Home Blog Page 8

Puteri Gunung Ledang kembali beraksi di pentas 

Oleh: Khadijah Ibrahim

BERMULA dari filem, kini jenama Puteri Gunung Ledang, filem sejarah epik Malaysia arahan Saw Teong Hin yang dikeluarkan pada 2004 masih lagi mendapat permintaan ramai.

Selepas ditayangkan di layar lebar, filem pertama Enfiniti Production, lakonan Puan Seri Tiara Jacquelina Eu Abdullah dan Datuk M.Nasir turut dipentaskan.

Pementasan pertama ‘Puteri Gunung Ledang The Musical’, arahan Zahim Albakri dilakukan di Istana Budaya pada 2006, yang menampilkan Tiara Jacquelina sebagai Gusti Puteri Retno Dumilah (Puteri Gunung Ledang) dan Stephen Rahman Hughes sebagai Hang Tuah.

Diikuti dengan pementasan ulangan pada tahun yang sama dan pementasan ketiga pada Februari 2009.

Kali ini Tiara Jacquelina tidak lagi melakonkan watak Puteri Gunung Ledang tapi sebagai pengarah.

Untuk pementasan ‘Puteri Gunung Ledang The Musical (PGL The Musical) 2026’ yang bakal berlangsung di Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC), Sunway Square, pada 31 Oktober hingga 15 November 2026, Tiara tidak lagi beraksi sebagai Puteri Gunung Ledang tapi beliau muncul sebagai pengarah.

Watak Puteri Gunung Ledang akan digalas oleh Aisha Retno dan Mila Mohsin secara bergilir, manakala karakter pahlawan Hang Tuah dilakonkan oleh Aqasha.

Lain-lain pelakon yang bakal menjayakan pementasan ini ialah Mimi Fly, Nadia Aqilah, Luqman Hafidz dan Yusof Hashim, yang menghidupkan kisah abadi tentang cinta, pengorbanan dan takdir ini.

Disebabkan cerita Puteri Gunung Ledang ini sentiasa mendapat tempat di hati orang ramai, jualan tiket yang dibuka kepada orang ramai sejak 21 Ogos lalu mendapat sambutan hangat.

Tiara bersama barisan pelakon sebelum ditemu bual oleh Pak Nil untuk tujuan promosi.

Selaku pengarah dan Penerbit Eksekutif Bersama ‘Puteri Gunung Ledang The Musical’, Tiara memberitahu yang produksi tersebut telah berjalan sejak beberapa bulan lalu sebelum diumum secara rasmi.

“Produksi ini telah dibangunkan secara senyap selama beberapa bulan. Awal tahun ini, para pelakon telah menjalani Bengkel Imersi Budaya Jawa selama 10 hari yang intensif, memperdalam pemahaman mereka tentang dunia, adat dan tradisi yang mengilhamkan kisah ini.

“Sejak itu, pasukan kreatif dan teknikal telah bekerja di belakang tabir untuk membangunkan pementasan baharu, muzik, kostum, kesan visual dan magis teater yang akan mentakrifkan produksi ini.

“Latihan penuh secara rasmi bermula sejak 17 Ogos lalu, menandakan fasa penting seterusnya dalam perjalanan menuju malam pembukaan.

Ini adalah detik yang sangat emosional bagi saya,” kata Tiara Jacquelina terus terang.

Tambahnya, kali terakhir Enfiniti Production menerbitkan pementasan adalah lapan tahu lalu untuk ‘Ola Bola The Musical’.

‘Puteri Gunung Ledang The Musical (PGL The Musical) 2026’  bakal temui penonton tidak lama lagi.

“Disebabkan sudah lama tidak terlibat dengan kerja-kerja pementasan ini, saya hampir terlupa betapa mengujakan tempoh ini—debaran, perbualan, dan perasaan indah melihat penonton mengira hari menuju malam pembukaan.

“Membaca semua komen di Threads, Instagram dan TikTok benar-benar mengharukan dalam cara yang paling indah. Telefon kami hampir tidak berhenti berdering, dan kami sudah mula menerima pertanyaan daripada syarikat yang ingin menempah persembahan korporat.

“Sejak para pelakon kami menamatkan imersi budaya Jawa awal tahun ini, pasukan kreatif dan teknikal kami telah tenggelam dalam pra-produksi, memperhalusi setiap perincian—daripada muzik dan koreografi hingga set, kostum dan kesan khas,” katanya.

Tiara yang mula menjalani latihan dengan pelakon berharap teater yang bakal dipentaskan mampu meninggal memori Indah kepada penonton.

“Saya harap keajaiban sebenar akan bermula. Seluruh pasukan saya dan saya sendiri bertekad untuk mencipta sebuah produksi yang akan diingati penonton sepanjang hayat mereka,” katanya penuh semangat.

Untuk maklumat tiket dan kemas kini, ikuti @PGLTheMusical dan @EnfinitiMakesMagic di semua platform media sosial.

Di sebalik jelingan manja Seniwati Rahmah Rahmat!

Oleh SYED WAFA
Foto KOLEKSI SYED WAFA
Sumber : Ladybosz (Terima Kasih Datuk Sri Rozita Ramelan)

BAGI para peminat filem Melayu era 1950-an sehingga 1970, nama Allahyarham Seniwati Rahmah Rahmat memang cukup dikenali sebagai seorang pelakon yang mempunyai daya tarikan pada sepasang matanya yang dikatakan amat menggoda dengan jelingan tajam dan memukau.

Rahmah Rahmat memulakan kerjayanya sebagai pelakon kanak-kanak pada usianya 10 tahun dalam filem “Sengsara”(1963) arahan S. Ramanathan. Dalam filem itu, Rahmah Rahmat melakonkan watak Allahyarham Seniwati Normadiah semasa kecil.

SENIWATI yang membintangi filem “Sri Tanjong” (1961) arahan Jamil Sulong.
Filem ini dilakonkan (dari kanan), Rahmah Rahmat, Hashimah Yon dan Normadiah.

Selain berlakon, Rahmat Rahmat yang juga berbakat menari dan dikatakan sering diberi peranan sebagai penari dalam kebanyakan filem lakonannya. Kemunculan beliau sebagai penari bukan setakat lenggok badan mengikut irama lagu malah dengan penuh gaya dengan jelingan matanya yang galak dan menggoda.

Rahmah Rahmat dilahirkan pada tahun 1943 di Singapura dalam keluarga seni dengan ayahnya, Rahmat Ali terkenal sebagai peniup trumpet dan ibunya seniwati Saamah sementara abangnya, Rahman Rahmat juga pelakon kanak-kanak pada tahun 1950-an.

JINS Shamsudin dan Rahmah Rahmat dalam satu babak filem lakonan mereka.

Selain beliau dan abangnya, Rahman Rahmat, dua lagi kakaknya iaitu Ainon Rahmat dan Ribut Rahmat juga merupakan penari untuk filem-filem terbitan Shaw Brothers. Sementara abangnya, Abas Rahmat adalah pemain derum yang cukup terkenal pada era 1960-an.

Walaupun Rahmah Rahmat sering diberi watak tambahan namun kemunculannya sebagai ketua penari dalam filem “Nujum Pak Belalang” menyanyikan lagu ‘Ketipang Payung’ diikuti sebagai nenek si bongkok tiga bersama Allahyarham Seniwati Datin Saadiah tetap menarik perhatian penonton.

POSTER filem “Si Tanggang” arajan Jamil Sulong terbitan Malay Film Productions pada tahun 1961. Filem ini dibintangi Jins Shamsuddin, Zaiton, Sarimah, Normadiah dan Rahmah Rahmat.

Bagi Rahmah Rahmat meskipun sering digambarkan sebagai wanita penggoda dan jahat dalam filem-filem lakonannya antaranya kekasih gelap Tengku Mukri (Allahyarham Seniman S. Kadarisman) dalam filem “Antara Dua Darjat” namun jauh di sudut hatinya beliau ingin melakonkan watak utama selain penari dan wanita penggoda.

Selain itu, watak jahat yang pernah dilakonkan Rahmah Rahmat dan membuatkan penonton membencinya adalah dalam filem “Dandan Setia,”(1959), “Megat Terawis,”(1960), “Sri Tanjung”(1961) dan “Gerak Kilat”(1966) dan sebagai isteri curang dalam filem “Gerhana”(1962).

ANGGUN dan menarik dengan kebaya pendek digayakan seniwati popular (dari kiri) Saloma, Hasnah Rahman, Rahmah Rahmat dan Roseyatimah.
BARISAN seniwati jelita Studio Jalan Ampas.
Dari kiri: Dayang Sofia, Zaiton, Habsah Buang, Saadiah, Saamah, Sarimah dan Rahmah Rahmat.

Impian Rahmah Rahmat untuk melakonkan watak utama dalam filem sepertimana rakan seperjuangan yang juga merupakan kawan baiknya, Seniwati Hashimah Yon bagaikan hampir menjadi kenyataan apabila pada tahun 1959, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee merancang untuk ‘menjadikan’ beliau sebagai watak utama (heroin) dalam filem “Pendekar Bujang Lapok” (1959).

Bagaimanapun sebelum impiannya menjadi kenyataan, Rahmah Rahmat harus menjalani ujibakat dengan dua calon lagi iaitu Siti Hawa Majid dan Roseyatimah yang merupakan kawan baiknya di Boon Teck Road.

19 Februari 1961…tarikh bersejarah bagi Rahmah Rahmat dan Jins Shamsuddin…mereka sah sebagai suami isteri.
RAHMAH Rahmat dan Jins Shamsuddin.

Sayangnya nasib tidak menyebelahi beliau apabila P. Ramlee memilih Roseyatimah untuk menyantuni watak Cikgu Rose yang mengajar mereka yang ‘buta huruf’ dalam filem berkenaan. Filem tersebut telah meletakkan Roseyatimah sebagai salah seorang seniwati popular ketika itu.

‘Kegagalan’ itu tidak mematahkan semangat beliau untuk terus berlakon dan bergelar anak seni meskipun hanya sebagai pelakon tambahan dan penari tetapi beliau juga berbakat sebagai penyanyi.

“BATU Belah Batu Bertangkup” dibintangi Aziz Jaafar, Rahmah Rahmat dan Neng Yatimah.
PARA pelakon yang membintangi filem “Mambang Moden” arahan Jamil Sulong yang diterbitkan Malay Film Productions pada tahun 1964.
Dari kiri: Dayang Sofia, Aziz Jaafar, Saadiah dan Rahmah Rahmat.

Mungkin tidak ramai yang tahu, Rahmah Rahmat adalah seniwati yang banyak menyanyikan lagu-lagu runut bunyi filem (OST) antaranya ‘Jangan Adik Angan-Angan’ berduet dengan P. Ramlee dan ‘Nenek Si Bongkok Tiga’ (filem Musang Berjanggut – 1958), ‘Ketipang Payung (filem Nujum Pak Belalang – 1959), ‘Jangan Tinggi Diri’ dan ‘Kembang Disayang’ (filem Dandan Setia – 1959), ‘Tanda Kasih’ berduet dengan Allahyarham Seniman Ahmad Mahmud ( filem “Isi Neraka” – 1960), ‘Alangkah Indah Di Waktu Pagi’ (filem Ali Baba Bujang Lapok – 1961)dan ‘Pahlawan Pesaka’ ( filem “Lela Manja”1960).

Namun penantiannya untuk melakonkan watak penting dalam filem lakonannya akhirnya menjadi kenyataan apabila pengarah Allahyarham Datuk Jamil Sulong menawarkan watak Citra dalam filem “Isi Neraka” (1960) diikuti filem “Lubang Neraka” (1970) arahan Allahyarham Nordin Ahmad.

RAHMAH Rahmat bersama Ibrahim Pendek.

Filem ini adalah lakonan terakhir Rahmah Rahmat sebelum beliau mengambil keputusan meninggalkan dunia filem dan menumpukan perhatian kepada kehidupan rumahtangga.

Walaupun Rahmah Rahmat sering diberi watak ‘hitam’ namun beliau tidak pernah menyesal kerana bukan semua pelakon yang mampu menyantuni watak berkenaan dengan baik.

WAJAH Rahmah Rahmat sering menjadi cover majalah.

Adalah difahamkan melalui temuramah dengan seorang wartawan, Rahmah Rahmat dengan penuh jujur berkata;

“Saya suka jadi wanita mata keranjang, suka berpeleseran, minum whisky, brandy dan sentiasa kelihatan cantik di khalayak ramai.”

RAHMAH Rahmat bersama Seniman Datuk Ahmad Daud.
BINTANG filem terkenal Studio Jalan Ampas…Hashima Yon, Rahmah Rahmat dan Salleh Kamil.

Itulah jawapan yang diberikan Rahmah Rahmat apabila seorang wartawan menemuramahnya bertanya tentang watak yang gemar dilakonkan dalam filem sambil berkata;

“Selalunya di hadapan cermin saya melakonkan pelbagai watak yang semuanya baik-baik sebagai isteri yang setia, gadis yang sopan tetapi sayangnya ia kelihatan pelik dan nampak sangat saya ‘berlakon.’

PENCIPTA lagu untuk filem “Sial Wanita,” Kassim Masdor bersama penyanyi R. Ismail dan Rahmah Rahmat. Suara nyanyian mereka akan digunakan oleh Nordin Ahmad dan Saadiah.
Filem arahan M. Amin terbitan Cathay-Keris pada tahun 1969 dilakonkan oleh Nordin Ahmad dan Saadiah.

“Seorang pelakon itu dianggap baik dan berjaya apabila dapat menjiwai wataknya dan menzahirkannya dengan penuh perasaan sehingga dapat dirasai oleh penonton dan membuatkan mereka membencinya.

“Bagi saya pelakon yang takut melakonkan watak wanita pisau cukur, kaki joli tidak layak menjadi pelakon.”

Mendasari kehidupannya sebagai isteri kepada Seniman Tan Sri Jins Shamsuddin, Rahmah Rahmat diibaratkan seorang isteri yang romantik, manja dan penyayang.

RAHMAH Rahmat dan Ahmad Mahmud.
SENIMAN Ahmad Mahmud dan Rahmah Rahmat berduet dalam lagu “Tanda Kasih” untuk filem lakonan mereka.

“Saya rasa bahagia apabila menerima senyuman manja daripada suami sebelum dan sekembali beliau dari lokasi penggambaran.

“Malah kalau suami saya lupa saya akan mengingatkan beliau di mana senyuman manja yang sering diberikan sebelum meninggal Cik Adik (saya).

SENIWATI serba boleh, Rahmah Rahmat.

“Sebagai isteri saya mahu menjadi yang terbaik buat suami dan boleh menjaga makan minumnya dan mendidik anak dengan sempurna,” kata Rahmah Rahmat mendedahkan rahsia kebahagiaan hidup berumahtangganya dan Jins Shamsuddin.

Rahmah Rahmat berkahwin dengan Jins Shamsuddin setelah tragedi yang berlaku ketika seniman itu sedang membaiki lampu di rumah Rahmah dan tiba-tiba terkena renjatan elektrik.

RAHMAH Rahmat bersama ibunya, Saamah dan anaknya, Mohd. Jefri Zain.
TAKDIR menentukan…jodoh Rahmah Rahmat dan Jins Shamsuddin tidak kekal lama.

Rahmah Rahmat yang terkejut terus menarik wayar elektrik sehingga putus dan membawa Jins ke hospitsl berhampiran rumahnya.

Sayangnya rumahtangga yang dibina pada tahun 1961 berakhir dengan perceraian pada tahun 1963. Melalui perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki yang diberi nama Mohd Jefri Zain.

JINS Shamsuddin bersama anaknya, MohdZ Jefri Zain.

Enam tahun selepas perceraian itu, Rahmah Rahmat ditemukan jodoh dengan pegawai polis, Jaafar Awang. Rumahtangga mereka bahagia dan dikurniakan tiga orang anak iaitu Sheri, Shahrin dan Sharina.

Kebahagiaan rumahtangga mereka kekal sehingga ke hujung nyawa apabila Rahmah Rahmat meninggal dunia pada usia 50 tahun kerana kanser payudara di Hospital Besar Singapura pada 29 Mac 1993 selepas beberapa hari menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Kami di Ladybosz mendoakan semoga roh arwah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam golongan orang beriman… Amin.


Kredit: Terima kasih Ladybosz.com dan Dato Seri Rozita Ramelan

Hafiz Hamidun ajak berselawat menerusi album “Salawat The Beloved”

Oleh: Khadijah Ibrahim

PERTAMA kali menonton video muzik “Nuril Anwar”, nyanyian Hafiz Hamidun yang diputarkan pada majlis pelancaran koleksi terbaharu jenama Siti Khadijah, hati penulis sudah jatuh cinta dengan keindahan lokasi yang dipilih.

Keterujaan penulis untuk mengetahui lebih lanjut tentang lokasi penggambaran muzik video Hafiz itu semakin menyemarak sewaktu di majlis pelancaran album beliau, “Salawat The Beloved”, pada 27 Ogos, baru-baru ini.

Album “Salawat The Beloved” memuatkan 10 buah lagu dan tujuh lagu menjalani penggambaran di Uzbekistan untuk video muzik. Pada yang cintakan keindahan alam dan reka bentuk bangunan unik kena sabar menunggu kerana video muzik akan dikeluarkan satu persatu pada setiap bulan.

Hafiz melahirkan rasa syukur kerana mendapat kerjasama daripada pihak Sony Music Malaysia dan Uzbekistan Tourism Committee.

“Saya memilih Uzbekistan kerana negara itu mempunyai hubungan yang sangat kuat dengan sejarah dan tamadun Islam. Samarkand dan Bukhara khususnya merupakan antara pusat ilmu yang sangat penting dalam sejarah dunia Islam.

“Nama-nama besar seperti Imam al-Bukhari juga mempunyai hubungan warna, tekstur dan landskap yang sangat unik. Apabila kita melihat Registan di Samarkand, seni bina madrasah, kota lama Bukhara atau kawasan pergunungan, semuanya mempunyai karakter yang sangat kuat.

“Jadi saya rasa ia sangat sesuai dengan konsep album ini. Kita membawa karya yang berakar daripada tradisi Islam, tetapi dipersembahkan melalui visual yang sinematik dan bersifat antarabangsa,” jelas Hafiz tentang sebab utama kenapa beliau memilih untuk menjalani penggambaran video muzik di Uzbekistan.

Hafiz bersyukur kerana pihaknya mendapat kerjasama dan sokongan yang sangat baik daripada Uzbekistan Tourism Committee sepanjang projek tersebut.

Hafiz Hamidun tampil dengan album “Salawat The Beloved”, menghimpunkan 10 selawat yang biasa kita amalkan dalam kehidupan seharian.

Selain Uzbekistan, Hafiz juga menjalani penggambaran di Istanbul, Turkey dan Al-Ula di Arab Saudi untuk penggambaran video muzik “Ishfa’ Lana” dan “Salawat Badriyah”.

Lagipun album terbitan Sony Music Malaysia itu sangat istimewa bagi Hafiz atau Mohammad Hafiz Hamidun, 42, kerana ia menandakan 25 tahun perjalanan seninya dalam industri yang bermula dengan kumpulan UNIC pada 2003 dan meninggalkan kumpulan nasyid tersebut pada 2006 untuk memulakan kerjaya solo.

“Selepas melalui pelbagai fasa dalam kerjaya, saya mahu menghasilkan sebuah karya yang kembali kepada sesuatu yang sangat dekat dengan jiwa saya iaitu selawat dan kecintaan kepada Rasulullah SAW.

“Selawat- selawat yang dimuat dalam album ini kebanyakannya sudah kita kenal dan amalkan sejak sekian lama. Saya hanya berikan nafas baharu menerusi susunan muzik yang lebih sinematik, kontemporari dan berskala besar tetapi masih mengekalkan roh serta keindahan asalnya.

Busana yang dipakai untuk video muzik adalah keluaran jenama Siti Khadijah.

“Saya mahu orang mendengarnya bukan sebagai sebuah album, tetapi sebagai satu perjalanan spiritual dan emosi. Saya mahu mengekalkan melodi dan identiti selawat yang sudah dikenali tetapi membawa ke dalam soundscape yang lebih luas dengan elemen orkestra, ambient, world music, percussion dan sentuhan kontemporari,” katanya yang turut mengenakan busana koleksi Teman keluaran jenama Siti Khadijah.

Tambah Hafiz, proses pembikinan album “Salawat The Beloved” mengambil mas lebih kurang setahun yang melibatkan pemilihan lagu, susunan muzik, rakaman, produksi muzik sehingga proses visual dan penggambaran.

Lain-lain selawat dan dimuatkan dalam album ini adalah “Salawat Syifa”, “Salawat Adnani”, “Salawat ‘Jibril”, “Salawat Tafrijiyyah”, “Salawat Asyghill” dan “Ya Nabi Salam Alaik”.

Hafiz berharap album ini mampu menjadi karya yang boleh didengar oleh orang ramai berkali-kali dan menjadi peneman ketika memandu atau mencari ketenangan

“Saya berharap “Salawat The Beloved” boleh membawa muzik Islamik dari Malaysia kepada audiens yang lebih luas di peringkat antarabangsa. Ini bukan sekadar album dalam katalog saya tapi sebagai sebuah karya ya g merangkumi perjalanan, kecintaan dan legasi yang saya mahu tinggalkan melalui muzik,” ujarnya.

Selepas menonton video muzik Hafiz Hamidun pasti ada yang nak pergi ke Uzbekistan.

Walaupun album ini baru dilancarkan, namun Hafiz sudah mendapat permintaan supaya karya ini diterbitkan dalam versi tanpa muzik pula.

“Bila kita sebut pasal selawat ni, sasaran kita bukan nak pasar kat Malaysia saja tapi di seluruh dunia kerana ada permintaan untuk album yang versi tanpa muzik.
Kita dah dapat permintaan yang mahu lantunan selawat itu tanpa muzik termasuklah permintaan dari Uzbekistan.

“Insya-Allah selepas ini saya akan masuk balik ke studio untuk settle kan versi album ini yang tanpa muzik. Mungkin kita akan keluar seawalnya sebelum Ramadan tahun depan. Tak lama dah.

“Selain itu, saya juga sudah ada perancangan untuk keluarkan sekali dengan photo book, ada CD (cakera padat). Sebab itulah kita ambil banyak content. Kita nak keluarkan content ini bukan setakat di media sosial saja tapi orang nak pegang dan tengok.

“Saya kalau boleh tak nak highlight saya semata-mata. Saya nak highlight selawat dan orang boleh baca lirik dan tengok Uzbekistan. Memang perancangan tu dah ada, insya-Allah dalam masa terdekat mungkin dalam masa sebulan ni ke,” jelasnya.

Di waktu yang sama Hafiz turut melahirkan rasa syukur kerana mendapat kepercayaan Sony Music untuk beliau menghasilkan album tersebut.

Selain berselawat, orang ramai juga boleh melihat keindahan lokasi video muzik yang dipersembahkan oleh Hafiz Hamidun.

“Saya lebih bersyukur apabila ada sebuah syarikat rakaman seperti Sony Music sanggup berikan peluang dan ruang kepada saya untuk terbitan album sebegini. Jarang syarikat rakaman antarabangsa nak setuju kerana mereka sangat selektif, tambahan pula dalam bab-bab agama macam ini tak akan jadi prioriti.

“Tapi saya ada visi yang jelas, mereka faham apa yang saya nak dan mereka tahu apa yang saya cuba berikan. Ini yang saya cuba hasilkan dengan kematangan yang saya ada dalam bidang ini selama 25 tahun. Saya tahu siapa pendengar saya, apa yang mereka mahukan dan saya perlukan karya seperti ini. Semua itu tak akan terjadi kalau saya seorang diri tanpa adanya Sony Music,” katanya terus terang.

Sementara itu, Pengarah Sony Music Malaysia, Kenny Ong berkata, pihaknya turut berbangga menjadi sebahagian daripada projek penting Hafiz yang sudah lama terlibat dalam industri muzik Malaysia.

“Apa yang menjadikan album ini istimewa bagaimana beliau memberikan nafas baharu dan sentuhan kontemporari kepada selawat yang sudah dikenali.

“Kami harap album ini dapat mendekatkan hati para pendengar daripada pelbagai generasi dan di waktu yang sama memperkenalkan muzik Islamik Malaysia kepada khalayak di luar negara,” katanya.

Faizal Tahir meriahkan promosi MAHA 2026 di SOGO

Oleh: Nafsiah Jani

Macam-macam cara yang digunakan pihak penganjur MAHA 2026 demi untuk menarik orang ramai mengunjungi Pameran Pertanian Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang dari 28 Ogos hingga 6 September ini.

Selaku penyanyi lagu rasmi MAHA 2026, Faizal Tahir juga turun padang mengadakan persembahan flashmob khas sempena mempromosikan MAHA 2029 di SOGO Kuala Lumpur. Kemunculannya mencetuskan keterujaan dalam kalangan pengunjung yang tidak menyangka dapat menyaksikan persembahan istimewa artis kesayangan mereka secara bersemuka.

Dalam rangka promosi tersebut Faizal sempat mendendangkan tiga buah lagu antaranya lagu rasmi MAHA dan Gemuruh. Faizal Tahir turut berinteraksi dengan orang ramai dan kehadiran beliau turut memberikan nafas baharu kepada pendekatan promosi MAHA 2026 melalui gabungan muzik, hiburan dan pengalaman secara langsung.

Persembahan bertenaga Faizal Tahir dalam mempronosikan MAHA 2026 di SOGO, Kuala Lumpur.

Aktiviti berkonsepkan guerilla marketing itu dianjurkan sebagai sebahagian daripada usaha membawa kemeriahan MAHA 2026 lebih dekat kepada masyarakat, khususnya warga kota dan golongan muda.

Persembahan yang berlangsung secara spontan di ruang tumpuan orang ramai itu menampilkan gabungan muzik, tarian serta identiti MAHA 2026. Kehadiran para penari secara tiba-tiba berjaya mencuri perhatian pengunjung sebelum mereka bersama-sama memeriahkan suasana menerusi persembahan bertenaga.

Aktiviti flashmob di SOGO itu turut menjadi pembuka kepada perjalanan promosi MAHA 2026 menggunakan bas HOHO. Bas berkonsepkan MAHA 2026 tersebut mengelilingi beberapa lokasi ikonik di sekitar Kuala Lumpur, termasuk Istana Budaya dan KL Tower.

Faizal dikerumuni peminat yang merinduinya.

Pendekatan guerilla marketing itu memberikan pengalaman berbeza kepada orang ramai, selain mengetengahkan MAHA 2026 sebagai acara yang menggabungkan pertanian, teknologi, inovasi, agromakanan, hortikultur, agropelancongan dan hiburan.

Bertemakan “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan”, pameran itu memberi penekanan kepada pemodenan sektor agromakanan menerusi penggunaan teknologi, inovasi dan penghasilan nilai sepanjang rantaian makanan.

MAHA 2026 menghimpunkan pelbagai pemain industri, usahawan, pengusaha agro, penginovasi dan agensi berkaitan, selain menawarkan pelbagai tarikan kepada pengunjung termasuk pameran teknologi pertanian, produk agromakanan, hortikultur, ternakan, agropelancongan, aktiviti interaktif dan hiburan.

Faizal Tahir kini sibuk dengan jemputan persembahan.

Pengunjung juga berpeluang menyaksikan persembahan penyanyi tersohor menerusi penganjuran Rhythm of the Farmers (ROTF) yang berlangsung setiap malam sepanjang MAHA 2026. Antara artis yang terlibat dalam Konsert ROTF ialah Hael Hussaini, Syamel dan Noraniza Idris. Orang ramai dijemput hadir ke MAEPS Serdang bagi menikmati pelbagai pengalaman, pameran dan aktiviti sepanjang 10 hari penganjuran.

MAHA 2026 merupakan antara program tahunan terbesar negara telah dirasmikan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu pada Jumaat lalu.

Selamat Hari Kebangsaan Ke 69

Oleh: Syed Yusof Wafa

Sambutan Hari Kebangsaan ke-69 bagi tahun 2026 diraikan pada 31 Ogos 2026 (Isnin) dengan tema rasmi “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”.

Sambutan pada tahun ini di Dataran Putrajaya yang menjadi pusat perayaan perbarisan dan perarakan utama bermula jam 7 pagi.

Antara acara menarik menampilkan aksi aerobatik Merdeka Sunset Air Show (“Melukis Senja”) serta persembahan grafik manusia daripada 1,500 pelajar.

Kami di Wafa News mengucapkan Selamat Hari Kebangsaan Ke 69.

Bagi mereka yang pulang ke kampung, berhati-hati di jalan raya

Selebriti Terkenal Jayakan “SUARA MERDEKA KENCANA 2026” Malam Ini

Oleh: Syed Yusof Wafa

SELANGOR, 30Ogos 2026 — Kalau selama ini suara hanya bergema di bilik tidur, ruang tamu atau ketika karaoke bersama kawan-kawan, mungkin sudah tiba masanya bakat itu dibawa naik ke pentas!

Itulah antara semangat yang cuba diketengahkan menerusi Pertandingan Karaoke Suara Merdeka Laman Kencana 2026, yang bakal berlangsung pada 30 Ogos 2026 di Bazaria Laman Kencana, Dataran Selayang Mutiara.

Lebih menarik, program sempena sambutan Bulan Kemerdekaan ini turut mendapat sokongan dan penglibatan beberapa nama yang tidak asing lagi dalam dunia seni tempatan antaranya Illa Sabry, Jamal Jamaluddin, Syed Wafa, Zazzleen Zulkafli dan Fairuz Selamat,
sekali gus menjadikan acara ini bukan sekadar pertandingan karaoke biasa.

Dengan gabungan muzik, hiburan, artis, komuniti dan keusahawanan, Suara Merdeka Kencana 2026 dijangka menjadi antara acara santai yang meriah untuk seisi keluarga menjelang sambutan Hari Kebangsaan.

Menurut usahawan, penyanyi dan penggiat seni tempatan, Illa Sabry, matlamat utama penganjuran pertandingan ini adalah untuk membuka ruang kepada bakat-bakat yang mungkin selama ini tidak pernah mendapat peluang untuk berada di pentas sebenar.

“Ramai sebenarnya ada suara yang sedap dan bakat yang luar biasa, cuma belum ada peluang. Jadi melalui Suara Merdeka Kencana ini, kita nak cari bakat-bakat baharu dan beri mereka ruang untuk berani tampil ke hadapan,” katanya.

Menurut Illa lagi, peserta tidak perlu pun bergelar penyanyi profesional.

Kalau selama ini hanya menyanyi ketika mandi, di ruang tamu, karaoke dengan kawan-kawan atau sekadar buat video di media sosial — inilah masa untuk cuba!

“Tak semestinya kena penyanyi profesional. Kalau rasa diri ada bakat, datang dan cuba. Mana tahu suara yang selama ini hanya didengar keluarga tiba-tiba boleh memukau satu pentas,” katanya sambil menggalakkan lebih ramai orang mengambil peluang tersebut.

BUKAN SEKADAR KARAOKE, SELEBRITI TERKENAL TURUN PADANG

Kehadiran nama-nama dalam industri seni seperti Illa Sabry, Jamal Jamaluddin dan Syed Wafa Zazzleen Zulkafli dan Fairuz Selamat, dijangka menambahkan lagi kemeriahan program.

Penglibatan mereka bukan sahaja memberi suntikan kepada peserta yang bakal beraksi, malah menjadikan acara ini lebih dekat dengan komuniti dan peminat muzik tempatan.

Bagi peserta, peluang berada dalam suasana yang turut disokong oleh penggiat seni pastinya boleh menjadi pengalaman yang cukup bermakna.

Lebih-lebih lagi apabila pentas pertandingan ini membuka peluang kepada mereka untuk memperkenalkan bakat kepada khalayak yang lebih luas.

Kadang-kadang seseorang itu bukan tidak berbakat.
Cuma belum pernah diberikan peluang.
Itulah yang mahu dibuktikan melalui Suara Merdeka Kencana 2026.

Daripada seorang yang pada awalnya mungkin datang sekadar “nak cuba nasib”, tidak mustahil pentas kecil seperti ini menjadi langkah pertama untuk mengenali dunia seni dengan lebih serius.

Illa Sabry turut berharap peserta tidak terlalu memikirkan soal menang atau kalah.

“Jangan tunggu sampai rasa diri kita cukup hebat baru nak mencuba. Kadang-kadang satu pentas kecil boleh menjadi permulaan kepada sesuatu yang besar. Saya nak dengar suara baharu Malaysia,” katanya.

12 LAGU PILIHAN, SEMUANYA ADA ‘FEEL’ MALAYSIA

Bagi memastikan pertandingan benar-benar mempunyai jiwa kemerdekaan, peserta akan membawakan lagu-lagu pilihan yang menggabungkan elemen patriotik, nostalgia dan karya popular tanah air.

Antaranya:

1. Warisan – Sudirman
2. Standing in the Eyes of the World – Ella
3. Bahtera Merdeka – Aishah
4. Saya Anak Malaysia – Dr Sam
5. Sejati – Wings
6. Madah Berhelah – Ziana Zain
7. Nirmala – Siti Nurhaliza
8. Najiiyat Tampi – Noraniza Idris
9. Gemuruh – Faizal Tahir
10. Seri Dewi Malam – Sharifah Aini
11. Mentea Semerah Padi – M. Nasir
12. Keranamu Kekasih – Illa Sabry

Daripada lagu yang membangkitkan semangat patriotik hinggalah lagu nostalgia dan karya popular, pilihan ini dijangka memberikan pelbagai warna kepada persembahan peserta.

BAWA PULANG HADIAH WANG TUNAI

Bukan sahaja dapat merasai pengalaman beraksi di pentas, peserta juga berpeluang membawa pulang hadiah wang tunai.

🥇 Johan — RM500
🥈 Naib Johan — RM200
🥉 Tempat Ketiga — RM100

Pendaftaran dan sesi saringan peserta bermula pada 9.00 pagi, manakala pertandingan akhir dijadualkan berlangsung pada 8.00 malam.

DATANG NAK TENGOK KARAOKE, BALIK DENGAN MACAM-MACAM!

Kalau ingat datang untuk tengok pertandingan nyanyian sahaja, silap besar.

Bazaria Laman Kencana dijangka meriah dengan lebih 35 gerai jualan, selain pelbagai pilihan makanan dan minuman, carboot sale, preloved & thrift, cabutan bertuah serta demonstrasi masakan tradisi.

Jadi kalau tak berani naik pentas pun tak mengapa.

Datang sebagai penonton, sokong peserta, jalan-jalan cari makan, singgah gerai, cari barang menarik dan paling penting — sama-sama meriahkan suasana kemerdekaan.

Program ini turut memberi peluang kepada usahawan kecil dan peniaga tempatan untuk mengetengahkan produk serta perniagaan mereka kepada komuniti setempat.

MERDEKA DENGAN MUZIK, HIBURAN DAN KOMUNITI

Suara Merdeka Kencana 2026 bukan sekadar mencari siapa yang paling sedap menyanyi.

Lebih daripada itu, ia mahu menghidupkan semangat kebersamaan — apabila masyarakat berkumpul, artis bersama komuniti, usahawan berniaga dan bakat baharu diberi ruang untuk menyerlah.

Semuanya disatukan atas satu pentas menjelang detik penuh bermakna.

“SUARA KITA, SEMANGAT MERDEKA — KENCANA BERSATU!”

Dan kemuncaknya, orang ramai boleh bersama-sama menyambut Countdown Merdeka pada jam 11.55 malam.

Jadi, kepada yang selama ini hanya menyanyi depan cermin…

30 Ogos ini jangan nyanyi seorang diri!

Bawa suara anda ke Suara Merdeka Kencana 2026.

Mana tahu, suara yang selama ini hanya keluarga yang dengar, kali ini satu Dataran Selayang Mutiara pula yang tepuk tangan! 🇲🇾🎤

MAKLUMAT PROGRAM

PERTANDINGAN KARAOKE SUARA MERDEKA LAMAN KENCANA 2026

📅 30 Ogos 2026
📍 Bazaria Laman Kencana, Dataran Selayang Mutiara
🕘 Pendaftaran & Saringan: 9.00 pagi
🎤 Pertandingan Akhir: 8.00 malam
🇲🇾 Countdown Merdeka: 11.55 malam

🌐 Pendaftaran: suaramerdekakencana.cikgebu.my

Untuk pertanyaan:
Mike: 016-220 5262
Aki: 011-2111 5116

@lamankencanaWarga Selayang, Gombak, Batu Caves dan sekitarnyaa! Jom countdown Merdeka di Bazaria Laman Kencana, Dataran Niaga Selayang Mutiara, Batu Caves pada 30 Ogos ini .. Saksikan pertandingan akhir Suara Merdeka Kencana, persembahan artis, jualan makanan & minuman dari lebih 35 vendor, cabutan bertuah, supa dupa dan macam macam lagi .. Jumpa nanti ❤️♬ suara asli – mhmd_ilhm

CXF’26 Sasar Cipta Rekod MBOR, Satukan Bakat Muda dan Industri Kreatif

Oleh: Syed Yusof Wafa

Creative Xperience Festival 2026 (CXF’26) bakal mengangkat seni dan budaya tempatan ke pentas lebih besar apabila festival tiga hari itu menyasarkan penciptaan rekod Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi projek unik ‘Glow Batik Big Puzzle’.

Dianjurkan oleh Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), CXF’26 akan berlangsung di Politeknik Besut, Terengganu dari 21 hingga 23 September 2026.

Lebih daripada sekadar sebuah festival, CXF’26 membawa misi untuk merapatkan jurang antara pendidikan, bakat muda dan industri kreatif, sekali gus membuka ruang kepada pelajar merasai pengalaman sebenar dunia industri.

Presiden PROFIMA, Khalil Hj Saleh, berkata kesinambungan penganjuran CXF amat penting dalam membina hubungan jangka panjang antara institusi pendidikan dan pemain industri kreatif.

«“CXF’26 bukan sekadar festival sebaliknya jambatan antara pendidikan dan industri yang menghubungkan pelajar dengan pemain industri perfileman, seni dan kandungan kreatif.”»

Menurut beliau, penglibatan enam politeknik dan 11 kolej komuniti membawa mesej penting bahawa bakat kreatif dari seluruh negara perlu dicungkil, dibimbing dan diberikan ruang untuk berkembang.

Khalil berkata industri kreatif tidak seharusnya hanya menunggu pelajar mencari peluang, sebaliknya pemain industri perlu turun padang dan mendekati generasi baharu.

Katanya, bengkel, sesi perkongsian dan jaringan industri yang dianjurkan sepanjang CXF’26 mampu memberikan pelajar bukan sahaja ilmu, malah pengalaman, portfolio dan keyakinan untuk melangkah ke alam pekerjaan.

“Pelajar hari ini adalah tenaga kerja kreatif pada masa depan. Mereka boleh menjadi penulis, pengarah, pelakon, kru produksi, editor, juruanimasi, penerbit dan usahawan kreatif,” katanya.

Beliau turut menyifatkan pembangunan bakat sebagai satu bentuk pelaburan jangka panjang kepada industri kreatif negara, sambil berharap sokongan dana daripada FINAS dapat membantu menjayakan bengkel pembangunan industri sepanjang festival berkenaan.

Menurutnya, kemajuan industri kreatif bukan hanya bergantung kepada jumlah karya yang dihasilkan, tetapi turut ditentukan oleh kualiti tenaga profesional yang berada di belakang setiap karya.

“Jangan hanya tanya apa yang anak muda boleh beri kepada industri”

Sekitar majlis tersebut baru-baru ini.

Dalam pada itu, Khalil menegaskan pembangunan ekosistem kreatif perlu dilihat secara menyeluruh dengan pendidikan, industri dan agensi sokongan memainkan peranan masing-masing.

“Kalau kita mahu industri perfileman Malaysia mempunyai masa depan, kita mesti mula membina manusianya hari ini,” katanya.

Bertemakan “Ulir & Ukir: Memperkasakan Warisan Seni dan Budaya Menerusi Inovasi Digital”, CXF’26 memberi tumpuan kepada usaha memelihara serta memodenkan seni warisan tempatan seperti batik melalui reka bentuk fesyen, kraf tempatan dan penerapan teknologi digital.

Pendekatan itu selari dengan aspirasi melahirkan graduan TVET yang bukan sahaja kreatif dan kompeten, malah mampu bersaing di peringkat global.

Batik, AI, fesyen dan e-sukan dalam satu pentas

Sebagai tuan rumah, Politeknik Besut Terengganu bakal menghimpunkan penggiat industri, pelajar serta peminat seni dan reka bentuk dalam sebuah platform yang menggabungkan inspirasi, pendidikan, teknologi dan kreativiti.

Antara tarikan utama CXF’26 ialah:

– ‘Glow Batik Big Puzzle’ — projek mencipta rekod Malaysia Book of Records (MBOR)
– ‘Battle of the Prompt’ — pertandingan berasaskan Kecerdasan Buatan (AI)
– ‘Batik Showcase & Fashion Runway’ — pertunjukan fesyen berteraskan batik
– E-Sukan — pertandingan Mobile Legends dan PUBG Mobile
– Creative Insight Digest (CID 2026) — wacana akademik dan industri
– Marketplace & Booth Keusahawanan Pelajar — platform mengetengahkan potensi dan kreativiti pelajar.

Dengan sasaran menarik lebih 3,000 pengunjung, CXF’26 dijangka menjadi medan pertemuan pelajar sekolah menengah, mahasiswa IPTA dan IPTS, penggiat industri kreatif serta peminat seni dan budaya.

CXF’26 bukan sekadar meraikan karya dan kreativiti — ia membawa satu mesej besar: masa depan industri kreatif Malaysia bermula dengan bakat yang dibina hari ini.

ASSABIL FEATURING ED MOIN BUKA LEMBARAN BAHARU POP ROCK TEMPATAN MENERUSI “NAFAS CINTA”

Oleh: Syed Yusof Wafa

Industri muzik tempatan bakal diserikan dengan kemunculan sebuah nama baharu iaitu Assabil yang hadir bukan sekadar untuk mencuba nasib, sebaliknya membawa visi dan identiti tersendiri.

Diasaskan oleh Lan Newboyz selaku gitar utama dan Jojo Assabil selaku gitar ritma, Assabil menjadikan kecintaan terhadap muzik sebagai titik tolak untuk membina sebuah kumpulan yang mempunyai karakter, jiwa dan hala tuju tersendiri.

Kini, Assabil membuka langkah pertama mereka menerusi single sulung berjudul “NAFAS CINTA”, dengan menampilkan Ed Moin sebagai vokalis.

Gabungan muzik Assabil bersama karakter vokal Ed Moin menjadi antara tarikan utama karya yang berteraskan genre Pop Rock, sekali gus memberikan warna berbeza kepada kemunculan pertama kumpulan ini.

Bagi Lan Newboyz dan Jojo Assabil, penubuhan kumpulan ini bukan sekadar mahu menambah satu lagi nama dalam senarai kumpulan muzik tempatan.

Sebaliknya, mereka mahu membina sebuah nama yang mampu dikenali melalui muzik, persembahan dan identiti yang konsisten.

«“Kami tidak mahu Assabil sekadar menjadi sebuah band yang muncul dan kemudian hilang. Kami mahu bina sesuatu yang mempunyai identiti, jiwa dan perjalanan yang panjang. Single pertama ini adalah langkah pertama kami.”»

Menurut mereka, Assabil lahir daripada persamaan minat, pengalaman dan impian untuk menghasilkan karya yang bukan sahaja sedap didengar, tetapi turut mempunyai nilai serta emosi yang boleh dirasai oleh pendengar.

Selain Lan Newboyz dan Jojo Assabil, Assabil turut diperkuatkan oleh Sham selaku pemain bass dan Nied selaku pemain dram.

ED MOIN BERI SENTUHAN TERSENDIRI

Untuk karya sulung ini, Assabil memilih Ed Moin sebagai vokalis bagi menyampaikan “Nafas Cinta”.

Pemilihan Ed Moin bukan sekadar melengkapkan barisan persembahan, malah memberikan dimensi tersendiri kepada karakter lagu tersebut.

Dengan pendekatan Pop Rock yang menggabungkan elemen muzik bertenaga, melodi yang mudah diingati serta karakter vokal yang tersendiri, “Nafas Cinta” diharapkan mampu mendekati pelbagai lapisan pendengar.

Bagi Assabil, karya pertama perlu mempunyai identiti yang jelas kerana ia menjadi pengenalan awal kepada siapa mereka dan muzik yang ingin mereka bawa.

Bagi Assabil, “Nafas Cinta” bukan hanya sebuah lagu untuk dilancarkan.
Sebaliknya, ia adalah titik permulaan kepada sebuah perjalanan yang lebih panjang.

Mereka percaya sesebuah kumpulan tidak dibina hanya melalui satu lagu, tetapi melalui konsistensi dalam menghasilkan karya, kekuatan persembahan secara langsung, pengalaman serta hubungan yang dibina bersama peminat.

Justeru, “Nafas Cinta” menjadi langkah pertama Assabil untuk memperkenalkan nama dan identiti mereka kepada khalayak.

Selepas kemunculan single sulung ini, Assabil turut merancang untuk meneruskan penghasilan karya baharu selain memperluaskan aktiviti muzik mereka menerusi persembahan secara langsung serta beberapa projek muzik yang bakal diumumkan kelak.

Kemunculan Assabil hadir ketika muzik berkumpulan dan persembahan secara langsung kembali mendapat tempat dalam kalangan peminat muzik tempatan.

Dengan barisan pemuzik yang membawa pengalaman, semangat dan perspektif tersendiri, Assabil percaya mereka mempunyai ruang untuk membina identiti serta nama mereka sendiri dalam industri muzik Malaysia.

Lan Newboyz dan Jojo Assabil kini membuka lembaran baharu menerusi Assabil, manakala Ed Moin menjadi suara yang menghidupkan karya sulung mereka.

“Nafas Cinta” mungkin merupakan langkah pertama, namun bagi Assabil, langkah ini membawa impian yang jauh lebih besar.

Ini bukan sekadar kemunculan sebuah kumpulan baharu.
Ini adalah permulaan perjalanan Assabil.

Fiza Thomas ‘tunjuk taring’ sebagai pencipta lagu

Oleh: Khadijah Ibrahim

MESKIPUN Fiza Thomas pernah menyertai program realiti Akademi Fantasia musim ke-13 pada 2016, namun buat masa sekarang namanya lebih menonjol sebagai pelakon.

Pemenang tempat kelima AF13 itu, sempat mengeluarkan single pertama berjudul “Teruskan” selepas program tersebut tamat bagi meneruskan perjalanan seninya dalam bidang seni suara.

Fiza atau nama lengkapnya, Nur Hafizah Longkip Thomas, 33, seterusnya masih sempat mengeluarkan single kedua berjudul “Rasa” pada April 2025.

Namun karya tersebut tidak mampu mencatat nama Fiza sebagai penyanyi yang menjadi bualan peminat muzik.

Selain menyanyi, Fiza juga mencipta dan menulis lirik dengan kerjasama Fai dan Dari.

Nama anak seni yang berasal dari Sandakan, Sabah itu mula mendapat perhatian ramai apabila beliau berlakon drama bersiri ‘Girlfriend Aku Dari Neraka’ (2017) dan diikuti dengan telefilem ‘Malek’ (2018).

Beliau turut bergiat aktif di pentas teater dan telah menjayakan beberapa pementasan teater termasuklah ‘Ola Bola The Musical’, ‘Bangsawan Dendam Laksamana’, ‘Mud The Musical’ dan bakal muncul sebagai Mak Inang Ying menerusi ‘Teater Muzikal Mansur & Lui’ arahan Datuk M.Nasir yang akan menemui penonton pada 10 hingga 20 September ini di Panggung Sari, Istana Budaya.

Enggan mengaku kalah dan mahu berada sebaris dengan rakan-rakan AF yang lain dalam bidang seni suara, kini Fiza tampil dengan EP berjudul “Rayakan Dia”.

Kesemua lagu dalam EP ini, “Tirai”, “Manusia Pertama”, “Penamat Cerita” dan “Wahai Dia” merupakan sentuhan peribadi Fiza yang menggambarkan apa yang dirasainya dan turut bekerjasama dengan Fai dan Dari.

Bakat Fiza sebagai penulis dan komposer sudah dibuktikan merusi singlenya sebelum ini termasuklah lagu “Kampung Kita” yang bergenre ethnic festive, untuk Wani Kayrie yang dikeluarkan pada Februari lalu.

Lakonan Fiza Thomas pun mantap, bakal muncul dalam Teater Muzikal Mansur & Lui pada 10 September ini.

Ujar Fiza, atas sokongan sahabat dan insan terdekat, khususnya Ara Johari, beliau menguatkan keyakinannya untuk mengeluarkan EP “Rayakan Dia” yang memuatkan empat lagu hasil nukilannya sendiri di bawah nama pena Fitho.

Bukan sekadar sebuah karya muzik, EP ini menjadi cerminan sisi Fiza yang lebih matang, ceria dan berani mengekspresikan dirinya.

EP ini membawa pesan sederhana namun bermakna tentang menghargai, menyayangi dan meraikan insan yang memberi warna dalam kehidupan.

Jika karya terdahulu lebih sarat dengan emosi dan kisah kerinduan, kali ini Fiza memilih sisi yang lebih ringan, positif dan penuh rasa cinta.

Fiza Thomas menjayakan showcase bersama-sama rakan seni yang lain.

Bagi Fiza, “rayakan” bukan hanya tentang cinta romantik, tetapi tentang menghargai sesiapa sahaja yang mempunyai tempat istimewa dalam hidup.

“Bagi saya, “Rayakan Dia” adalah tentang meraikan orang yang kita sayang. Kadang-kadang kita terlalu sibuk dengan kehidupan sehingga terlupa menghargai mereka yang sentiasa ada. Jadi saya mahu EP ini menjadi satu bentuk perayaan terhadap mereka.

“Tak dinafikan lagu-lagu dalam EP ini saya tujukan khas kepada suami (Tengku Mohamad Faris Tengku Mohamad Ismail). Malah masa menulis lirik memang saya bayangkan apa kebaikan yang suami telah lakukan untuk saya.

“Walaupun lagu-lagu ini personal untuk saya tapi karya ini relate dengan semua orang. Setiap orang pasti ada insan tersayang dan boleh ditujukan kepada mereka,” katanya yang mencipta lagu dengan ‘humming’ atau bersenandung saja berbanding orang lain yang bermain alat muzik.

Fiza Thomas sewaktu sidang media EP “Rayakan Dia” baru-baru ini.

Menariknya, salah satu lagu bersama Dari berjaya disiapkan dalam kira-kira 20 minit, namun di sebalik proses yang pantas itu tersimpan cerita dan emosi yang cukup bermakna.

Proses rakaman yang berlangsung pada bulan Ramadan turut menjadikan penghasilan “Rayakan Dia” sebuah pengalaman yang tidak mudah dilupakan.

Bersempena pengenalan EP ini, Fiza turut mengadakan showcase khas mendendangkan lagu dan berkongsi kisah di sebalik pembikinan setiap lagu dengan penonton.

Showcase itu memperlihatkan evolusinya daripada anak teater dan pelakon kepada penyanyi serta penulis lagu yang semakin yakin dengan identiti muziknya.

Menerusi “Rayakan Dia”, Fiza berharap pendengar bukan sahaja menikmati muzik, tetapi turut teringat kepada insan yang mereka sayang yang mungkin terlalu sibuk untuk diraikan, namun sentiasa punya tempat dalam hati.

KESS mahu jadi ‘syurga emas preloved’ kepada masyarakat

Oleh: Khadijah Ibrahim

JIKA berada di persekitaran Jalan Wangsa Delima 10, Wangsa Maju, Kuala Lumpur, anda pasti akan ‘gelap mata’ tak tahu nak menuju ke kedai emas mana.

Salah satu kedai emas ternama yang beroperasi di situ adalah Kedai Emas Sri Semantan (KESS).

Tatkala ditanya kepada Pengerusi Eksekutif KESS, Mohamad Hafizal Mahmood, kenapa membuka cawangan ke-23 di lokasi yang telah sedia ada kedai emas?

Jawapannya mudah saja, supaya pengguna mempunyai banyak pilihan dan jika KESS dibuka di kawasan yang tiada saingan kedai emas lain, baginya itu tidak menarik.

KESS bukan sekadar menjual tapi turut memberi kesedaran kepada masyarakat supaya menjadikan emas sebagai aset.

“Alhamdulillah, kami berjaya membuka cawangan yang ke-23 di Wangsa Maju. Meskipun di kawasan in banyak kedai lain yang menjual produk (emas) yang sama tapi KESS berbeza.

“Kelebihan kedai kami adalah kami utamakan emas preloved. Matlamat kami adalah untuk menjadikan kedai kami sebagai kedai emas preloved nombor satu di Malaysia.

“Emas preloved ini adalah barangan yang telah dipakai tapi telah diolah menjadi seperti emas baharu. Kami berazam untuk menjadikan Emas Sri Semantan sebagai Syurga Emas Preloved Nombor Satu di Malaysia, sebuah platform yang bukan saja dipercayai tapi turut memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya sewaktu majlis perasmian kedai emas di Wangsa Maju, baru-baru ini.

Beliau yang memulakan perniagaan KESS sejak 2020 secara kecil-kecilan menyasarkan sehingga hujung tahun ini akan ada 30 buah kedai emas Sri Semantan.

Mohamad Hafizal Mahmood (dua dari kiri) pada majlis perasmian kedai emas Sri Semantan, baru-baru ini.

Tegasnya, sejak penubuhan, misi dan visi Emas Sri Semantan tidak pernah berubah iaitu menyediakan produk dan perkhidmatan yang berkualiti tinggi serta layanan yang mesra kepada pembeli secara am dan komuniti Emas Sri Semantan secara khasnya.

“Kami sentiasa komited untuk memastikan setiap pelanggan yang datang mendapat pengalaman yang memuaskan dan berbaloi.

“Dalam bisnes, kami percaya layanan yang baik dan mesra pelanggan adalah kunci utama untuk memastikan pelanggan selesa dan terus memiliki produk kami tanpa mengira usia atau latar belakang,” katanya yang sering mendapat sokongan daripada keluarga, rakan-rakan dan seluruh pasukan kerja.

Selain berniaga, Mohamad Hafizal juga mahu menyedarkan masyarakat bahawa emas bukan sekadar perhiasan tapi boleh dijadikan aset yang mampu menjadi benteng ketika sukar dan sandaran untuk masa hadapan.

“Kami akan terus berusaha untuk memperkasakan Emas Sri Semantan sebagai satu wadah perjuangan untuk mempertingkatkan ekonomi rakyat Malaysia khususnya di kalangan bumiputera.

Setiap kali pembukaan kedai, orang ramai tidak melepaskan peluang untuk membeli di KESS kerana harga yang ditawarkan berbaloi.

“Dalam dunia ekonomi moden yang tidak menentu, emas kekal sebagai pelindung nilai yang hebat. Bila mata wang melemah, emas tetap berdiri teguh. Justeru itu, semakin ramai memilih emas sebagai simpanan jangka panjang, bukan kerana nilainya yang stabil tapi ia mudah dicairkan bila perlu,” katanya.

Di majlis perasmian itu juga, KESS memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Pertubuhan Ibu Bapa Anak-Anak Istimewa Malaysia (PRISMA) yang diwakili pengasas dan pengerusinya, Dr. Ahmad Idham.

Matlamat utama program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu adalah untuk memberi manfaat kepada keluarga, komuniti dan anak-anak istimewa di seluruh Malaysia.

Selain menjalin kerjasama strategik antara kedua-dua belah pihak, CSR itu juga bertujuan untuk memperkasa bantuan kebajikan dan sokongan kepada komuniti anak istimewa.

Bagi memastikan program dan aktiviti PRISMA berjalan lancar KESS bersedia menyalurkan dana untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap komuniti anak istimewa.