada rakan artis lain seperti Tam Spider, Zamani, Hazama, Haiza, Azmani dan UNIC.

Jelas Zulremy, pemilihan artis-artis pula berdasarkan kepada kesungguhan mereka untuk sama-sama membantu menjayakan showcase.

Dulu dikenali dengan nama Showcase Amal Artis Legenda, kini Showcase Jiwa Rasa Nizam Laksamana & Kawan-Kawan.

“Kami nyatakan hasrat kepada setiap artis, berbincang tujuan utama penganjuran showcase. Dengan kesedaran yang sama, mereka bersetuju untuk turut serta.

“Ucapan ribuan terima kasih kepada Tam Spider dan Zamani Slam kerana mereka adalah di antara artis-artis yang selalu menyatakan kesudian lebih awal untuk turut sama walaupun keduanya pernah bersama kami di dalam siri showcase yang lepas.

“Manakala Hazama, Haiza, Azmani dan UNIC hadir sebagai penguat kepada keseluruhan perjalanan persembahan nanti. Sebenarnya ramai rakan-rakan artis menawarkan diri untuk turut serta tetapi disebabkan kekangan hal-hal pengurusan maka kami tidak dapat menerima penyertaan ramai artis,” katanya.

Bagi memastikan penganjuran showcase tersebut berjalan lancar, beliau juga berharap ada syarikat-syarikat besar, golongan-golongan korporat sudi tampil menaja atau membeli pakej meja yang disediakan kerana dalam setiap pembelian, ada bahagian yang akan disalur kepada badan-badan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu golongan sasar.

Tiket Showcase ini boleh dibeli di platform Ticket2U. Bermula dengan Meja Platinum yang berharga: RM10,000 / 8 kerusi, Meja Gold berharga: RM5,000 / 10 kerusi dan Meja Silver berharga: RM1,700 / 10 kerusi.

Kisah cinta Fajar Noor terpateri dalam album sulung

Oleh: Khadijah Ibrahim

NAIB juara program realiti Indonesian Idol musim ke-13 pada 2025, Fajar Noor atau Fajar Nurdiansyah, 22, kini tampil dengan album sulung berjudul ‘Sementara, Selamanya’.

Album ini bercerita tentang kisah tentang kitaran sebuah percintaan, daripada detik pertama jatuh cinta, berdepan konflik, kehilangan, patah hati, sehinggalah kepada perasaan yang masih tertinggal dalam hubungan yang sebenarnya belum benar-benar berakhir.

‘Sementara, Selamanya’ menampilkan naratif tentang cycle of love, iaitu sebuah perjalanan emosi yang dekat dengan pengalaman ramai, namun disampaikan menerusi perspektif dan kisah peribadi Fajar.

Ia bukan sekadar mengisahkan sebuah percintaan yang dramatik, sebaliknya menyelami emosi-emosi yang sering hadir selepas segalanya berakhir, penyesalan, rasa yang terpendam serta kata-kata yang tidak pernah sempat diluahkan.

Terdapat lapan lagu, yang dimuatkan dalam album pertama Fajar Noor.

Setiap lagu dalam album ini membawa pendengar menyusuri pelbagai fasa emosi yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

“Jujurnya, album ini sangat besar ertinya kepada saya. Ini adalah kisah cinta yang sementara, tapi membekas selamanya. Apa yang dimuat dalam album ini semuanya tentang kitaran cinta saya.

“Kisah cinta yang dimulai dari ‘butterfly era’ lalu hadapi konflik dalam hubungan, berpisah, dan akhirnya menjadi kenangan yang abadi,” jelasnya tentang maksud di sebalik karya yang dihasilkan.

Bagi merealisasikan visi tersebut, Fajar bekerjasama dengan barisan penerbit seperti Arsy Widianto dan Iqbal Siregar dalam menghasilkan susunan muzik pop balada yang sederhana namun moden.

Gabungan susunan muzik yang bersih dengan melodi yang kuat menjadikan setiap lagu terasa dekat, jujur dan mudah dihayati tanpa perlu berlebihan.

Fajar Noor bekerjasama dengan penerbit Arsy Widianto dan Iqbal Siregar dalam menghasilkan susunan muzik pop balada yang sederhana namun moden.

Menerusi album ini, Fajar turut memperlihatkan kematangannya bukan sahaja sebagai seorang penyanyi, malah sebagai seorang pencerita yang mampu menterjemahkan perasaan-perasaan yang sering sukar diungkapkan.

Hasilnya, lahirlah sebuah karya yang bukan sekadar mencerminkan perjalanan cinta versinya, tetapi juga menjadi cerminan kepada pengalaman emosi yang mungkin pernah dilalui oleh setiap pendengar.

Mengulas mengenai album sulungnya, Fajar mengakui bahawa karya ini merupakan naskhah yang paling dekat dengan dirinya kerana setiap lagu lahir daripada pengalaman dan emosi yang pernah dilaluinya.

“Cabaran terbesar adalah untuk jujur dengan diri sendiri. Banyak lagu dalam album ini datang daripada pengalaman dan emosi yang sangat dekat dengan saya.

“Saya harap setiap lagu bukan sahaja mewakili kisah saya, tetapi juga dapat dirasai oleh sesiapa yang pernah melalui fasa cinta, kehilangan dan penyesalan,” kata Fajar.

Bagi mempromosikan album sulungnya itu, Fajar bakal hadir ke Malaysia dan akan mengadakan sebuah persembahan album secara langsung, sekali gus memberikan peluang kepada para peminat tempatan untuk menikmati lagu-lagu daripada album terbaharunya secara lebih dekat.

Pengumuman itu nyata mengubat kerinduan peminat Malaysia yang selama ini setia mengikuti perjalanan seni Fajar dan kini tidak sabar menantikan kehadirannya.

“Terima kasih kepada semua peminat di Malaysia yang sentiasa menyokong muzik saya. Saya sangat teruja untuk akhirnya bertemu kalian.

“Saya harap persembahan album secara langsung ini akan menjadi momen yang istimewa buat kita semua, dan saya tak sabar untuk membawakan lagu-lagu daripada album ini secara live dan berkongsi pengalaman itu bersama kalian,” katanya.

Album ini diharapkan mampu menemani pendengar dalam setiap fasa kehidupan, sekali gus mengingatkan bahawa setiap penghujung sebuah kisah sentiasa membuka ruang kepada permulaan yang baharu.