Home Blog Page 22

Konsert Revolusi Radja 25 Tahun, Julai ini

Oleh: Khadijah Ibrahim

DALAM tempoh enam bulan kumpulan Radja dari Indonesia bakal kembali ke Malaysia untuk menjayakan Konsert Revolusi Radja 25 Tahun yang akan berlangsung di Stadium Hoki Bukit Jalil pada 11 Julai 2026.

Pada 10 Januari lalu, kumpulan yang popular dengan lagu Cinderella, Jujur, Benci Bilang Cinta, Takkan Melupakanmu, Manusia Biasa, Jangan Sakiti Aku dan Aku Ada Karena Kau Ada telahpun mengadakan persembahan bersama Wali Band menerusi konsert RadjaWali di Idea Live Arena, Petaling Jaya .

Malah Wali Band juga untuk tahun ini sudah dua kali mengadakan konsert di Malaysia iaitu pada 1 Mei lalu d Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur menerusi Konsert Wali Band Kembali 2026 di Malaysia.

Beruntung artis Indonesia kerana penganjur tempatan lebih berminat menganjurkan konsert ‘orang luar’ berbanding artis Malaysia. Seperti peribahasa, kera dihutan disusukan, anak di rumah kelaparan.

Kalau nak kata lagu-lagu rock dendangan artis tempatan tak malar segar, kenapa generasi Z (Gen Z) boleh ‘layan’ lagu rock kapak yang dirakam sebelum mereka dilahirkan.

Radja bersama wakil penganjur konsert.

Siapalah kita untuk mempersoal pilihan penganjur kerana matlamat mereka dalam bisnes adalah keuntungan. Siapa nak anjur konsert kalau tak ‘masyuk’ tapi kalau asyik muka yang sama, penonton pun akan selektif untuk hadir.

Jadi kalau artis tempatan nak juga buat konsert terpaksalah mereka membuat permohonan dana melalui Insentif Konsert dan Acara Malaysia (CEMI) dan Skim Dana Padanan (SDP) di bawah Kementerian Komunikasi serta MyCreative Ventures. Dana ini berbentuk rebat kewangan bagi menyokong penganjur acara.

Untuk konsert Radja, penganjurnya adalah DHYAH PROD7CTION bersama INFINITY LOVE CREATIVE VENTURES bagi meraikan perjalanan 25 tahun Radja dalam industri muzik Nusantara, sekali gus menjadi simbol penghargaan buat para peminat yang tidak pernah berhenti menyokong perjalanan seni mereka sejak dahulu hingga kini.

Lebih istimewa, konsert ini merupakan sebuah persembahan solo penuh yang memberi fokus sepenuhnya kepada kekuatan muzik, vokal dan identiti sebenar kumpulan tersebut.

Lagu-lagu seperti Cinderella, Jujur dan Manusia Biasa sememangnya dianggap sebagai antara “signature songs” Radja yang sentiasa menjadi kemuncak setiap persembahan live mereka. Tidak dinafikan, lagu-lagu ini juga terus kekal relevan dan dekat di hati peminat pelbagai generasi.

Untuk Konsert Revolusi Radja 25 Tahun nanti, para peminat pastinya menantikan detik nostalgia yang membangkitkan semula era kegemilangan band muzik yang dianggotai Ian Kasela selaku vokalis utama, Moldy (gitar/komposer utama), Adit (bes) dan Seno Aji (dram) sekitar awal 2000-an, yang ketika itu menjadi fenomena besar dalam industri muzik serantau

Wakil penganjur, Mubarak Akhtar Mohd Aris, berkata konsert ini merupakan peluang terbaik buat peminat yang merasakan persembahan Radja dalam Konsert RadjaWali sebelum ini tidak mencukupi untuk menikmati pengalaman sebenar menyaksikan kumpulan tersebut beraksi dalam format konsert penuh.

“Bagi peminat Radja yang masih belum puas menyaksikan persembahan mereka ketika Konsert RadjaWali pada Januari lalu, inilah peluang terbaik untuk hadir dan menikmati persembahan Radja secara eksklusif dalam konsert solo mereka sendiri,” katanya.

Konsert Radja bagi menghargai sokongan peminat yang menyokong kerjaya mereka selama ini.

Tambah Mubarak lagi, konsert tersebut bakal Menampilkan beberapa elemen kejutan istimewa buat penonton, termasuk persembahan tribute unik oleh dua DJ profesional wanita dari Malaysia dan Indonesia yang akan mempersembahkan lagu-lagu Radja dalam susunan muzik elektronik yang lebih segar dan moden.

“Setakat ini DJ wanita dari Indonesia yang sudah mengesahkan penglibatannya di dalam konsert ini adalah Nathalie Holscher dan beliau adalah salah seorang DJ yang sedang meningkat naik namanya di negara republik tersebut.

“Walaupun diberi pembaharuan dari segi susunan muzik, identiti asal serta kekuatan emosi setiap karya tetap dikekalkan, sekali gus menawarkan pengalaman persembahan yang lebih moden, bertenaga dan relevan dengan citarasa penonton masa kini,” kata Mubarak.

Beliau turut menambah bahawa konsert ini akan menjadi lebih istimewa dengan kemunculan beberapa penyanyi jemputan dari Malaysia yang akan diumumkan dalam masa terdekat, sekali gus menambahkan lagi nilai eksklusif kepada acara berprestij ini.

Sementara Ian Kasela berkata, Malaysia sentiasa mempunyai tempat yang istimewa di hati Radja sejak awal perjalanan seni kumpulan tersebut.

“Setiap kali kami membuat persembahan di sini, sambutan yang diberikan peminat sentiasa luar biasa dan penuh kehangatan.

“Konsert Revolusi Radja 25 Tahun ini bukan sekadar sebuah persembahan, tetapi satu perjalanan emosi yang meraikan 25 tahun muzik, kenangan dan sokongan yang tidak pernah putus daripada para peminat kami di Malaysia dan seluruh Nusantara.

“Kami tidak sabar untuk kembali ke Kuala Lumpur dan berkongsi malam yang penuh nostalgia ini bersama anda semua. Ini adalah hadiah istimewa daripada Radja untuk semua peminat setia kami,” jelasnya.

Secara keseluruhannya, Konsert Revolusi Radja 25 Tahun dijangka menjadi sebuah malam penuh nostalgia, emosi dan energi yang bakal mengubat kerinduan peminat terhadap persembahan solo kumpulan legenda tersebut, serta mengukuhkan lagi kedudukan Radja sebagai antara nama besar dalam industri muzik Nusantara.

Maklumat lanjut mengenai penjualan tiket, kategori harga serta barisan penuh persembahan akan diumumkan di laman sesawang rasmi: https://www.airasia.com/movetix/en-gb/ dalam masa terdekat.

DPDDM minta rakyat taat dengan titah Sultan Selangor

Oleh: Nafsiah Jani

Berikutan isu hangat segelintir ahli politik yang memperkotak-katikkan titah Sultan Selangor berikutan cadangan isu ladang penternakan babi secara besar-besaran di Negeri Selangor membuatkan Dewan Perniagaan Datuk Dato Malaysia (DPDDM) terpanggil membuat kenyataan akan tetap berdiri teguh dibelakang Tuanku dan menyokong segala titah Tuanku.

Sebelum ini pada 20 April lalu Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj bertitah larangan tiada penternakan babi di Negeri Selangor kerana tidak mahu sejarah lama penduduk Bukit Pelandok, Negeri Sembilan bakal berulang dan menimpa rakyat Negeri Selangor pula.

Selain tidak sesuai, ia juga disebabkan faktor tanah yang tidak mencukupi, berdekatan dengan penempatan dengan kepadatan penduduknya beragama Islam, dikhuatiri akan mengundang pelbagai penyakit, isu pencemaran sungai dan udara.

Sebelum ini sejarah yang tidak boleh dilupakan kisah Bukit Pelanduk di Negeri Sembilan yang popular sebagai ladang penternakan babi terbesar pada hujung tahun 90-an kini sudah menjadi Pekan Hantu. Virus nipah yang menyerang babi, turut menjangkiti manusia menyebabkan radang otak sehingga membawa maut. Penyakit ini menyebabkan lebih 1 juta babi terpaksa dilupuskan secara besar-besaran berikutan 105 nyawa manusia terkorban akibatnya.

Presiden DPDDM, Datuk Nor Hasnal Hashmi berkata,“Jika idea penternakan ladang babi ini dilaksanakan, Tuanku faham kita semua bakal terkesan dengan pencemaran yang bakal mengundang penyakit pada rakyat tak kira usia, bangsa dan agama.

“Itu sebab Tuanku tak mahu. Ini juga bukan pasal bau babi-babi tersebut, tapi soal nyawa dan kita belajar untuk tidak mengulangi kesilapan yang sama. Pada saya, selepas taat perintah Allah, saya taat titah Sultan Selangor. Disini sekali lagi DPDDM ingin menzahirkan pendirian kami yang akan tetap akur dan taat kepada segala titah Tuanku.

Nor Hasnal amat kecewa ketidakadilan ini jelas menunjukkan bahawa kesetiaan sejati terletak di hati rakyat, manakala segelintir golongan atasan hanya hidup mengikut nafsu-nafsi tanpa rasa tanggungjawab.

“Tuanku dah maklum dan faham ladang moden ini walaupun selamat namun gagal dapat keyakinan Tuanku hingga mengeluarkan kenyataan `full stop’ tentang cerita penternakan babi ini. Sebagai kerajaan pusat dan negeri, mereka sepatutnya faham dan jangan cuba mencabar titah Tuanku. Jadi saya seru semua orang Melayu yang beragama Islam kita mesti berdiri teguh dibelakang Tuanku.

“Tuanku nak pastikan bahawa nasib penduduk majoriti hidup dalam harmoni, sejahtera dan selamat daripada sebarang pencemaran atau penyakit yang bakal mengakibatkan bencana besar pada negeri Selangor. Sebagai rakyat yang mempunyai Raja dan Sultan, kita perlu hormati dan menjunjung titah sultan dan jangan mendehaka kepada sultan.”

Nor Hasnal menambah, “Saya juga kesal dengan beberapa perkara yang berlaku sebelum ini, mengenai Institusi Raja-Raja Melayu. Sepatutnya golongan-golongan yang bergelar Tun, Tan Sri, dan Datuk seharusnya menjadi benteng utama apabila Institusi Raja-Raja Melayu dihina.

“Gelaran yang mereka sandang bukan sekadar hiasan atau alat kepentingan peribadi untuk mengejar projek dan sanjungan sosial. Sangat mengecewakan apabila ramai dalam kalangan mereka hanya mendiamkan diri serta mementingkan diri sendiri saat kedaulatan Raja dicabar oleh golongan ultra kiasu.

“Sebaliknya, rakyat marhaen yang tidak memiliki apa-apa keistimewaan pula yang beria-ia tampil membela. Fenomena membeli gelaran demi kekayaan semakin ‘membarah’, namun tanggungjawab moral terhadap pemberi anugerah diabaikan.”

Kata Nor Hasnal lagi, Ketidakadilan ini jelas menunjukkan bahawa kesetiaan sejati terletak di hati rakyat, manakala segelintir golongan atasan hanya hidup mengikut nafsu-nafsi tanpa rasa tanggungjawab.

“Institusi Raja-Raja Melayu inilah tonggak utama sistem beraja berpelembagaan di Malaysia yang telah berakar umbi sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi. Institusi ini sebagai pelindung kedaulatan, agama Islam dan adat istiadat Melayu.

“Menghargai Institusi Raja Raja Melayu amat penting kerana ia dapat mengekalkan warisan budaya, menjamin kestabilan politik dan menyatupadukan rakyat berbilang kaum di Malaysia ini.”

Ujar Nor Hasnal lagi, Seperti kita tahu, Institusi beraja tidak dapat dipisahkan dengan masyarakat. Kedua-dua pihak, sama ada Raja mahupun rakyat memerlukan antara satu sama lain.

“Raja yang memerintah memerlukan kebijaksanaan dan rakyat pula sepatutnya memberikan taat setia kepada Raja dan Sultan bagi memastikan kestabilan sesebuah negara. Raja adalah simbol kepada kedaulatan, kemakmuran, perpaduan, keharmonian dan kekuatan sesebuah masyarakat.

“Sebagai rakyat Malaysia adalah menjadi tanggungjawab kita semua tak kira pangkat, bangsa dan agama untuk memartabatkan Institusi Raja-Raja Melayu kerana ia adalah lambang kedaulatan negara. Tanpa kedaulatan, sesebuah negara tidak akan wujud kerana melalui kedaulatanlah kita dapat membentuk negara yang maju dan berwibawa.

“Disebabkan itu kami dari DPDDM terpanggil untuk menyatakan rasa kesal yang teramat sangat dengan keadaan sebegini. Sebagai benteng kitalah yang sepatutnya bangkit demi mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu.”

Disebabkan segelintir rakyat yang cuba mengingkari titah Tuanku membuatkan satu Himpunan Daulat Tuanku akan diadakan pada 16 Mei ini pada jam 4 hingga 6.30 petang di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Himpunan Daulat Tuanku anjuran Dewan Pemuda Pas Negeri Selangor, ini bagi menzahirkan taat setia pada Tuanku, mempertahankan agama dan menjaga maruah Negeri Selangor.

 

Jee tak mudah mengaku kalah, bangkit mengatur langkah

Oleh: Khadijah Ibrahim

RATA-RATA penonton yang hadir di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 9 Mei baru-baru ini, teruja nak dengar Fauziah Latiff mendendangkan lagu-lagu popularnya secara langsung.

Tanpa sedar rupanya ramai peminat-peminat Fauziah atau Jee yang sudah lama menunggu saat tersebut dan atas usaha Ideatelier maka berlangsunglah Konsert 4 Decades Fauziah Latiff Live In Kuala Lumpur pada 9 Mei, baru-baru ini.

Penganjuran konsert yang berlangsung lebih dua jam itu bukan sekadar memenuhi permintaan penonton yang membesar dengan lagu-lagu dendangan Jee, malah konsert itu juga menyempurnakan impian Jee yang menunggu lama untuk menjayakan konsert berskala besar itu.

Impian Fauziah Latiff untuk menjayakan konsert solo berskala besar dilaksanakan oleh Ideatelier.

Jee atau nama penuhnya Siti Fauziah Sheikh Abdul Latiff, 56, mengakui sewaktu dilamar untuk menjayakan konsert yang diiringi oleh enam pemuzik dan diketuai oleh Chaan, beliau takut dan tidak berani kerana lama tidak beraksi di pentas.

Namun, demi menghargai kesetiaan peminat yang tidak jemu menyokongnya selama empat dekad bergelar anak seni, beliau rela memulakan semula aktiviti yang lama tidak dilakukan itu.

“Terima kasih kepada Ideatelier (penganjur) kerana merealisasikan impian ini. Konsert ini adalah untuk anda yang sudi hadir.

“Saya akan cuba buat yang terbaik malam ini. Ia mungkin tidak sempurna, tetapi saya harap akan jadi konsert yang diingati untuk kita semua,” katanya yang buka tirai persembahan dengan lagu “Setiaku Korbankan”.

Berduet dengan Jamal Abdillah menerusi lagu “Kehebatan Cinta”.

Persembahan Jee menampilkan empat segmen dan untuk segmen pertama, beliau mendendangkan lima buah lagu termasuk, “Apa Sebenarnya”, “Tua Mengejar Kita”, “Bukan Berpatah Arang” dan “Aku Sebutir Pasir”.

Menariknya susunan lagu yang dipersembahkan dalam setiap segmen saling berkait, seolah-olah bercerita tentang perjalanan seni Jee.

“Malam ini adalah satu permulaan untuk saya, terima kasih atas sokongan semua. Saya mula dalam bidang seni bersama ayah. Dalam industri melalui seni saya telah lalui pelbagai fasa dan tidak akan berputus ada dan paling penting kita jangan berpatah arang.

“Saya sentiasa berpegang pada prinsip jangan berpatah arang dalam kehidupan. Kita harus belajar dan jangan pernah putus asa. Begitu juga dengan saya, masih tetap mencuba walaupun saya hanya sebutir pasir,” ujarnya sebelum meneruskan persembahan dengan lagu ciptaan Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan dan lirik oleh Amran Omar.

Meskipun takut persembahannya tidak mencapai piawaian penonton, Fauziah tetap usaha dengan baik.

Jee yang sentiasa merendah diri itu berkata, beliau akan cuba memberikan yang terbaik untuk penonton dan berharap masing-masing akan menjadikan memori bersamanya sebahagian daripada kenangan terindah dalam kehidupan mereka.

“Lagu “Enggan” (ciptaan Asmin Mudin) merupakan lagu bunuh diri. Saya paling takut nak nyanyikan lagu ini. Lutut sudah bergetar ni. “Ku Pohon Kemaafan” jika tidak memenuhi piawaian anda.

“Saya doakan semua sejahtera sentiasa. Kasih sayang saya kepada anda yang membesar dengan irama lagu-lagu saya . Kita membesar menerusi pengalaman yang berbeza, tapi saya tetap seperti dulu,” katanya sebelum meneruskan persembahan dengan lagu “Aku Masih Seperti Dulu”.

Di konsert tersebut, Jee membuktikan ketika keupayaannya tidak seperti zaman kegemilangan, beliau tetap membuai jiwa menghiburkan hampir 3,000 peminatnya dengan rangkaian lagu hits sepanjang empat dekad kariernya.

Semoga Fauziah Latiff akan kembali beraksi di pentas seperti dulu.

Antara lagu yang didendangkan adalah “Setiaku Korbankan”, “Tua Mengejar Kita”, “Apa Sebenarnya”, “Dia”, “Batas Menanti”, “Gubahan Rindu Puisi Syahdu” dan “Teratai Layu Di Tasik Madu”.

Jee turut menyampaikan lagu duet bersama penyanyi jemputan iaitu Datuk Jamal Abdullah menerusi lagu “Kehebatan Cinta”.

Meskipun Jee jarang muncul mengadakan persembahan pentas seperti penyanyi lain, penonton tetap hadir kerana lagu-lagunya malar segar dan menjadi sebahagian daripada perjalanan kehidupan masing-masing.

Semangat Jee yang awalnya takut tidak dapat memenuhi kehendak penonton perlu diberi pujian kerana beliau sanggup berusaha dan membuktikan bahawa jiwa seninya masih ada.

Mungkin selepas ini jika Jee diberi peluang mengadakan konsert lagi, persembahannya akan lebih mantap selepas melakukan ‘post mortem’ daripada konsert pertama.

Di sebalik tahi lalat Latifah Omar!

Oleh SYED WAFA
Sumber : Ladybosz (Terima Kasih Datuk Sri Rozita Ramelan)

PENUBUHAN dua syarikat perfileman iaitu Malay Film Productions (MPF-1943) dan Cathay-Keris Film (Cathay-1951) di Singapura dengan filem-filem terbitan mereka bukan sahaja mampu menceriakan hidup para peminat filem Melayu ketika itu malah secara tidak langsung memberi ruang mereka yang berbakat dalam bidang lakonan menceburi bidang ini.

MFP yang dimiliki dua beradik Runme Shaw dan Run Run Shaw telah menerbitkan 160 filem dengan filem pertamanya “Singapura di Waktu Malam” (1947) arahan BS Rajhans lakonan Siput Sarawak, Bakhtiar Affendi dan Siti Tanjung Perak. MFP dibubarkan pada November 1967.

GAYA seorang Ratu Cantik Singapura 1953… Latifah Omar.

Sementara Cathay Keris menerbitkan lebih 120 filem dimiliki oleh Loke Wan Tho dan Ho Ah Loke dengan filem pertama terbitannya “Buloh Perindu” (1953) juga diarahkan BS Rajhans dilakonkan Rosini, Sharif Medan, Salleh Ghani, M. Amin, Norsiah Yem, Raden Sudiro dan Momo Lariff. Syarikat penerbitan ini menamatkan operasinya pada tahun 1973.

Kewujudan dua syarikat penerbitan filem ini bukan sahaja telah mewarnai kehidupan masyarakat Melayu ketika itu, malah ia telah melahirkan ramai seniman dan seniwati yang mencipta nama dan kekal di bibir para peminat filem Melayu sejak 1950-an sehingga hari ini.

PANGGILAN Pulau…filem pertama lakonan Latifah Omar bersama kekasih hatinya, P. Ramlee.

Jika MFP ada Seniwati hebat antaranya Allahyarham Primadona Datin Saadiah, Primadona Datuk Dr. Sarimah dan seniwati Zaiton, Cathay juga punya Seniwati berbakat dan jelita seperti Datuk Seri Maria Menado, Salmah Ahmad dan Allahyarham Latifah Omar.

Seniwati Latifah Omar atau nama sebenarnya Fatimah Omar dilahirkan di Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 26 Mac 1939 berhijrah ke Singapura bersama ibunya, Rahmah Kassim yang berasal dari Singapura pada tahun 1948.

Dalam usia 15 tahun sudah diberi peluang berlakon sebagai watak utama

Perjalanan seni Latifah Omar yang memiliki seraut wajah cantik menawan dengan tahi lalat menghiasi di bawah bibir kirinya dikatakan antara tarikan para peminat filem ketika itu meminatinya.

Beliau mula menceburi bidang lakonan setelah dimahkotakan sebagai Ratu Cantik Singapura ketika berusia 14 tahun pada tahun 1953.

Di awal kemunculan Latifah Omar sebagai bintang filem Melayu
Pengarah filem Melayu terkenal iaitu B.S. Rajhans serta pembantunya Ibrahim Ali yang bertanggungjawab membawa Latifah Omar ke dunia lakonan sebagai pelakon pembantu dalam filem ‘Dahlia’ (1954)

Dengan gelaran sebagai Ratu Cantik Singapura, ia memberi peluang Latifah Omar muncul sebagai pelakon tambahan dalam filem “Dahlia” (1953) arahan BS Rajhans terbitan Cathay dan ditayangkan pada tahun 1954.

Selepas filem itu, Latifah Omar berhijrah ke Studio Jalan Ampas milik MFP sebagai pelakon tambahan dalam filem “Kerana Kau” (1953) arahan K.R.S Sastry.

P. Ramlee jatuh cinta bila melihat kejelitaan Latifah Omar
LATIFAH Omar dan P. Ramlee dalam satu babak filem “Merana.”

Bagaimanapun lakonannya sebagai ‘Melati’ kekasih Zulkifli (Allahyarham Tan Sri P. Ramlee) dalam filem “Panggilan Pulau” (1954) yang turut dilakonkan antaranya Normadiah, Nordin Ahmad, Yusof Latiff, A. Rahim dan Salleh Kamil yang diarahkan oleh S. Ramanathan telah mencuri hati para peminat filem ketika itu.

Realitinya hubungan cinta antara Latifah Omar dengan P. Ramlee bukanlah rahsia kerana ia telah berputik sejak hari pertama beliau menjejakkan kaki ke Studio MFP. Apalagi ketika itu, P. Ramlee telahpun bercerai dengan isterinya, Junaidah pada tahun 1953. P. Ramlee dan Junaidah berkahwin pada tahun 1947 dan dikurniakan dua orang anak iaitu Mohamad Nasir (1953-2008) dan Arfan (1954-1998).

LATIFAH Omar bersama Mustapha Maarof dalam satu babak filem “Bawang Putih Bawang Merah.”

Hubungan cinta antara P. Ramlee dengan Latifah Omar hanya diketahui sahabat baiknya iaitu Sasterawan Abdullah Hussain. Sayangnya entah di mana silapnya hubungan cinta mereka berakhir dengan perpisahan.

Setelah lapan filem berlakon di MFP antaranya “Merana” (1954) filem kedua dan terakhir lakonannya dengan P. Ramlee arahan B.N Rao, “Insan” (1955) diarahkan K.M Basker, “Empat Isteri” (1955) arahan BS Rajhans dan yang terakhir “Putera Bertopeng” (1957) diarahkan oleh K.M Basker, Latifah Omar berhijrah ke Cathay.

“LANCANG Kuning” antara filem lakonan Latifah Omar dengan Nordin Ahmad.
Dalam filem ‘Lanchang Kuning’, Latifah Omar hampir digilis oleh replika lanchang kerana tali pengikat lanchang tersebut dikatakan telah terputus
LATIFAH Omar nampak anggun dan bergaya dengan kebaya pendek.

Latifah Omar berhijrah ke Cathay pada akhir tahun 1957 yang merupakan pesaing MFP, setelah beliau menerima notis berhenti kerja dalam tempuh sebulan yang dikatakan berpunca kerana beliau tidak hadir pada majlis yang berkaitan dengan filem. Turut sama meninggalkan MFP ialah Nordin Ahmad, Siti Tanjong Perak dan Mariam.

Bukan itu sahaja, malah disebabkan itu juga nama Latifah Omar tidak tercatat dalam ‘credit title’ filem terakhirnya di MFP iaitu “Putera Bertopeng.”

PADA zaman kegemilangannya sebagai Ratu Cathya Keris, wajah jelita Latifah Omar sering menjadi ‘Cover Girl’ majalah hiburan.
RATU Filem Cathay Keris… Latifah Omar.
LATIFAH Omar sering menjadi duta produk terkenal antaranya SINGER.
DUA bintang dari Cathay Keris – Allahyarham Seniman Datuk Mustapha Maarof dan Latifah Omar.

Bak kata pepatah ‘Tuah ayam nampak di kaki, Tuah manusia tak siapa yang tahu’ kerana perjalanan seni Latifah Omar semakin menyerlah sejak bersama Cathay.

Jika bersama MFP, percintaan Latifah Omar dan P. Ramlee putus di tengah jalan tetapi bersama Cathay, Latifah Omar dipertemukan dengan ‘Loving Couple on Silver Screen’ iaitu seniman Allahyarham Nordin Ahmad. Mereka berdua dikatakan begitu serasi membawa watak romantik di layar perak dan adalah difahamkan gandingan ‘pasangan sejoli’ ini tidak dapat ditandingi mana-mana pelakon sehingga hari ini.

PASANGAN serasi dalam filem… Latifah Omar bersama Nordin Ahmad.
LATIFAH Omar bersama ‘Loving Couple on Silver Screen’ Allahyarham Seniman Nordin Ahmad.
LATIFAH Omar bersama ‘kekasih hatinya dalam filem,’ Nordin Ahmad.

Ketika itu apa sahaja filem lakonan Latifah Omar dan Nordin Ahmad pasti mendapat sambutan hangat daripada para peminat filem Melayu. Disebabkan itu, pasangan ini menjadi rebutan para pengarah di Cathay untuk menggandingkan pasangan ini dalam filem arahan mereka.

Sebanyak 12 filem yang menggandingkan ‘hero dan heroin’ kesayangan para peminat filem Melayu ketika itu antaranya “Hang Jebat” (1961) arahan Hussain Haniff, Laila Majnun (1962) dan Gul Bakawali (1963) diarahkan B.N Rao dan empat filem arahan M. Amin iaitu “Lancang Kuning (1962), Chuchu Datok Merah (1963) Patong Chendana (1963) dan yang terakhir Gurindam Jiwa” (1966).

KEJELITAAN dan senyuman Latifah Omar… membuatkan para peminat tidak jemu memandangnya.
WAJAH ayu… Latifah Omar.
LATIFAH Omar kelihatan ayu dengan berselendang.

Populariti Latifah Omar berada di puncak ketika bersama Cathay kerana kebanyakan filem genre bangsawan lakonannya bersama Nordin Ahmad mendapat sambutan hebat.

Selama 13 tahun bergelar seniwati dengan 23 filem terbitan Cathay Keris, Latifah Omar turut berlakon dalam filem terakhir penerbitan syarikat berkenaan iaitu “Hati Batu” yang dilakonkan S. Azam, Fauziah Ahmad Daud dan M. Shahdan pada tahun 1973.

LATIFAH Omar bersama Allahyarham Seniman Ed. Osmera.
DENGAN tahi lalat menghiasi di bawah bibir kirinya, berilah apa watak kejelitaan Latifah Omar tetap terserlah!
MEMILIKI wajah jelita dengan senyuman menawan…itulah personaliti Latifah Omar.

Sementara itu, dua tahun sebelum P. Ramlee meninggal dunia kerana serangan jantung (29 Mei 1973), Latifah Omar berlakon buat kali terakhir bersama P. Ramlee dalam filem arahannya “Putus Sudah Kasih Sayang” terbitan Merdeka Film Production pada tahun 1971.

Filem ini menemukan semula Latifah Omar dengan P.Ramlee setelah 17 tahun terpisah selepas filem “Merana” (1954). Turut berlakon dalam filem ini ialah Allahyarham Seniwati Mariani, Allahyarham Bob Mustaffa dan Allahyarham Seniwati Noorizan.

FILEM “Putus Sudah Kaseh Sayang” temukan semula Latifah Omar dengan P. Ramlee setelah 17 tahun terpisah.
P. RAMLEE bersama ‘si cantik manis’ Saloma, Latifah Omar dan Mariani yang terlibat dalam filem ‘Putus Sudah Kaseh Sayang’
P. RAMLEE bersama ‘dua bintang’ dari filem “Putus Sudah Kaseh Sayang.’
Latifah Omar sebagai Lisda dan Allahyarham Puan Sri Saloma menyanyi lagu runut bunyi (OST) filem berkenaan.

Walaupun Latifah Omar merupakan seniwati yang ‘versatile’ dalam filem-filem lakonannya namun tidak seorang pun daripada empat orang anaknya termasuk seorang anak angkat daripada tiga perkahwinan dan sembilan orang cucu yang mengikut jejaknya sebagai pelakon.

Bagaimanapun anak sulungnya, Afendi Rahmat,65, anak daripada perkahwinannya dengan Rahmat Ali (bapa kepada Seniwati Rahmah Rahmat yang merupakan anak tiri beliau) mewarisi tahi lalat yang terletak di pipi kirinya.

AFENDI Rahmat mewarisi tahi lalat ibunya, Seniwati Latifah Omar.

Pengalaman saya bersama seniwati hebat ini pasti tidak dapat saya lupakan. Banyak rahsia petua kecantikan yang beliau kongsikan dengan saya antaranya untuk kurangkan uban di kepala dan kurangkan kedut di wajah. Biarlah petua ini menjadi rahsia saya bersama beliau.

Beliau di dalam filem dan luar filem mempunyai banyak persamaan. Tutur katanya sungguh lembut dan bersopan serta sentiasa kelihatan cantik dengan solekan yang sederhana. Itulah seniwati legenda Latifah Omar yang sentiasa dirindui.

SENYUMAN manis sentiasa menghiasi wajah jelita Seniwati Latifah Omar.
SYED Wafa (Penulis) bersama wartawan dan penulis lirik tersohor, Allahyarham Haji Abdul Jalil Salleh atau lebih dikenali sebagai Juwie, Allahyarham Latifah Omar dan Allahyarham Mariani Ismail.

Seniwati Latifah Omar meninggal dunia di Pusat Rawatan Rapi (ICU), Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) kerana kanser usus pada 9 Jun 2013.

Kami di Ladybosz mendoakan semoga roh arwah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam golongan orang yang beriman… Amin.

DALAM kenangan…9 Jun 2013, Afendi Rahmat menyiram air mawar di pusara ibunya, Latifah Omar.

Kredit: Terima kasih Ladybosz.com dan Dato Seri Rozita Ramelan

Selepas kemenangan, Nabila Huda mahu aktif dalam teater

Oleh: Khadijah Ibrahim

SEBELUM ini pelakon Nabila Huda Suhaimi, 42, sudah beberapa kali meraih kemenangan menerusi lakonannya dalam filem mahupun drama. Penjiwaannya dalam lakonan menerusi apa saja watak yang diberi, pasti tampak ‘hidup’.

Namun bagi yang empunya diri, beliau tidak jangka rezeki berpihak kepadanya sewaktu dinobatkan sebagai pemenang Pelakon Pembantu Terbaik bagi acara teater di Anugerah Seni Cameronian BOH ke-21 (21BCAA), baru-baru ini.

Nabila Huda atau mesra dengan panggilan Abil, meraih kejayaan itu menerusi watak Malam yang dibawa dalam teater Masmoona.

Kemenangan di Anugerah Seni Cameronian BOH ke-21 (21BCAA) membuatkan Nabila Huda sedia mencuba pelbagai watak untuk teater.

“Sejujurnya saya memang tidak sangka. Saya masih baharu dalam dunia teater dan sangat menghormati mereka. Setiap kali bersama, saya kagum dengan bakat mereka.

“Saya selalu rasa diri ini kecil kerana kemampuan mereka menyanyi dan menari jauh lebih hebat. Bila lihat senarai pencalonan tadi, saya rasa persembahan saya sangat jauh ketinggalan.

“”Bagi saya, semua calon lain hebat-hebat belaka. Saya rasa mungkin ada yang lebih layak, tetapi mungkin penilaian juri berbeza. Apa pun, saya sangat bersyukur,” akuinya tanpa berselindung.

Kemenangan ulung di Anugerah Seni Cameronian BOH ke-21 (21BCAA) itu secara tak langsung menyuntik semangat untuk beliau terus aktif meneroka dunia teater selain mencuba pelbagai karakter pada masa akan datang.

Sebagai pelakon, Abil akui beliau tidak pernah meletakkan batas terhadap cabang lakonan yang ingin diceburi kerana percaya setiap medium memberikan pengalaman dan proses pembelajaran berbeza.

“Sebenarnya, kalau boleh saya memang mahu mencuba pelbagai jenis teater. Saya tidak melihat diri sebagai pelakon drama televisyen (TV) atau filem sahaja. Saya seorang pelakon dan saya sanggup meneroka pelbagai jenis watak serta medium berbeza.

“Saya juga tidak kisah untuk terus terbabit dalam teater kerana kebiasaannya watak dalam teater sangat berbeza dengan apa yang saya bawakan di TV atau filem.

“Saya memang tidak kisah diberikan apa sahaja peranan. Kalau teater hanya beri saya dua babak pun saya boleh buat. Kalau jadi pelakon latar pun saya boleh buat, malah kalau jadi penari sekalipun saya sanggup berlatih,” katanya.

Nabila Huda bersama Sofea Jane (kiri) dan Nadia Aqilah yang sama-sama membintangi teater Visits terbitan Dramalab, arahan Ida Nerina.

Nabila berkata, minat mendalam terhadap seni lakonan menjadi pendorong utama untuk dirinya terus mencabar kemampuan diri tanpa mengira sebesar mana watak yang diberikan.

“Misi dan matlamat hidup saya memang mahu menjadi seorang pelakon. Saya sentiasa mahu meneroka apa sahaja karakter yang ada di depan mata.

“Bagi saya, setiap hari dan setiap perkara yang saya lakukan adalah proses pembelajaran dan saya tidak akan pernah sempurna. Jadi, apabila berada dalam kelompok berbeza, saya belajar perkara baharu,” katanya.

Selain Masmoona, Abil turut membintangi teater Visits terbitan Dramalab arahan Ida Nerina dengan menampilkan pelakon hebat lain seperti Sofia Jane dan Nadia Aqilah yang turut tercalon dalam beberapa kategori 21BCAA.

Pada edisi kali ini sebanyak 40 kategori dipertandingkan dengan 81 penyertaan merangkumi teater, tarian, muzik dan teater muzikal.

Setiap penyertaan dinilai oleh panel juri terkemuka merentasi disiplin persembahan, kreatif dan teknikal, sekali gus mengiktiraf karya yang merangkumi inovasi, integriti dan pendekatan baharu.

Sebanyak 44 produksi dicalonkan dengan 10 dalam kategori tarian, lapan teater muzikal, sembilan muzik dan 17 dalam teater.Anugerah Seni Cameronian BOH atau Cammies, kembali sebagai platform berorientasikan masa depan yang melangkaui sekadar meraikan hasil kepada membentuk keadaan untuk masa depan karya kreatif di Malaysia.

Bersama Nabil Zahan, salah seorang pemenang di 21st BOH Cameronian Arts Awards, baru-baru ini.

Tema tahun ini, ‘COLLABeyond: Cipta Bersama Masa Depan’ mengiktiraf kecemerlangan sambil mewujudkan rangka kerja, prinsip dan etika yang membimbing bagaimana seni dicipta, dikongsi dan dihargai dalam era perubahan teknologi serta sosial yang pesat.

Pada majlis tersebut juga, dua naskhah teater, Fragments of Tuah yang dipersembahkan Five Arts Centre dan Setanggi Tari Melayu 2025 – Quintessential Malay Dance oleh ASK Dance Company memenangi kategori utama iaitu Persembahan Terbaik 2025.

Momen bersejarah itu menyaksikan dua karya berkenaan mengungguli calon finalis lain seperti A Salute to Cinema oleh Tutan Entertainment; Animal Farm (Pentas Project & W Productions); TEWAS: No Light at the End of the Tunnel (JDEV Studios) dan Visits (Dramala).

Bagi kategori Pelakon Utama Terbaik (Teater Muzikal) dimenangi Ileana Matin yang melakonkan watak Finn Dewey menerusi teater School of Rock, The Musical sementara kategori Pelakon Utama Terbaik (Teater) pula menjadi milik pelakon dari Scotland, Kingsley Judd yang melakonkan watak Edward dalam teater Someone Who’ll Watch Over Me.

21BCAA turut menyampaikan Anugerah Sepanjang Hayat BOH Cameronian kepada Prof. Dr. Mohd Anis Md Nor sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan berterusan beliau kepada Zapin dan dunia seni persembahan Malaysia.

Pementasan Randai Macbeth, sebuah kreasi baharu

Oleh: Khadijah Ibrahim

SEMPENA Festival Buka Panggung ASWARA yang bermula sejak 4 -22 Mei 2026, peminat teater berpeluang menonton pementasan Randai Macbeth di Panggung Eksperimen ASWARA pada 8 -10 Mei ini.

Seramai 31-35 orang ahli produksi terlibat dalam produksi Randai Macbeth merangkumi Tenaga Kreatif, Pelakon, Pemuzik, Ensembel Anak Randai dan Kru Pentas.

Tujuan pementasan tersebut adalah untuk meraikan kecemerlangan serta pencapaian pelajar dan alumni ASWARA. Selain itu pementasan itu juga bertujuan untuk mempromosi kredibiliti Pusat Seni Pentas Tradisional ASWARA (PuTRA ASWARA) sebagai institusi yang mengangkat kesenian tradisional.

Randai Macbeth diadaptasi daripada karya klasik popular William Shakespeare.

Objektif lain pementasan tersebut adalah untuk meningkatkan apresiasi dalam seni teater tradisional kepada masyarakat khususnya. Menerusi penganjuran teater tersebut diharap dapat membuat pertukaran dan perkongsian kepakaran antara ASWARA dan UiTM dalam memartabatkan seni budaya bangsa serta mempromosi kesenian Malaysia ke pentas antarabangsa.

Randai Macbeth merupakan sebuah adaptasi daripada karya klasik popular William Shakespeare oleh pengarah dan penulis lakon, Dr. Norzizi Zulkifli.

Naskah ini diadaptasi daripada karya asal ‘Macbeth’ dan telah diberikan nafas baharu melalui persembahan berkonsep silang budaya antara tradisi Minangkabau, Melayu dan teks klasik barat. Kerana itu ia disebut sebagai sebuah kreasi baharu.

Teater ini pernah dipentaskan pada 10-12 Oktober 2024 di Blackbox ASWARA dan meraih perhatian penggiat dan peminat seni tanah air, sehingga mencapai pengiktirafan besar dalam BOH Cameronian Arts Awards ke-20.

Randai Macbeth dijayakan oleh para alumni ASWARA, pelajar, pensyarah dan tenaga pakar daripada FiTA UiTM.

Selepas kemenangan besar itu, ramai meminta agar Randai Macbeth dipentaskan semula. PuTRA sebagai penerbit berusaha mencari dana dan merancang untuk membawa kembali Randai Macbeth ke pentas . Tahun 2026 ia memberi sinar baharu apabila impian menjadi realiti.

Selain perancangan mementaskan semula di Kuala Lumpur, Randai Macbeth turut menerima jemputan untuk mengadakan persembahan di luar negara termasuk di Singapura pada April lalu dan di Kamal Teater and Academic, Kazan Rusia pada 15 -16 Jun ini sempena Festival-Forum Teater dan Pendidikan (Nauruz) 2026.

Dalam usaha mengangkat seni tradisi ke pentas kontemporari, pelbagai cabaran menjadi motivasi kepada produksi untuk membawa sedekat mungkin khususnya teater tradisional kepada khalayak muda.

Teknologi komunikasi dan selera masyarakat pada hari ini telah merubah cara kerja dan gagasan dalam berkarya. Begitu besar sekali pengaruh teknologi kreatif memberi kesan kepada seni persembahan apatah lagi kesenian tradisional.

Kita sering melihat seni budaya sering menjadi alat tontonan semata-mata bukan mewakili pemikiran dan ketinggian peradaban bangsa. Hal ini menyusut hilang dan ramai merasakan bahawa seni budaya tidak lagi berfungsi dalam kehidupan bahkan sekadar untuk tujuan industri pelancongan dan hiburan.

Randai Macbeth berasaskan dua kesenian unggul daripada dua budaya.

Inilah yang menjadi hasrat utama PuTRA, Persatuan Alumni ASWARA dan FiTA UiTM di dalam membangun dan melahirkan ilmuan, penggiat dan khalayak yang bukan sekadar kenal seni malah celik terhadap seni budaya warisan bangsa. Saban tahun institusi seperti ASWARA dan UiTM melatih, membimbing dan mengeluarkan graduan seni.

Randai Macbeth adalah satu wadah yang jitu dalam memanifestasikan apakah wawasan seni budaya yang sesuai dipersembahkan di dalam mengisi tuntutan khalayak baharu dan dunia hari ini.

Randai adalah milik suku minangkabau yang berintegrasi dengan budaya Melayu di Malaysia. Mempunyai struktur permainan lengkap dengan teknik permainan muzik antara tertua di dunia, lenggok bahasa, gerak silat dan kostum yang bercirikan alam Melayu.

Manakala naskhah Macbeth karya William Shakespeare adalah naskhah agung yang lahir pada tahun 1606-1607 yang ditulis berlatarkan negara Scotland yang mendepani konflik politik istana.

Bahasa, gambaran hidup, emosi yang didialogkan mencerminkan cara hidup barat. Istimewanya Macbeth terus hidup dan dihayati sehingga ke hari ini. Dipelajari dan dipentaskan oleh sekolah, universiti dan kumpulan profesional.

Apabila Randai digabungkan dengan Macbeth ia mencetus konflik peradaban. Ia melontar pertanyaan dalam kalangan penggiat randai dan pencinta karya Shakespeare. Di sinilah letaknya kerja kreatif produksi Randai Macbeth di bawah teraju Dr Norzizi Zulkifli.

Randai Macbeth turut mendapat perhatian daripada orang luar negara.

Bagaimana budaya Minangkabau-Melayu disulam dalam setiap babak dan adegan hingga penoton terlupa bahawa mereka sedang menghayati naskhah barat. Muzik dan Anak Randai yang menjadi jantung kepada persembahan, memanifestasikan rasa dan jiwa Minangkabau-Melayu yang kuat.

Dalam hal ini, Norzizi tidak menjadikan Randai Macbeth bersifat terlalu tradisional dan membiarkan khalayak menikmati randai dalam bentuk asalnya. Sebaliknya, Norzizi menyulam teknologi pentas, teknologi kreatif, gerak silat baharu dan gaya lakon moden untuk membina cerita secara lebih dramatik dan spektakular.

Mengungkap isu politik yang relevan dengan isu semasa. Hal ini meninggalkan bentuk tradisi randai yang secara asasnya dalam lingkungan dan berselang-seli antara cerita dan lagu. Inilah yang disimpulkan sebagai “sebuah kreasi baharu”.

Semoga pementasan Randai Macbeth di Kuala Lumpur pada 8-10 Mei ini diterima baik oleh penonton tempatan sebagaimana dalam tahun 2024.

Adalah diharapkan agar khalayak dapat menghayati dan terinspirasi daripada pementasan ini. Semoga generasi muda melihat teater sebagai satu wadah membentuk pemikiran, medan berkreativiti dan membangunkan penonton dan masyarakat yang berbudaya nilai tinggi.

Semoga usahasama yang sihat antara PuTRA ASWARA, Persatuan Alumni ASWARA dan FiTA UiTM dapat diteruskan di masa hadapan.

Awie lebih fokus persembahan daripada gelaran

Oleh: Khadijah Ibrahim

PENGARAH Eksekutif Bombbay Legend Worldwide, Zamberi Shaari atau Bombay akui, beliau telah beberapa kali bekerjasama dengan penyanyi Datuk Awie dalam penganjuran konsert berskala besar.

Katanya, hubungan profesional mereka telah terjalin hampir empat dekad, pada saat beliau aktif dalam bidang penerbitan konsert manakala Awie dalam seni nyanyian hingga berjaya meletakkan dirinya sebagai antara ikon utama dalam industri muzik tanah air.

Yakin dan percaya dengan kredibiliti temannya itu, Bombay bertindak sebagai penganjur untuk konsert Awie Rock King – Last Man Standing 2026 yang akan berlangsung di Stadium Merdeka pada 12 September ini.

Bagi Awie atau Ahmad Azhar Othman, 58, konsert tersebut merupakan satu penghargaan besar terhadap perjalanan seni beliau yang telah mencecah lebih empat dekad dalam industri muzik tanah air.

Bagi Awie setiap penyanyi ada aura tersendiri, tak perlu dibanding-bandingkan.

Menurut beliau, konsert ini bukan sekadar persembahan, tetapi sebuah refleksi kepada jatuh bangun serta evolusi yang telah dilalui sepanjang kariernya.

Awie turut meluahkan rasa terharu dengan sokongan peminat yang tidak pernah putus sejak era awal bersama Wings, perjalanan solo, sehingga kini.

Baginya, setiap fasa tersebut membentuk dirinya sebagai seorang anak seni yang lebih matang dan kuat dalam menghadapi perubahan industri muzik.

“Saya harap konsert ini dapat menjadi sebuah pengalaman bermakna kepada semua yang hadir, di samping meraikan legasi muzik rock yang terus hidup dan relevan dalam jiwa peminat pelbagai generasi.

“Apa yang bakal saya tonjolkan di pentas nanti adalah dedikasi istimewa buat semua yang telah bersama-sama dalam perjalanan seni saya selama ini,” katanya.

Awie respek Amy Search yang digelar Raja Rock Malaysia.

Menyentuh mengenai penggunaan tajuk konsert tersebut, Awie Rock King – Last Man Standing 2026, penyanyi Wings itu berkata, beliau tidak pernah terdetik untuk mengejar sebarang gelaran, sebaliknya memenuhi tanggungjawab dengan ikhlas.

“Soal title ini semua saya tak kisah. Nak bagi aku penyanyi sampah atau apa, aku tak kisah. Saya tak ada fikir itu semua, dia ni (Bombay) yang letak tajuk tu kat poster. Daripada mana dia dapat pun saya tak tahu. Yang saya tahu saya pengawal king saja.

“Itu sebenarnya bukan tujuan saya untuk title semua, saya tak harian. Apa yang saya nak adalah memberi satu kepuasan daripada pengalaman yang saya ada.

“Daripada kebolehan yang saya ada sedikit ini saya nak kongsikan dengan peminat setiap kali persembahan. Soal title ni jangan fikir la. Siapa nak ambil nombor satu, nombor dua atau yang teragung sekali pun ambil la,” katanya yang lebih tumpu pada kepuasan penonton tatkala menonton persembahannya.

Meskipun ada yang memandang tinggi terhadapnya sebagai penyanyi rock ternama, Awie tidak pernah lupa untuk memandang ke bumi. Baginya, semua penyanyi sama kerana masing-masing mahu berkongsi bakat.

Bagaimanapun, kata Awie, dalam ramai penyanyi rock, beliau amat menghormati penyanyi Amy Search. Katanya, soal gelaran jangan fikirlah. Siapa nak ambil nombor satu, nombor dua atau yang teragung sekali pun ambillah.

“Tapi saya tetap respek yang betul-betul memegang title nombor satu Malaysia adalah Datuk Amy Search.

“Dia pemula rock scene dalam Malaysia ini dan kita patut angkat dia sebagai Godfather dalam industri rock. Yang title-title ni semua tak payah,” katanya ketika ditemui pada sidang media mengumumkan konsert Awie Rock King: The Last Man Standing, baru-baru ini.

Awie kongsi perjalanan seni menerusi konsert Rock King – Last Man Standing 2026

Oleh: Khadijah Ibrahim

PENYANYI Datuk Awie bakal menjayakan konsert berskala besar pada 12 September 2026 ini, di Stadium Merdeka.

Konsert anjuran Bombbay Legend Worldwide bersama Ultimate Media ini memberi fokus utama untuk perjalanan seni Awie atau Ahmad Azhar Othman, 58, sahaja.

Sebab itulah persembahan mega itu diberi nama Konsert Awie Rock King – Last Man Standing 2026 yang akan menampilkan persembahan solo Awie sepanjang empat dekad perjalanan kerjaya beliau sebagai penyanyi dan artis rakaman profesional dalam industri muzik tanah air.

Bombay sudah lama mengenali Awie dan yakin dengan kemampuan dan tarikan penyanyi tersebut.

Konsert yang akan bermula jam 8.30 malam ini juga akan menjadi antara persembahan paling bersejarah dalam industri muzik tempatan, menghimpunkan elemen muzik, naratif dan produksi berskala besar di satu pentas ikonik.

Pengarah Eksekutif Bombbay Legend Worldwide, Zamberi Shaari atau Bombay berkata, ini bukan kali pertama beliau bekerjasama dengan Awie dalam penganjuran konsert berskala besar.

Menurut Bombay, beliau mempunyai definisi tersendiri kenapa memilih tajuk “Last Man Standing” dan penggunaan gelaran Rock King.

“Konsert ini membawa simbolik kepada perjalanan seni Datuk Awie yang penuh keteguhan melalui jatuh bangun, perubahan era serta transisi daripada kumpulan ke solo dan pelbagai fasa dalam industri muzik.

“Dalam apa jua keadaan, beliau tetap berdiri teguh di atas pentas, mempertahankan identiti dan bahasa seninya yang tidak pernah pudar.

“Manakala, gelaran “Rock King” pula melambangkan sumbangan besar Datuk Awie dalam membawa satu era baharu bagi genre rock di Malaysia, sama ada sebagai penyanyi berkumpulan mahupun solo,” jelas Bombay.

Tambah Bombay, konsert tersebut mengangkat konsep penceritaan perjalanan seni Datuk Awie yang penuh keteguhan dan evolusi. Ia merakam kisah jatuh bangun beliau sepanjang lebih empat dekad dalam industri muzik, daripada era awal bersama kumpulan, fasa solo, sehingga pelbagai perubahan dalam landskap muzik tanah air.

Tiket konsert Awie dijual serendah RM98 hingga ke RM5,998.

“Datuk Awie menjadi watak utama dalam keseluruhan naratif konsert ini, yang menggambarkan keteguhan seorang anak seni yang terus berdiri di atas pentas tanpa mengira cabaran zaman, sambil mengekalkan identiti serta keaslian seninya.

“Melalui konsep “Last Man Standing”, konsert ini turut menzahirkan kekuatan seorang legenda yang mampu bertahan dalam perubahan industri, serta kekal relevan dan dihargai oleh pelbagai generasi,” katanya.

Konsert ini turut menampilkan puluhan pemuzik berkaliber serta himpunan penyanyi undangan popular dan terkemuka. Ia juga membawa mesej penghargaan sebagai sebuah tribute kepada perjalanan 40 tahun seni Awie.

Penglibatan artis jemputan ini menghimpunkan generasi lama dan baharu, dengan setiap penyanyi akan membawakan karya-karya ikonik Awie sebagai tanda penghormatan terhadap legasi beliau.

Susunan repertoir konsert dirangka untuk membawa penonton menyusuri evolusi muzik beliau, menggabungkan elemen nostalgia dengan pendekatan segar, bagi mencipta pengalaman yang lebih dinamik dan bermakna pada setiap segmen persembahan.

Jelas Bombay lagi, pemuzik yang terlibat terdiri daripada individu berpengalaman dengan kekuatan dan gaya muzik tersendiri. Gabungan ini memberikan nilai besar kepada keseluruhan produksi konsert.

“Mereka dibahagikan mengikut latar belakang muzik seperti rock, pop dan genre lain bagi memastikan setiap segmen mempunyai identiti tersendiri. Pendekatan ini menjadikan perjalanan muzik lebih dinamik, dan segar.

“Susunan muzik dibentuk melalui kolaborasi kreatif bersama para pemuzik yang hebat, ternama dan profesional untuk menghasilkan interpretasi baharu terhadap lagu-lagu Datuk Awie, sekali gus memberikan sebuah pengalaman unik kepada penonton dalam mendengar, menghayati dan menonton konsert Awie Rock King – Last Man Standing 2026,” ujarnya.

Antara kejutan yang bakal penonton perolehi jika hadir ke konsert Awie.

Selaku Penerbit dan Pengarah Konsert, Bombay berkata lagi, matlamat utama penganjuran ini adalah untuk memastikan konsert ini berjaya dan mencapai standard tertinggi , khususnya buat Datuk Awie dan para peminat yang hadir.

“Kami mahu konsert ini menjadi satu karya yang memberi impak, malah berpotensi menjadi sebuah masterpiece dalam industri muzik tempatan. Ini penting kerana penonton meluangkan masa dan membayar untuk hadir, jadi kami ingin memberikan pengalaman yang setimpal dan berkualiti tinggi.

“Selain itu, kami berharap konsert ini dapat menjadi pemangkin kepada peningkatan standard penganjuran konsert di masa hadapan dari segi produksi, kreativiti dan konsep setiap persembahan dan keseluruhan pengalaman.

“Akhirnya, harapan kami adalah agar konsert ini dikenang sebagai sebuah konsert yang istimewa- bukan sahaja menghimpunkan ramai artis dan pemuzik di atas satu pentas, tetapi juga memberikan kepuasan dan pengalaman yang bermakna kepada penonton pada malam tersebut,” katanya.

Bagi yang berminat untuk menonton konsert ini, tiket boleh dibeli di platform iLasso Tickets, pada kadar harga CAT 1 – RM98, CAT 2 – RM148, CAT 3 – RM298, CAT 4 – RM348, CAT 5 – RM398, CAT 6 – RM148, CAT 7 – RM448, CAT 8 – RM648, CAT 9 – RM1,198, CAT 10 (Couple Seat) – RM2,998 dan CAT 10 (Table of 4) – RM5,998.

Malaysia Marathon sempena Hari Merdeka bakal cipta sejarah

Oleh: Khadijah Ibrahim

PADA 30 Ogos ini, Malaysia bakal mencipta sejarah baharu dalam penganjuran acara larian melalui Malaysia Marathon, sebuah platform acara khusus yang berdedikasi dalam menyampaikan pengalaman larian berskala besar bertaraf dunia.

Dengan kepakaran mendalam dalam operasi dan logistik perlumbaan, Malaysia Marathon menghimpunkan komuniti melalui acara yang dirangka dengan teliti, sekali gus menggabungkan elemen sukan, pelancongan dan budaya secara lancar.

Acara ini juga merupakan yang pertama dianjurkan sepenuhnya oleh penganjur tempatan serta antara penganjuran marathon komuniti terbesar di Malaysia.

Penganjuran ini diadakan sempena sambutan Hari Merdeka, sekali gus menyemarakkan semangat patriotisme dan perpaduan dalam kalangan peserta serta pengunjung.

Pendaftaran mula dibuka pada 4 Mei 2025, jangan tunggu lagi, terus daftar.

Ia juga bertujuan untuk mempromosikan gaya hidup sihat, di samping mengangkat Malaysia sebagai destinasi pelancongan sukan bertaraf dunia.

Malaysia Marathon menampilkan empat kategori larian iaitu 42km, 21km, 10km dan 5km. Laluan acara ini diiktiraf oleh World Athletics Federation, sekali gus memenuhi piawaian antarabangsa.

Acara ini akan bermula di Pavilion Kuala Lumpur dan berakhir di KLCC, dengan kira-kira 95% laluan menggunakan lebuh raya utama seperti AKLEH dan SUKE, yang menawarkan persekitaran larian yang moden, selamat dan berkualiti tinggi.

Penutupan lebuh raya SUKE dan AKLEH bagi tujuan acara ini turut melibatkan kerjasama konsesi lebuh raya, satu pendekatan pertama seumpamanya di Malaysia.

Presiden Malaysia Marathon, Eddy Casmady berkata, selain perlumbaan, Malaysia Marathon turut dimeriahkan dengan pelbagai elemen hiburan termasuk lapan persembahan di sepanjang laluan, lima pancaragam terbaik serta konsert yang akan bermula seawal jam 9 pagi.

Pilihlah kategori mengikut kemampuan diri kerana yang penting kita nak bersantai-santai.

“Acara ini dijangka menarik kira-kira 50,000 pengunjung sepanjang dua hari penganjuran, dengan penyertaan seramai 25,000 peserta dari dalam dan luar negara, merangkumi pelari elit hingga pelari berasaskan gaya hidup (culture run), sekali gus menghimpunkan pelbagai komuniti dalam satu platform.

“Malaysia Marathon turut mencipta keunikan tersendiri dengan menampilkan rekod baharu pengibaran Bendera Malaysia sepanjang dua kilometer di laluan acara. Bersempena sambutan Hari Malaysia ke-69, potongan harga pendaftaran turut ditawarkan khas kepada rakyat Malaysia.

“Dari segi inovasi, Malaysia Marathon memperkenalkan penggunaan sistem pengesahan Face ID untuk proses pendaftaran serta mewajibkan peserta mengambil sendiri nombor bib semasa Race Pack Collection (RPC).

“Langkah ini bertujuan mengelakkan penipuan penyertaan dan meningkatkan integriti acara, sekali gus menjadikan Malaysia Marathon antara pelopor dalam penggunaan teknologi ini bagi acara larian di negara ini,” jelasnya.

Acara ini telah menarik penyertaan pelari dari 69 negara, merangkumi atlet tempatan dan antarabangsa. Seramai 1,200 sukarelawan awam turut digerakkan bagi memastikan kelancaran dan keselamatan sepanjang penganjuran.

Malaysia Marathon juga mendapat sokongan daripada Tourism Malaysia, Lembaga Lebuhraya Malaysia, serta sokongan media rasmi iaitu Hot FM dan Fly FM.

Pendaftaran juga boleh dibuat menerusi aplikasi.

Sebagai galakan kepada atlet tempatan, ganjaran sebanyak RM50,000 ditawarkan kepada peserta Malaysia yang berjaya memecahkan rekod kebangsaan bagi kategori 42km dan 21km.

Di samping itu, penganjuran ini turut menitikberatkan aspek kelestarian, dengan medal acara diperbuat daripada bahan zink kitar semula.

Malaysia Marathon dijangka menjadi penanda aras baharu dalam penganjuran acara larian di Malaysia, dengan menggabungkan kecergasan, hiburan, teknologi dan semangat kebangsaan dalam satu platform yang unik serta berimpak tinggi.

Proses pendaftaran Malaysia Marathon 2026 dibuka mulai 4 Mei, melalui laman web rasmi dan aplikasi MM, dengan akses eksklusif kepada pemegang kad Maybank (Mastercard & Visa). Pendaftaran kepada orang awam akan dibuka
pada 5 Mei.

Pendaftaran boleh dibuat secara dalam talian melalui aplikasi MM atau laman web rasmi di www.malaysiamarathonofficial.com, dengan langkah mudah iaitu cipta akaun, pilih kategori, isi maklumat dan buat pembayaran (akses awal untuk pemegang kad Maybank).

Yuran pendaftaran bagi kategori Malaysia Open/Veteran adalah RM65 (5KM), RM80 (10KM), RM95 (21KM) dan RM120 (42KM), manakala bagi kategori International Open ialah RM280 (5KM), RM320 (10KM), RM360 (21KM) dan RM400 (42KM).

Konsert “Aishah 40 Chapters of Love”, berkonsep penceritaan melalui muzik

Oleh: Khadijah Ibrahim

BAGI meraikan empat dekad legasi muzik yang telah mengukir namanya dalam industri hiburan tanah air, penyanyi lagu “Janji Manismu”, Datuk Aishah mahu berkongsi rasa itu bersama peminat menerusi sebuah konsert.

Konsert “Aishah 40 Chapters of Love”, bakal berlangsung pada 4 Julai 2026, jam 8 malam di Megastar Arena Kuala Lumpur.

Katanya, konsert anjuran Vox Nation Live, menandakan sebuah detik penting dalam perjalanan seni beliau.

Konsert “Aishah 40 Chapters of Love” adalah anjuran Vox Nation Live.

Tegasnya, konsert tersebut bukan sekadar persembahan kerana ia dirangka sebagai sebuah pengalaman penuh emosi yang menggabungkan cinta, kenangan dan evolusi seni, untuk membawa penonton menelusuri setiap “bab” dalam perjalanan muzik beliau yang panjang dan bermakna.

“Penonton bakal disajikan dengan rangkaian lagu malar segar yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi turut menjadi cerminan memori kolektif generasi peminat.

“Setiap segmen konsert akan mewakili fasa berbeza dalam kehidupan dan kerjaya seni saya kerana konsert ini mengangkat konsep penceritaan melalui muzik.

“Penonton bakal disajikan dengan rangkaian lagu malar segar yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi turut menjadi cerminan memori kolektif mereka mengikut usia masing-masing,” katanya yang kini sibuk membuat persiapan.

Ara Johari merupakan artis undangan untuk konsert Aishah.

Menjelang konsert ini, Aishah kini giat menjalani persiapan dari segi vokal, mental dan fizikal bagi memastikan setiap persembahan mencapai tahap terbaik.

“Konsert ini adalah hadiah saya buat semua peminat yang telah bersama saya sepanjang perjalanan ini. Saya mahu malam itu menjadi satu pengalaman yang benar-benar bermakna, bukan sahaja untuk saya, tetapi untuk semua yang hadir dan berkongsi kenangan bersama,” ujarnya.

Antara lagu wajib yang dijangka mengisi malam istimewa ini termasuk “Janji Manismu”, “Camar Yang Pulang” dan “Kemaafan Dendam Yang Terindah”, di samping pilihan karya lain yang telah lama menjadi “soundtrack” kehidupan rakyat Malaysia.

Untuk konsert tersebut Aishah tidak keseorangan kerana Ara Johari dipilih sebagai artis undangan bagi memeriahkan persembahan nanti.

Gabungan dua generasi suara wanita ini dijangka mencipta momen pentas yang unik, mempertemukan legasi dan suara kontemporari dalam satu persembahan yang segar dan bermakna.

Aishah giat menjalani persiapan dari segi vokal, mental dan fizikal bagi memastikan persembahannya berjalan lancar.

Ketua Pegawai Eksekutif Vox Nation Live, Shawn Chang menyifatkan konsert ini sebagai satu penghormatan kepada perjalanan seni yang luar biasa.

“Ini bukan sekadar konsert, tetapi sebuah naratif yang hidup di atas pentas. Kami mahu setiap penonton merasai emosi di sebalik setiap lagu, dan pulang dengan pengalaman yang benar-benar meninggalkan kesan,” katanya.

Sebagai tanda penghargaan kepada peminat setia Aishah dan pengumpul karya muzik, sebuah “vinyl” eksklusif edisi terhad akan dilancarkan bersempena konsert tersebut.

Dihasilkan dalam jumlah yang sangat terhad, keluaran khas ini dijangka menjadi koleksi bernilai tinggi yang meraikan perjalanan seni Aishah dalam bentuk fizikal yang klasik dan abadi.

Bagi yang mahu menonton persembahan Aishah, tiket berharga RM788 (VVIP), RM488 (VIP), RM488 (Janji Manismu – Ladies Zone), RM388 (Sensation), RM288 (Paradise), RM238 (Kasih Kita), RM198 (Pulanglah dan RM168 (Taman Keabadian) boleh dibeli di
www.ticketmelon.com/voxnationlive/aishah40