Home Blog Page 21

Suami selamatkan Neng Yatimah daripada kerakusan tentera Jepun!

Oleh SYED WAFA
Foto Koleksi Syed Wafa
Sumber : Ladybosz (Terima Kasih Datuk Sri Rozita Ramelan)

APABILA sebut nama pelakon airmata pada era 1950an, pasti terbayang di mata anda Allahyarham Seniwati Neng Yatimah yang berjaya mencuri hati ribuan peminat filem Melayu ketika itu dengan lakonannya yang penuh syahdu dan meruntun jiwa.

Berilah apa watak pun kepada isteri, penyanyi Allahyarham Jasni Ahmad dan ibu kepada Allahyarham Seniwati Datin Roseyatimah, pasti beliau dapat menghayatinya dengan penuh jiwa dan berkesan di hati para peminatnya.

Itulah Neng Yatimah yang terpaksa pendam cita-citanya untuk menjadi guru kerana beliau bersekolah hanya setakat darjah lima.

KEJELITAAN Neng Yatimah amat terserlah meskipun hanya mengenakan mekap yang nipis.

Neng Yatimah yang berkahwin pada usia 18 tahun memulakan kerjayanya dalam bidang lakonan ketika berumur 19 tahun setelah mempunyai anak yang diberi nama Rosnah (Roseyatimah) daripada perkahwinannya dengan jejaka pilihan hatinya, Jasni Ahmad.

Neng Yatimah terpaksa melupakan cita-citanya untuk menjadi guru kerana ayah beliau hanya membenarkan Neng Yatimah bersekolah sehingga darjah lima di Sekolah Perempuan Melayu Rochore, Singapura.

Tetapi kalau sudah itu ketentuan-Nya tiada siapa yang dapat menghalang dan begitulah rezeki Neng Yatimah dalam bidang lakonan.

PENGARAH, S. Ramanathan (duduk) sedang memberi arahan kepada Osman Gumanti (bersongkok) dan Neng Yatimah sebelum memulakan penggambaran satu babak filem “Jiwa Lara.” Filem ini mula ditayangkan pada 30 Mac 1952.
Turut kelihatan Penolong Pengarah dan Penulis Skrip, Allahyarham Datuk Jamil Sulong (berkacamata).

Siapa sangka kerana minatnya terhadap Allahyarham Seniwati Siput Sarawak telah membuka ruang untuknya muncul sebagai seorang seniwati yang kemudiannya digelar ‘Ratu Airmata’ (Queen of Tears) yang dikagumi sehingga hari ini.

Semuanya gara-gara Neng Yatimah berkunjung ke Studio Jalan Ampas (Malay Film Production – MFP) untuk melihat penggambaran filem yang melibatkan Siput Sarawak. Kemunculannya telah menarik perhatian Allahyarham Seniman A.R Tompel yang akhirnya mempelawa Neng Yatimah berlakon.

Apabila suaminya, Jasni Ahmad mengizinkan, Neng Yatimah menjalani ujibakat di depan pengarah Tan Sri L. Krishnan. Setelah berjaya dalam ujibakat tersebut Neng Yatimah terus ditawarkan berlakon dalam filem “Takdir Illahi” (1950) arahan L. Krishnan dengan membawa watak utama sebagai Fatimah berpasangan dengan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

JASNI Ahmad berduet dengan Neng Yatimah dalam lagu “Sumpah Palsu” pada tahun 1950-an.

Mungkin ramai yang tidak tahu, P. Ramlee bukan sahaja terkenal sebagai pelakon dan pengarah tetapi beliau juga hebat dalam ‘mencipta’ nama untuk pelakon baru. Nama Yatimah menjadi Neng Yatimah adalah ilham P. Ramlee apabila mendapat tahu beliau berketurunan Jawa. Begitu juga beliau menukar nama anak Neng Yatimah, Rosnah Jasni yang berlakon dalam filem “Pendekar Bujang Lapok” kepada Roseyatimah kerana gabungan nama Rose dan ibunya, Yatimah.

Bermula dari “Takdir Illahi,” Neng Yatimah telah berlakon 17 lagi filem terbitan Malay Film Production (milik Shaw Brothers) antaranya “Rachun Dunia” (1950), “Bapa Saya” (1951), “Jiwa Lara” (1952), “Patah Hati” (1952), “Ibu” (1953), “Iman” (1954) “Roh Membela” (1955) dan filem terakhirnya “Batu Belah Batu Bertangkup” (1958).

Bagaimanapun setelah sembilan tahun bersama MFP, Neng Yatimah menerima notis mengejut pada 29 Disember 1959 yang mana perkhidmatannya ditamatkan!

Di zaman kegemilangannya, Neng Yatimah sering menjadi ‘Cover Girl’ majalah termasuk Majalah Fesyen pada tahun 1955.

Setelah itu, Neng Yatimah berhijrah ke Cathay Keris. Bersama Cathay beliau membintangi lima filem “Laila Satria, Sri Mersing (1961), Laila Majnun (1962), Air Mata Duyung (1964) dan Jiran Sekampong” (1965) dan apa yang pasti para peminat tetap mengagumi bakat Neng Yatimah terutama dalam babak sedih yang memerlukan beliau menangis!

Mungkin ramai tertanya-tanya bagaimana begitu mudahnya beliau menangis dalam setiap babak sedih lakonan. Namun apapun persoalannya itulah bakat anugerah-Nya buat insan seni bernama Neng Yatimah!

Tetapi sebenarnya pada zaman remaja ketika Singapura dijajah Jepun sekitar tahun 1942, tentera Jepun sering berkeliaran mencari mangsa terutama anak gadis. Neng Yatimah hampir menjadi mangsa kerakusan tentera Jepun.

DALAM kenangan…keluarga bahagia, Jasni Ahmad bersama isteri, Neng Yatimah dan anak tunggal mereka, Roseyatimah.

Bagaimanapun nasib menyebelahi Neng Yatimah apabila jejaka keturunan Bawean iaitu Jasni Ahmad yang tidak disukai bapanya telah menyelamatkan Neng Yatimah dengan mengatakan beliau bukan gadis tetapi adalah isterinya. Rayuan dan keberanian Jasni bertemu tentera Jepun akhirnya Neng Yatimah dibebaskan dari menjadi mangsa nafsu buas tentera Jepun.

Peristiwa itu berlaku dalam sekelip mata dan Neng Yatimah amat bersyukur dan disebabkan itu bapanya merestui hubungan mereka. Neng Yatimah berkahwin dengan Jasni Ahmad yang telah menyelamatkannya daripada kerakusan tentera Jepun!

Apakah kemungkinan peristiwa yang menggerunkan itu masih menghantui Neng Yatimah yang berjiwa sensitif sehingga membuatkan airmatanya begitu mudah mengalir ketika melakonkan babak sedih?

POSTER filem “Ibu” (1953) lakonan Neng Yatimah dan P. Ramlee. Melalui filem ini Neng Yatimah dianugerahkan Pelakon Terbaik pada Festival Filem Malaya pada tahun 1953/1954 yang berlangsung di Singapura.
KECANTIKAN asli seorang gadis kampung jelas terserlah pada wajah Neng Yatimah dalam salah satu filem lakonannya.
NENG Yatimah di zaman kegemilangannya

Setelah 15 tahun meninggalkan dunia lakonan dengan filem “Jiran Sekampong,” Neng Yatimah diundang berlakon dalam dua filem “Potret Maria” (1980) arahan Yassin Salleh dan filem terakhir lakonanya arahan Allahyarham Seniman Ahmad Mahmud iaitu “Mama Oh Mama” (1981). Filem tersebut diterbitkan oleh Ahmad Mahmud Co. Sdn. Bhd.

Sepanjang bergelar anak seni, Neng Yatimah telah menerima tiga penghargaan kerana sumbangannya pada dunia senilakon. Beliau menerima Anugerah Pelakon Veteran di Festival Filem Malaysia ke-13 (FFM13) pada tahun 1997. Pada tahun 2011, beliau menerima Anugerah Sri Temasek (AST) yang dianjurkan dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS). Sebelum itu, pada Festival Filem Malaya pada tahun 1953/1954, beliau dianugerahkan Pelakon Terbaik kerana lakonannya dalam filem “Ibu” terbitan Malay Film Production pada tahun 1953.

Dalm sebuah filem bersama anak tercinta Roseyatimah.
PASANGAN sejoli… Datuk Mustapha Maarof dan Roseyatimah.
PUSARA Mustapha Maarof bersebelahan dengan pusara isterinya, Roseyatimah di Tanah Perkuburan Islam Ampang, Kuala Lumpur.

Saya juga berkesempatan bertemu seniwati hebat ini. Kenangan bersama beliau amat saya hargai dan menjadi kenangan yang tidak dapat saya lupakan. Ketika itu saya menguruskan majlis bersama seniman dan seniwati legenda yang dianjurkan oleh Restoran Saloma di Jalan Ampang (Kini sudah tidak beroperasi) milik usahawan terkenal tanah air, Tan Sri Syed Yusof atau lebih mesra dengan panggilan Jojo.

Ketika di akhir pertemuan saya bersama seniwati Neng Yatimah iaitu sebelum beliau berangkat pulang, seniwati ini ingin mencium pipi saya sebagai tanda perpisahan untuk beliau pulang ke Singapura. Saya dapat rasakan air mata beliau mengalir di pipi saya ketika itu dan saya amat sebak dapat rasakan kasih sayang seorang ibu kepada anaknya yang tak sanggup berpisah.

PENULIS, Syed Wafa menemani Neng Yatimah menziarahi pusara anaknya, Roseyatimah di Tanah Perkuburan Islam Ampang, Kuala Lumpur.
SENIMAN dan seniwati menziarahi pusara Tan Sri P. Ramlee di Tanah Perkuburan Islam Ampang, Kuala Lumpur.
Berdiri depan: Kamaliah Latiff (anak Momo Latiff), Allahyarham Momo Latiff, Neng Yatimah, Aziz Sattar, Zaiton, Mimi Loma, Allahyarham Kassim Masdor dan Abbas Bakar dan isteri.
Berdiri di belakang: Zaini Sattar dan Syed Wafa(Penulis).

“Ibu akan sentiasa mengingati dan rindu Wafa, jika datang ke Singapura jangan lupa jumpa ibu,” itulah kata-kata akhir beliau kepada saya dan sejak itu kami tidak bertemu lagi. Tetapi momen indah bersama beliau sentiasa menjadi kenangan amat berharga dalam hidup saya.

Neng Yatimah meninggal dunia kerana sakit tua dan beberapa penyakit lain antaranya kanser usus, pada 19 Mac 2016 di Hospital Khoo Teck Phuat, Singapura.

Kenangan indah antara Neng Yatimah dengan Syed Wafa(Penulis).
CIUMAN terakhir seorang ibu, Neng Yatimah buat anak angkat kesayangannya, Syed Wafa(Penulis).

Sebelum itu, suami Allahyarham, Jasni Ahmad meninggal dunia pada tahun 1987 iaitu beberapa bulan sebelum Roseyatimah menghembuskan nafas terakhir pada 14 Disember 1987 kerana kanser payudara. Sementara itu, menantunya Datuk Mustapha Maarof meninggal dunia pada 15 Disember 2014.

Kami di Ladybosz mendoakan semoga roh arwah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam golongan orang yang beriman…Amin.


Kredit: Terima kasih Ladybosz.com dan Dato Seri Rozita Ramelan

 

1 Cinta 1 Rindu daripada Tantari

Oleh: Khadijah Ibrahim

MESKIPUN usianya baru menjangkau 9 tahun, namun Tantari berjaya mengukir nama sebagai penyanyi kanak-kanak yang popular.

Lagu pertama yang dirakam pada 2024, Rindu Hatiku Rindu, berjaya meraih lebih 16 juta tontonan di platform YouTube.

Kini Tantari atau nama sebenarnya, Mohd Naufal Zahirul Mohd Alfian kembali dengan buah tangan terbaharu daripada komposer Eddie Hamid, menerusi lagu 1 Cinta 1 Rindu yang dijangka bakal meruntun jiwa pendengar.

Single terbaharu beliau itu merupakan kesinambungan kepada perjalanan seninya yang kian memuncak.

Tantari harap lagu 1 Cinta 1 Rindu bakal mendapat sambutan hangat seperti Rindu Hatiku Rindu.

Lagu 1 Cinta 1 Rindu yang liriknya ditulis leh Jaju, Hakim Hakimi dan Te Ha itu, bukan sekadar sebuah karya muzik biasa, ia merupakan sebuah penceritaan emosi yang mendalam mengenai realiti perhubungan zaman moden.

Mengangkat tema cinta yang tidak kesampaian, lagu ini menggambarkan betapa peritnya sebuah kerinduan yang tidak pernah pudar walaupun hakikatnya tidak lagi dapat bersama.

Lagu ini menterjemah realiti kehidupan di mana percintaan lama dua insan tidak semestinya sampai ke penghujung yang diimpikan.

Walaupun sesebuah hubungan dibina dalam jangka waktu yang panjang, masa dan situasi semasa boleh membuatkan orang yang dicintai berubah hati dan akhirnya meninggalkan pasangannya.

Menurut Eddie, 1 Cinta 1 Rindu merupakan gabungan antara realiti dan interpretasi perasaan yang universal.

Tantari, penyanyi cilik yang menyerlah.

“Lagu ini diinspirasikan daripada kisah-kisah benar yang berlaku di sekeliling saya termasuk pengalaman individu terdekat yang bergelut dengan rasa rindu.

“Malah, saya juga menyuntik sedikit emosi yang pernah saya rasai sendiri agar penyampaian itu kedengaran lebih jujur dan tulus dari sudut hati,” ujar komposer yang sedang hangat dengan lagu ciptaannya, Adek Saye Abe Sore.

Walaupun sudah pernah bekerjasama dengan komposer dan penulis lirik yang sama, Tantari tetap berhati-hati.

Proses rakaman dijalankan dalam suasana membina di mana tunjuk ajar pakar-pakar dalam penghasilan muzik dicurahkan kepada Tantari bagi memastikan roh lagu ini benar-benar sampai ke jiwa pendengar.

Walau bagaimanapun, perjalanan menyiapkan lagu ini tidaklah semudah yang disangka. Tantari mengakui bahawa cabaran terbesar yang dihadapinya adalah untuk mendalami emosi sepanjang sesi rakaman.

“Cabaran paling payah adalah untuk menjiwai rasa rindu dan kesedihan itu. Saya perlu berhati-hati agar tidak menyampaikannya secara berlebihan (over-emotional).

Video muzik dapat ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos.

“Namun dalam masa yang sama, vokal saya harus dijiwai sepenuhnya untuk membuatkan pendengar turut merasai kepedihan tersebut seperti yang dimahukan abang Eddie,” kata murid Sekolah Kebangsaan Bandar Rinching, Semenyih, Hulu Langat, Selangor itu.

Bagi memastikan kualiti terbaik, Tantari mengambil masa selama beberapa minggu untuk proses ‘pemanasan’ emosi dan penjiwaan lirik sebelum melangkah ke studio rakaman.

Rakaman vokal pula dilakukan dalam beberapa sesi berasingan bagi memastikan setiap baris lirik dinyanyikan dengan kualiti vokal yang optimum.

Berbekalkan kejayaan single terdahulu, Tantari meletakkan harapan yang tinggi agar 1 Cinta 1 Rindu dapat diterima baik oleh peminat seni suara tanah air dan pencinta muzik serantau.

“Harapan saya agar lagu ini dapat menyentuh hati mereka yang mendengar, terutamanya bagi mereka yang pernah atau sedang melalui perpisahan. Saya mahu lagu ini menjadi teman buat mereka yang sedang merindu orang yang pernah dicintai,” kata Tantari.

Lagu 1 Cinta 1 Rindu terbitan Nova Music Malaysia boleh distrim di semua platform penstriman muzik digital utama, manakala muzik video rasmi lagu tersebut boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos di pautan https://youtu.be/aN5OijdC9j8

Kenny G datang ke Malaysia lagi, 12 Julai ini

Oleh: Khadijah Ibrahimw

PEMAIN saksafon tersohor, Kenny G, bakal kembali ke Malaysia bagi menjayakan konsert King of Saxophone” Kenny G 2026 World Tour in Malaysia pada 12 Julai 2026 (Ahad), jam 6 petang di Arena of Stars, Resorts World Genting.

Kehadiran pemain saksafon kelahiran Seattle, Amerika Syarikat, yang bakal berusia 70 tahun pada 5 Jun ini, dibawa khas oleh penganjur Everbeat Entertainment dengan kerjasama CEOMAN Entertainment.

Pemenang Anugerah Grammy untuk kategori Komposisi Instrumental Terbaik pada 1994 yang nama sebenarnya, Kenneth Bruce Gorelici akan membawakan keindahan muzik jazz untuk peminat yang menantikan kehadirannya.

Kenny G antara pemain saksafon yang tersohor di dunia seni.

Daripada karya klasik seperti “Songbird”, “Forever in Love” dan “Silhouette” hingga ke lagu-lagu terbaharunya, beliau memikat pendengar di seluruh dunia selama lebih empat dekad.

Dengan jualan melebihi 75 juta album studio di seluruh dunia, Kenny G merupakan antara pemuzik instrumental paling laris dalam sejarah muzik.

Apabila Kenny G tampil di pentas dengan melodi yang menyentuh jiwa, ia mencipta suasana sempurna buat mana-mana pasangan menikmati malam romantik yang penuh kenangan selain diperkaya dengan seni muzik luar biasa sentuhannya.

Peminat boleh menjangkakan pengalaman persembahan secara langsung yang memukau, menampilkan melodi ikonik serta susunan muzik yang menyentuh perasaan, digabungkan dengan produksi pentas yang elegan.

Persembahan ini menggabungkan elemen nostalgia, romantik dan kehebatan muzik bertaraf dunia dalam satu malam yang tidak akan dilupakan.

Bagi yang ingin hadir ke konsert Kenny G bolehlah lihat kedudukan dan harga tiket yang ditawarkan.

Beliau juga pernah berkolaborasi dengan beberapa artis terkenal antarabangsa antaranya Celine Dion, Andrea Bocelli, Andy Lau, Kanye West, The Weeknd dan terkini, Charlie Puth.

Selain dokumentari “Listening to Kenny G” (2021), beliau juga memegang rekod dunia bagi note berterusan paling panjang — note E-flat — selama hampir 46 minit.

Tiket menyaksikan persembahan ini boleh didapati melalui MAISEAT
(https://www.maiseat.com/#/shows?projectId=12745) and rwgenting.com dengan harga RM668 (VIP), RM558 (PS1), RM458 (PS2), RM358 (PS3) dan RM258 (PS4).

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, ikuti Everbeat Entertainment di Facebook dan @everbeat_entertainment di Instagram.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by EVERBEAT (@everbeat_entertainment)

Athierah “Berdiri” mengatur langkah dalam seni

Oleh: Khadijah Ibrahim

DARI masa ke semasa ada sahaja bakat baharu muncul dalam bidang seni suara tempatan. Sekarang ini kalau ada yang menyanyi di media sosial (tunjuk bakat) kalau kena gaya akan ditawar menjadi penyanyi rakaman.

Kalau tak mendapat tawaran daripada mana-mana syarikat rakaman sekalipun , anda masih lagi boleh merakam lagu di studio secara profesional, janji ada bajet untuk cari komposer, penulis lirik atau penerbit.

Seorang lagi bakat baharu yang mahu mencuba nasib dalam bidang seni suara ini ialah Athierah, yang tampil dengan single pertama berjudul Berdiri.

Lagu ini membawa mesej tentang kekuatan diri, keberanian untuk bangkit dan semangat untuk terus melangkah walau berdepan pelbagai cabaran dalam kehidupan.

Athierah seronok dapat bekerjasama dengan komposer Ajai.

Bagi Athierah atau nama sebenarnya Nor Athierah Aqielah Nor Azman, 22, Berdiri bukan sekadar sebuah lagu biasa, malah karya tersebut mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan perjalanan hidup serta pengalaman peribadinya sepanjang bergelar anak seni.

Menurutnya, sebaik sahaja mendengar melodi dan keseluruhan susunan muzik lagu tersebut buat pertama kali, dia terus merasakan satu hubungan yang kuat dengan karya berkenaan.

“Bagi saya, lagu Berdiri sangat istimewa sebab mesej yang dibawa memang dekat dengan diri saya. Lagu ini banyak berkisarkan tentang kekuatan diri dan bagaimana kita bangkit semula selepas melalui pelbagai fasa dalam hidup.

“Bila pertama kali dengar muzik dan melodi lagu ini, saya terus rasa bersemangat dan yakin lagu ini mempunyai sesuatu yang boleh sampai kepada pendengar,” katanya.

Menariknya, single ini juga menyaksikan Athierah berpeluang bekerjasama dengan komposer dan penerbit terkenal, Ajai, yang disifatkannya sebagai satu pengalaman yang sangat berharga dalam perjalanan seninya.

Menurut Athierah, sepanjang proses rakaman berlangsung, beliau banyak mempelajari aspek penting dalam penyampaian sesebuah laguterutama dari segi emosi dan penghayatan.

Athierah sedang melanjutkan pengajian di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan dalam jurusan teater.

“Bekerja dengan Uncle Ajai memang satu pengalaman yang saya akan ingat sampai bila-bila. Banyak perkara yang saya belajar daripada beliau, terutama tentang bagaimana untuk menyampaikan emosi dalam lagu dengan lebih jujur dan tepat.

“Uncle Ajai juga sangat teliti ketika proses rakaman. Kadang-kadang perkara kecil pun diberi perhatian supaya hasil akhirnya benar-benar memberi kesan kepada pendengar. Dari situ saya belajar bahawa menyanyi bukan sekadar tentang vokal, tetapi juga tentang rasa dan jiwa,” ujarnya.

Bercerita mengenai perjalanan seninya pula, Athierah mengakui minat terhadap dunia nyanyian sudah bermula sejak kecil lagi.

Namun, perjalanan untuk serius dalam industri hiburan bukanlah sesuatu yang mudah kerana dia juga pernah melalui pelbagai cabaran dan fasa jatuh bangun sebelum mendapat peluang merakamkan single sendiri.

“Saya memang minat menyanyi sejak kecil lagi. Dari dulu saya suka buat persembahan dan aktif dalam bidang seni. Tapi untuk sampai ke tahap sekarang, saya lalui macam-macam pengalaman dan cabaran juga.

“Jadi bila diberi peluang untuk merakamkan lagu Berdiri, saya rasa sangat bersyukur sebab ini merupakan peluang yang sangat besar buat saya. Tambahan pula dapat bekerjasama dengan komposer hebat seperti Uncle Ajai, memang satu pengalaman yang cukup bermakna,” katanya lagi.

Lagu Berdiri membawa mesej tentang kekuatan diri, keberanian untuk bangkit dan semangat untuk terus melangkah.

Dalam pada itu, Athierah turut berkongsi perancangannya untuk terus aktif menghasilkan karya-karya baharu pada masa akan datang selain mahu mencabar diri meneroka pelbagai genre muzik.

Dia juga melihat industri muzik hari ini semakin berkembang dan kompetitif, sekali gus membuatkan dirinya lebih bersemangat untuk terus belajar dan memperbaiki diri sebagai seorang penghibur.

“Saya berharap dapat terus menghasilkan lebih banyak lagu selepas ini dan cuba pelbagai genre supaya saya boleh berkembang sebagai seorang artis.

“Industri sekarang sangat kompetitif, jadi saya rasa penting untuk sentiasa belajar dan mencari identiti sendiri dalam muzik,” tambah anak kelahiran Kuala Lumpur ini lagi.

Selain berjinak-jinak dalam bidang nyanyian, Athierah juga kini sedang melanjutkan pengajian di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dalam jurusan Teater.

Menurutnya, dunia lakonan dan teater banyak membantu dirinya dari segi keyakinan, ekspresi emosi serta cara membawa diri ketika membuat persembahan di atas pentas.

Lagu Berdiri yang diterbitkan oleh Inisiatif Seni Kreatif (ISK) boleh didengar di semua platform digital manakala muzik video pula boleh ditonton melalui YouTube Indigital Music.

KEETH Kembali Dengan EP Hollywood Diaries

Oleh: Syed Yusof Wafa

Terus bangkit, selepas Kejayaan Naib Juara Asia New Beat Grand Finals, Bintang rock Malaysia yang semakin meningkat, KEETH, bakal mencipta satu lagi pencapaian penting dalam industri muzik tempatan menerusi pelancaran EP terbaharunya yang dinanti-nantikan, Hollywood Diaries, yang diperkenalkan melalui sidang media eksklusif pada 7 Mei yang lalu di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur.

Acara yang dianjurkan oleh Sony Music Malaysia dengan kerjasama SWYM Entertainment ini menandakan satu detik penting dalam perjalanan seni KEETH, ketika beliau mula mendapat perhatian di peringkat serantau hasil pencapaian antarabangsa terbaharunya.

Pengiktirafan Serantau di Bangkok

Menambahkan lagi keterujaan menjelang pelancaran EP ini, KEETH baru-baru ini berjaya meraih gelaran Naib Juara di Asia New Beat Grand Finals yang berlangsung di Bangkok pada 21 Mac lalu.

Bersaing bersama bakat-bakat terbaik dari seluruh rantau Asia, pencapaian ini bukan sahaja menyerlahkan kehebatan seni KEETH, malah turut mengharumkan nama Malaysia dengan membawa muzik asli Malaysia ke pentas antarabangsa.

Pengiktirafan ini telah mencetuskan perhatian besar menjelang pelancaran Hollywood Diaries, sekali gus meletakkan KEETH sebagai antara artis rock Malaysia paling berpotensi untuk menembusi pasaran serantau dan antarabangsa.

KEETH bukanlah artis baharu biasa. Sebagai penyanyi-penulis lagu dan multi-instrumentalis berpengalaman, beliau terkenal dengan vokal bertenaga, julat suara yang luas, serta persembahan pentas yang penuh karisma dan tenaga.

Karier beliau merangkumi pentas tempatan dan antarabangsa, termasuk:
Membuka persembahan untuk Steven Adler daripada Guns N’ Roses di venue ikonik Whisky A Go Go, Los Angeles
Mewakili Malaysia di World Championship of Performing Arts (WCOPA) dan memenangi 6 Pingat Emas serta gelaran Division Champion
Membuat persembahan di festival terkenal seperti Byron Bay Bluesfest di Australia dan Bali Blues Festival
Menjadi vokalis utama kumpulan rock legenda Malaysia MAY di hadapan penonton sehingga 20,000 orang

Melalui kolaborasi dan hubungan bersama pemuzik yang mempunyai kaitan dengan kumpulan antarabangsa seperti Aerosmith dan Guns N’ Roses, KEETH berjaya membentuk identiti muzik yang menggabungkan pengaruh rock global dengan akar budaya Malaysia.

Hollywood Diaries bukan sekadar sebuah EP, tetapi refleksi perjalanan peribadi KEETH dalam mengharungi dunia muzik merentasi benua, budaya, dan pentas persembahan.

Projek ini merangkumi
pengalamannya dalam dunia rock Hollywood
Konflik antara identiti diri dan cita-cita besar
Evolusinya sebagai artis Malaysia yang mampu bersaing di peringkat global
EP ini turut menampilkan single fokus khas berjudul “Fallin’ (Oceans)”, yang menjadi pintu masuk emosi kepada dunia sonik dan artistik KEETH.

Sidang media rasmi yang berlangsung di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur baru-baru ini memberikan pihak media dan tetamu jemputan peluang eksklusif untuk menyaksikan era baharu perjlanan seni KEETH.

Dalam era di mana muzik arus perdana Malaysia banyak didominasi genre pop dan urban, KEETH tampil membawa kebangkitan semula muzik rock yang dimodenkan, bertaraf global, dan dipenuhi emosi.

Dengan Hollywood Diaries serta pencapaian serantaunya baru-baru ini, KEETH bukan sekadar melancarkan muzik baharu, tetapi sedang mengetuai gelombang baharu rock Malaysia dengan kredibiliti antarabangsa.

Hollywood Diaries meneroka perjalanan KEETH melalui muzik, budaya, emosi, dan identiti diri sepanjang kehidupannya menetap dan membuat persembahan di luar negara, khususnya di Los Angeles.

EP ini menggabungkan elemen rock berat berasaskan distorted sound, balada emosional, pengaruh akustik, tekstur blues dan gospel, serta eksperimen sonik rentas budaya.

Dirakam di Los Angeles, Indonesia, dan Malaysia, EP ini merakamkan pelbagai emosi, pengalaman, dan suasana yang membentuk perspektif artistik KEETH.

Dengan kolaborasi produksi bersama Soba dan Zac, Hollywood Diaries mewakili evolusi seni KEETH yang lebih berani dan dipengaruhi elemen global berbanding karya-karyanya sebelum ini.

Antara pengaruh muzik KEETH termasuk Paganini, Enya, pemuzik blues Amerika, serta muzik elektrik dari era 1950-an hingga kini. Berbanding menjadikan artis tertentu sebagai inspirasi utama, KEETH berkongsi bahawa beliau lebih terinspirasi oleh “bunyi terlebih dahulu” – tekstur emosi dan tenaga yang hadir dalam muzik itu sendiri.

“Fallin’ (Oceans)” merupakan antara lagu paling emosional dan berlapis dalam EP ini.
Berbeza daripada arah muzik album yang lebih berat dan dipenuhi riff gitar, lagu ini menggabungkan tekstur bunyi berinspirasikan Indonesia, pengaruh gospel dan blues, lirik puitis, serta atmosfera yang lebih sinematik dan emosional.

Lagu ini diinspirasikan oleh minat KEETH terhadap aktiviti surfing, pengalaman boating melalui perniagaan keluarganya (Boat Explorer), serta pengembaraan mengenali budaya, bunyi, dan manusia baharu. Lagu ini juga menjadi interpretasi peribadi beliau terhadap cinta dan hubungan emosi.

“Setiap lagu mempunyai identitinya sendiri, tetapi semuanya dihubungkan melalui heavy riffing. Album ini banyak berkisar tentang kehidupan saya di Los Angeles dan interpretasi saya terhadap apa itu rock n roll. Album ini menerangkan pelbagai situasi dan emosi dalam satu pakej rock n roll. Cara terbaik untuk memahami album ini adalah dengan menontonnya secara langsung, dan saya sangat bangga serta gembira akhirnya dapat berkongsi EP ini.

“Terdapat sebuah single istimewa dalam album ini berjudul Fallin’ (Oceans). Ia bermula daripada minat saya terhadap puisi — lirik lagu ini berasal daripada puisi yang saya tulis sendiri. Lagu ini mewakili spektrum emosi dan idea saya tentang cinta, dicampurkan dengan bunyi Indonesia dan muzik rock. Ia diinspirasikan oleh surfing, boating, penemuan budaya, muzik, bunyi, dan manusia.

“Hari ini dunia saling berhubung secara digital. Apa yang saya mahu tunjukkan ialah pemuzik dari Malaysia mampu membawa muzik kita — terutamanya muzik rock — ke tahap antarabangsa dan berdiri sama tinggi dengan pemuzik dunia tanpa sebarang batasan. Ini adalah refleksi seni dan budaya kita. Saya berasal dari Malaysia, letakkan saya di mana-mana pentas sekalipun — saya bersedia untuk Rock n Roll.” ujar beliau.

Filem Nar’sata: Sekutu Setan percubaan berani Metrowealth

Oleh: Khadijah Ibrahim

KALAU anda seorang penakut, dilarang menonton filem terbaharu terbitan Metrowealth (MIG) yang berjudul Nar’sata: Sekutu Setan.

Hah! Baca judul pun dah seram! Tapi kalau anda seorang penonton yang berani dan suka cabaran, eloklah menguji ketahanan anda dengan menonton filem arahan Pierre Andre yang mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 21 Mei 2026.

Bagi Metrowealth, filem ini merupakan satu percubaan kerana Nar’sata: Sekutu Setan dipenuhi babak aksi ganas dan elemen gore yang berani. Filem ini tampil sebagai percubaan berani dalam genre thriller gore, dengan pendekatan lebih ekstrem dan matang berbanding karya mereka terdahulu.

Trisha Ooi peneraju utama filem arahan Pierre Andre.

Menurut penerbit, David Teo, naskah ini merupakan satu taruhan berisiko tinggi, namun diyakini mampu membawa kelainan kepada landskap filem tempatan.

“Filem ini dipenuhi babak aksi ganas dan elemen gore yang berani, filem ini menjanjikan pengalaman tontonan yang intens dan berbeza, khusus buat peminat genre thriller gore yang mencari kelainan.

Filem Nar’sata: Sekutu Setan ditulis dan diarahkan oleh Pierre Andre.

“Tambahan pula, filem ini ditampilkan dengan gaya pengarahan lebih keras, menggabungkan elemen psikologi, spiritual dan gore dalam satu penceritaan yang gelap serta intens. Justeru itu, filem Nar’sata: Sekutu Setan diklasifikasikan 18SG dan disasarkan khusus kepada penonton matang,” jelas David.

Filem yang ditulis oleh Pierre Andre itu, diterajui oleh Trisha Ooi, pemenang Pelakon Wanita Harapan Festival Filem Malaysia ke-33, bersama Mawar Rashid sebagai pelakon utama, sekali gus memperlihatkan gabungan dua figura wanita yang membawa kekuatan emosi dan daya tarikan komersial kepada filem ini.

Barisan pelakon filem Nar’sata: Sekutu Setan yang diklasifikasikan 18SG dan disasarkan kepada penonton matang.

Turut membarisi filem ini ialah pelakon muda seperti Fadlan Hazim, Khenobu, Dai Fuad, Imranul Effendy dan Aniq Suhair. Kekuatan lakonan mereka turut diperkukuhkan dengan kehadiran pelakon berpengalaman seperti Khatijah Tan, Namron, Wan Hanafi Su, Ashraf Muslim serta Vanidah Imran.

Dalam perkembangan lain, Metrowealth turut memaklumkan bahawa mereka kini sedang menjalani penggambaran filem Jangkar, arahan Jason Chong, yang dijangka ditayangkan pada tahun 2027.

Reezal harap Muezza Archery dapat lahirkan atlet elit dalam bidang memanah

Oleh: Khadijah Ibrahim

PENAUNG Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican melahirkan rasa bangga dengan usaha yang dilakukan oleh Muezza Education Group Sdn Bhd kerana berjaya melaksanakan program pembangunan bakat-bakat sukan di peringkat akar umbi.

Kata Reezal, jika Malaysia ingin mendapatkan pingat emas di Sukan Olimpik, perkara yang perlu diambil berat adalah melihat pada jenis sukan yang kita ada kemampuan dan bukan kepada sukan yang memerlukan kekuatan fizikal.

“Saya sentiasa beranggapan, antara perkara penting yang perlu dilakukan bilamana kita hendak mendapatkan pingat emas yang kita nanti-nantikan di Sukan Olimpik ini adalah untuk melihat jenis-jenis sukan yang kita ada kemampuan.

“Tak guna kita tengok sukan yang memerlukan kekuatan fizikal, kelajuan dan aspek-aspek yang mungkin tidak ada pada rakyat Malaysia. Apa yang perlu kita tumpukan adalah pada acara kegemaran seperti archery (memanah) ini adalah acara yang boleh dikatakan subjektif.

“Bayangkanlah peserta dari Korea boleh menjadi powerhouse dalam archery, walaupun acara ini dahulu di peringkat dunia dikuasai oleh Finland, Perancis, dan juga US. Tapi sekarang sudah muncul India, China, Taiwan. Malah, peserta dari India pun sudah ternama,” katanya yang menyokong pelaksanaan Muezza Archery (Akademi Memanah Muezza) di bawah naungan Muezza Education Group Sdn Bhd.

Reezal Merican menghargai usaha Muezza Education Group Sdn Bhd untuk melahirkan atlet memanah menerusi Muezza Archery.

Tambahnya lagi, sesiapa saja tanpa mengira dari negara mana pun mampu untuk mencapai penamat dalam bidang yang disukai.

“Kita dulu ada pemanah Khairul Anuar (2019-2020) yang berjaya mendapat pingat perak dalam Kejohanan Dunia. Dan dia adalah antara salah seorang daripada yang pernah memasuki suku akhir di peringkat Sukan Olimpik.

“Kita separuh akhir pun tak pernah masuk. Olimpik ini lain sikit, ia ada recurve saja. Ada recurve (busur lengkung) termasuk compound mix untuk kali ini di US, Los Angeles.

“Maknanya untuk Olimpik ada recurve wanita, recurve lelaki, recurve mix lelaki dan wanita, dan juga recurve double dengan recurve mix. Dan untuk tahun ini, ia tambah lagi satu, compound mix. Maknanya ada enam pingat yang akan ditawarkan.,” jelasnya tentang kelebihan sukan memanah yang boleh direbut jika negara ada atlet yang berkemamuan.

Kata Reezal, dalam keadaan teknologi yang makin berkembang, tak mustahil negara dapat melahirkan atlet elit dalam sukan memanah. Bagaimanapun katanya, apa yang lebih penting sukan memanah membawa kepada kesihatan.

“Untuk acara memanah, kita boleh lihat bagaimana tahap ketepatan, tahap keanjalan ototnya, tahap keupayaan, tahap debaran denyutan jantung, tahap helaian nafas.

“Semua itu nampak ringan, tapi semua itu adalah aspek keseluruhan untuk memastikan seorang atlet elit boleh berjaya untuk merangkul pingat. Lagipun sukan ini (memanah) adalah sukan yang dianjurkan dalam agama Islam, Nabi pun ada sebut antara yang Nabi anjurkan pada kita untuk belajar: berkuda, berenang, dan juga memanah.

“Saya rasa apa yang dibuat oleh Muezza Academy ini adalah suatu benda yang amat baik. Dan saya amat berharap bahawa Muezza Academy dapat menjadi feeder pool kepada peringkat MSN dan sampai saat di satu ketika nanti antara mereka boleh diangkat menjadi atlet di sukan peringkat elit,” katanya yang ditemui pada majlis konvokesyen dan majlis pengiktirafan Muezza Education Group di Pusat Belia Antarabangsa, Bandar Tun Razak, Cheras, pada 16 Mei, baru-baru ini bagi meraikan kejayaan para pelajar daripada Muezza Archery dan Muezza Swimming.

Program Permata Madani Akademi Muezza, gabungkan sukan, akademik dan agama

Oleh: Khadijah Ibrahim
Foto: IG – reezal_merican

BERMULA Jun ini, Akademi Muezza bakal memperkenalkan Program Permata Madani yang menggabungkan elemen sukan memanah, akademik dan agama dalam satu ekosistem pembelajaran holistik untuk pembangunan kanak-kanak.

Program berkenaan diwujud bagi membentuk pembangunan sahsiah, keyakinan diri serta penekanan kepada kemahiran komunikasi kanak-kanak seiring keperluan pendidikan semasa.

Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Muezza, Abdul Halim Aliumar berkata, sebelum ini pihak mereka lebih memberi tumpuan kepada pembangunan sukan khususnya melalui disiplin memanah dan renang.

Kini Akademi Muezza memperluaskan peranannya dengan memperkenalkan dua teras baharu iaitu akademik dan pendidikan agama.

“Kami akan lancarkan dua teras ini serentak pada Jun ini. Untuk akademik, kami mulakan dengan program 3M iaitu membaca, menulis dan mengira. Namun ini bukan konsep tuisyen biasa.

Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Muezza, Abdul Halim Aliumar.

“Kami mahu fokus kepada pembangunan keyakinan diri dan kemahiran komunikasi pelajar melalui pendekatan fun learning,” katanya ketika ditemui pada Konvokesyen Akademi Muezza, di Pusat Belia Antarabangsa, Cheras, baru-baru ini.

Seramai 197 pelajar diraikan sempena konvokesyen pertama sejak penubuhannya tiga tahun lalu dan majlis tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam.

Kata Abdul Halim lagi, program tersebut akan menawarkan kelas Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Mandarin dalam suasana pembelajaran interaktif yang menggabungkan pelajar daripada pelbagai peringkat umur dan kemudahan sukan.

Ujarnya, pendekatan itu diyakini mampu mewujudkan proses perkongsian ilmu secara semula jadi selain membantu meningkatkan tahap keberanian pelajar untuk berinteraksi.

“Kami turut bekerjasama dengan syarikat yang berpengalaman dalam pembangunan silibus sekolah swasta bagi mempercepat pembinaan modul kemahiran pembelajaran,

“Apa yang penting, kami mahu mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih santai dan aktif termasuk elemen permainan, aktiviti memanjat dan pembelajaran secara praktikal,” jelasnya.

Seramai 197 pelajar diraikan sempena konvokesyen pertama sejak penubuhan Akademi Muezza tiga tahun lalu, yang berlangsung di Pusat Belia Antarabangsa, Cheras, baru-baru ini.

Selain akademik, beliau berkata, teras agama akan diperkenalkan menerusi kerjasama dengan Yayasan Maghfirah melalui projek Sahabat al-Quran, pembelajaran al-Quran dengan modul yang memfokuskan pendidikan, akhlak dan kepimpinan.

Abdul Halim berkata, pelajar yang diraikan terdiri daripada peserta dalam kategori memanah beginner, intermediate dan advanced yang dipilih berdasarkan pencapaian sepanjang tahun lalu

Katanya, Akademi Muezza ketika ini mempunyai tiga teras utama sukan iaitu memanah, renang dan bola sepak dengan jumlah keseluruhan pelajar melebihi 3,700 orang di seluruh negara.

“Setakat ini kami mempunyai kira-kira 37 studio dalaman dan lebih 40 lokasi luar termasuk sekolah serta padang bagi aktiviti latihan memanah dan sukan lain,” katanya.

Mengulas perancangan masa depan, Abdul Halim berkata, Akademi Muezza juga sedang berbincang dengan beberapa agensi kerajaan bagi membangunkan atlet elit mereka yang berpotensi mewakili negara ke pentas antarabangsa termasuk Olimpik.

“Kami sudah menghantar pasukan ke Indonesia dan berjaya muncul juara. Kini kami mahu mencari kesinambungan bersama kerajaan untuk membawa atlet elit Muezza ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Bragg Organic ACV Blends, produk bebas gula demi kesihatan

Oleh: Khadijah Ibrahim

SETIAP orang menginginkan kesihatan yang baik dalam kehidupan. Justeru itu, ada di antara kita yang cukup prihatin tentang pemakanan dan tidak kurang juga yang mengambil suplemen kesihatan untuk mengekalkan atau meningkatkan fungsi kesihatan badan.

Antara produk kesihatan yang mendapat perhatian ramai adalah Bragg iaitu satu jenama kesihatan dan kesejahteraan semula jadi global.

Baru-baru ini, Bragg melancarkan Bragg Organic ACV Blends di Malaysia menerusi kerjasama strategik dengan BIG CARiNG Group, rangkaian farmasi runcit terkemuka negara.

Pelancaran itu turut mengukuhkan peranan Matahari Sdn Bhd sebagai pengedar tunggal produk Bragg di Malaysia bagi memastikan ketersediaan produk secara meluas di seluruh negara.

Melihat kepada permintaan yang semakin meningkat terhadap produk kesejahteraan berasaskan bahan organik, Bragg Organic ACV Blends memperkenalkan dua varian iaitu Cranberry Apple dan Citrus Ginger, dengan formulasi bebas gula serta menggunakan bahan semula jadi yang dirumus khas untuk menyokong gaya hidup aktif serta rutin penjagaan kesihatan harian.

Kerjasama Bragg Organic ACV Blends dengan BIG CARiNG Group, adalah untuk membawa produk kesihatan berkualiti kepada pengguna Malaysia.

Setiap hidangan mengandungi 750mg asid asetik dan dihasilkan di Amerika Syarikat daripada 100 peratus epal organik melalui proses fermentasi semula jadi dan tidak mengandungi pewarna tiruan, gula diproses atau bahan pengawet.

Bragg yang memiliki sejarah lebih 100 tahun sejak tahun 1912 terkenal sebagai antara jenama perintis dalam penghasilan cuka epal berkualiti tinggi, turut memaklumkan produk utama Bragg Organic Apple Cider Vinegar mempunyai pensijilan halal di peringkat operasi global, namun rangkaian Bragg Organic ACV Blends belum mempunyai pensijilan halal dan tidak memaparkan logo halal bagi pasaran Malaysia.

Pengarah Unit Perniagaan Kecantikan, Bayi dan Makanan Kesihatan Big Caring Group, Foo Fung Jiun berkata, kerjasama bersama Bragg bertujuan membawa lebih banyak pilihan produk kesejahteraan berkualiti kepada pengguna Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Pembangunan Perniagaan Matahari Sdn Bhd, Annie Sim berkata, pelancaran Bragg Organic ACV Blends menandakan fasa baharu inovasi jenama itu di Malaysia, selain memperkukuh akses pengguna kepada produk kesihatan harian.

Katanya, sesiapa saja boleh menghasilkan cuka epal sendiri di rumah, tetapi apa yang membezakan Bragg ialah pengalaman lebih satu abad serta piawaian kawalan kualiti yang sangat tinggi.

“Produk kami juga menerima pelbagai pensijilan antarabangsa seperti USDA dan B Corporation, selain bebas GMO. Tambahan pula, varian Cranberry Apple dibangunkan khusus untuk membantu menyokong kesihatan saluran urinari selain meningkatkan sistem imun badan.

“Kita semua sedia maklum, Cranberry sememangnya terkenal sebagai bahan semula jadi yang baik untuk penjagaan kesihatan wanita, terutama berkaitan saluran urinari.

“Apabila digabungkan dengan ACV, ia membantu menyokong sistem imun dan penjagaan kesihatan dalaman secara menyeluruh,” ujarnya.

Bragg turut memaklumkan produk utama Bragg Organic Apple Cider Vinegar mempunyai pensijilan halal di peringkat operasi global, namun rangkaian Bragg Organic ACV Blends belum mempunyai pensijilan halal dan tidak memaparkan logo halal bagi pasaran Malaysia.

Menurut Bragg, perkara itu mencerminkan komitmen syarikat terhadap komunikasi yang telus selain mematuhi amalan pembuatan yang bertanggungjawab dan inklusif di peringkat global.

Kebangkitan dakwah moden menerusi Nasyid Friday

Oleh: Khadijah Ibrahim

MULAI Jun ini, setiap Jumaat sebelum berakhir pada Januari 2027, lapan penyanyi nasyid bakal bersatu untuk melahirkan karya-karya kerohanian bersama video muzik menerusi projek Nasyid Friday.

Penyanyi yang terlibat dalam projek tersebut ialah Adnin Roslan, Aniq Muhai, Aswan Anwar, Kumpulan One Path, kumpulan Rabithah, kumpulan Fetya, kumpulan The Truth dan juga kumpulan Autotune Band.

Bagi Adnin, nasyid bukan sekadar hiburan, lantas Nasyid Friday akan menjadi gelombang menghidupkan semula seni yang membawa manusia kembali mengingati Tuhan.

“Kami memilih hari Jumaat kerana ia adalah penghulu segala hari dan kami mahu
menjadikan setiap Jumaat sebagai hari untuk menyebarkan karya yang membawa nilai
positif, ketenangan dan dakwah melalui seni.

Adnin Roslan selaku pengarah dan penerbit untuk projek Nasyid Friday.

“Visi utama saya adalah untuk memberi alternatif hiburan kepada anak muda. Hari ini, anak muda sangat dekat dengan muzik, media sosial dan visual. Jadi saya percaya dakwah juga perlu hadir dalam bentuk yang dekat dengan jiwa mereka.

“Masyarakat hari ini sangat memerlukan hiburan alternatif yang mendidik jiwa, dengan kualiti yang setara dengan hiburan sedia ada,” katanya yang bertindak sebagai pengarah dan penerbit Nasyid Friday.

Bercakap lanjut mengenai Nasyid Friday, katanya, mereka mempunyai misi untuk menghidupkan industri nasyid yang suatu ketika dahulu memainkan pengaruh cukup besar.

Ujarnya, lagu-lagu dalam projek Nasyid Friday memberi tumpuan kepada isu-isu remaja dan anak muda.

“Saya percaya masyarakat masih cintakan karya-karya yang mempunyai roh dan makna, cuma generasi hari ini memerlukan pendekatan yang lebih segar dan relevan dengan zaman mereka.

Anggota kumpulan The Truth, Irwan dan Naufal.

“Saya berharap Nasyid Friday dapat menjadi satu permulaan baharu kepada kebangkitan seni dakwah moden dan membuka ruang kepada lebih ramai anak muda untuk mendekati Islam melalui seni yang indah, lembut dan menyentuh jiwa,” katanya lagi.

Sementara itu, Bilal yang mewakili kumpulan Fetya menyifatkan pemilihan menghasilkan lagu- lagu memperjuangkan Palestin yang akan diisi dalam Nasyid Friday selaras dengan simbol kebebasan dan kemerdekaan.

“Ini merupakan pengisian khusus untuk lagu-lagu dan album Fetya dalam projek Nasyid Friday. Palestin adalah simbol kebebasan dan kemerdekaan. Banyak perkara kita belajar dari mereka, kekuatan iman, tarbiyah jihadiyah dan kesatuan politik.

“Palestin adalah simbol pertembungan eksistensi antara al-Quran dan Talmud. Pertembungan menentukan baik atau buruknya alam ini. Fetya ingin mengajak masyarakat menyedari realiti ini dan mengambil posisi,” ujar Bilal.

Selain itu, beliau juga berharap , agar irama nasyid Malaysia terus aktif, mendapat dukungan kuat rakyat Malaysia dan kembali mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

Manakala Ridwan dari kumpulan Rabithah, berharap Nasyid Friday mendapat sokongan daripada masyarakat, mendengar dan menilai lagu-lagu dakwah daripada semua artis Tarbiah Sentap Records dengan hati yang terbuka.

Anggota kumpulan Rabithah, Aiman, Ridwan dan Mahadi.

“Karya-karya yang kami hasilkan ini bukan dibuat sekadar untuk hiburan semata-mata, tetapi sebagai satu alternatif hiburan yang mendidik jiwa, menenangkan hati dan mengajak manusia kembali dekat kepada Allah dan Islam di saat masyarakat semakin dahagakan hiburan yang membawa makna,” ujar Ridwan.

Beliau juga menganggap apa yang mereka lakukan adalah sebuah usaha demi mencari reda Allah dan mengharapkan syurga-Nya.

“Kami berharap agar semua dapat menikmati karya-karya ini, seterusnya membantu menyokong dan menyebarluaskannya supaya lebih ramai manusia dapat mengenali, mendengar dan mengambil manfaat daripadanya,” akhiri Ridwan dengan penuh harapan.

Lebih menarik, Nasyid Friday tidak hanya disertai lapan tunggak utama tetapi menerima penampilan istimewa dalam kalangan selebriti serta penyanyi tempatan yang mahu ikut menyemarakkan projek mulia ini.

Mereka yang bakal terlibat dalam pembikinan tiga daripada lapan album ini adalah Saiful Apek, Anas Tahir dan Alif Azhari.

“Saiful Apek, Anas Tahir dan Alif Azhari akan menjadi artis jemputan dalam tiga album Nasyid Friday, namun semuanya masih di peringkat produksi,” ujar Adnin.

Sementara itu bercakap tentang Tarbiah Sentap, Adnin menzahirkan misi dan visi besar yang dibawa selama ini.

“Visi besar kami adalah untuk menjadi saluran dakwah, tarbiah dan hiburan Islami pilihan nombor satu anak muda. Kami mahu membina satu ekosistem kandungan yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga memberi kesan kepada hati, pemikiran dan kehidupan masyarakat.

Autotune Band turut terlibat dalam projek Nasyid Friday.

“Kalau kita melihat sejarah perkembangan Islam di Malaysia dan alam Melayu, antara pendekatan yang digunakan oleh para pendakwah terdahulu juga adalah melalui seni dan budaya.

“Mereka menggunakan syair, qasidah, tulisan, penceritaan dan pelbagai bentuk seni untuk mendekatkan masyarakat kepada Islam dengan cara yang lembut dan menyentuh hati.

“Jadi bagi saya, seni bukan sesuatu yang asing dalam dakwah, tetapi ia adalah salah satu medium yang sangat kuat untuk menyampaikan mesej kebaikan kepada masyarakat,” jelasnya.

Di atas faktor yang dinyatakan, Adnin menyatakan penghasilan nasyid baharu setiap hari Jumaat bermula Jun 2026 sehingga Januari 2027 kelak akan dibangunkan bersama penghasilan sekitar 200 video dan konten dakwah setiap bulan.

“Dakwah-dakwah ini akan merangkumi pelbagai bentuk konten media sosial yang dekat dengan generasi hari ini. Dalam masa yang sama, kami juga akan menerbitkan lapan sketsa dakwah setiap bulan sebagai medium penyampaian mesej Islam yang lebih santai, kreatif dan mudah difahami.

“Pada masa sama, ada juga menghasilkan lebih banyak buku-buku dakwah dan jelajah dakwah di seluruh Malaysia.Saya mahu buktikan bahawa karya yang mengingatkan kepada Tuhan juga boleh dihasilkan dengan kualiti yang tinggi, visual yang cantik, susunan muzik yang moden dan mesej yang menyentuh hati,” jelasnya lagi.