JIKA orang Kelantan, Terengganu dan Pahang yang menetap di ibu kota, rindu untuk menikmati makanan seperti masakan ibu di kampung, bolehlah singgah ke restoran Rumoh Mekda di Bangsar Village 1, Jalan Telawi 1, Bangsar.
Di Rumoh Mekda menyediakan hidangan yang kaya dengan rasa, penuh dengan jiwa daripada tradisi masakan Pantai Timur.
Hidangan yang disajikan kepada pelanggan adalah Nasi Kerabu, Ayam Percik, Ikan Patin Goreng Sambal Tempoyak, Daging Tumbok dan Singgang Oxtail, di mana setiap satunya membawa keunikan cita rasa serta tradisi masakan Pantai Timur.
Sebagai pelengkap hidangan, Puding Diraja menawarkan penutup yang membangkitkan nostalgia, dengan rasa tradisional yang dekat dengan pengalaman menikmati juadah warisan.
Sajian yang sesuai untuk dinikmati oleh sekeluarga.
Lebih daripada sekadar menghidangkan makanan tradisional, Rumoh Mekda mahu mengekalkan rasa di sebalik setiap hidangan iaitu sifat pemurah, kehangatan dan semangat kebersamaan yang menjadikan makanan Malaysia begitu istimewa.
Pemilik restoran yang mesra dengan panggilan Mekda berkata, pemilihan nama Rumoh Mekda melambangkan kehangatan sebuah rumah di mana makanan disediakan dengan penuh kasih sayang dan setiap orang mempunyai tempat di meja makan.
Rumoh Mekda dirasmikan oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 23 Ogos, baru-baru ini.
“Restoran ini baru operasi kira-kira dua bulan lalu, alhamdulillah apa yang dirancang berjalan lancar dan telah pun dirasmikan.
Dekorasi dalaman Rumoh Mekda memang cantik dan terasa seperti di kediaman sendiri.
“Konsep restoran ini lebih kepada kampung dan moden juga. Mekda nak bila orang datang ke sini macam mereka datang ke rumah Mekda.
“Kenapa pilih Bangsar? Mekda rasa Bangsar ni tempat yang paling sesuai untuk Rumoh Mekda sebab di sini ada pelbagai kaum yang melambangkan kita satu Malaysia,” katanya.
Berkongsi cerita bagaimana boleh tertubuhnya restoran tersebut, Mekda berkata, secara peribadi beliau suka memasak dan makan.
“Mekda mula bidang masakan ni daripada umur awal 30-an lagi. Orang lain kalau dah memasak tak selera nak makan, Mekda ni jenis suka memasak dan suka makan.
Antara menu yang boleh dinikmati di Rumoh Mekda.
“Mula-mula dulu Mekda jual sandwich, di stesen minyak. Selepas dua tahun buat nasi lemak pula. Lepas tu buat nasi berlauk pula tapi bila Covid melanda Mekda terpaksa tutup bisnes.
“Selepas itu Mekda kembali berniaga dengan nasi lemak, kemudian nasi kerabu dan lauk-lauk. Mekda buat katering selama enam tahun setengah untuk majlis tunang, kahwin, birthday.
“Dua tahun lepas Mekda dapat mild stroke tapi tetap nak teruskan apa yang telah Mekda usahakan. Keluarga mencadangkan Mekda buka restoran dan jadilah Rumoh Mekda,” jelasnya.
Katanya lagi, Rumoh Mekda beroperasi setiap hari dari pukul 11 pagi sampai 3.30 petang dan meneruskan operasi seterusnya dari jam 6 petang sampai 10 malam.
Mekda mahu pelanggan yang hadir ke restoran miliknya menikmati hidangan seperti di rumah.
Ujarnya lagi, menu yang disediakan di Rumoh Mekda baru separuh daripada koleksi menu yang beliau ada.
“Sajian kat restoran ni baru separuh daripada menu yang Mekda ada. Mekda tak masuk semua menu sebab Mekda buat katering juga.
“Lepas pelancaran ini kita ada menu baharu masuk iaitu lidah, perut, siakap goreng cili dan beberapa menu lagi akan dibuat.
Signature kat sini adalah ikan patin tempoyak, daging tumbuk dan nasi kerabu. Original resipi daripada famili sebelah Mekda dan suami, kita gabungkan,” katanya lagi.
Mekda (dua dari kiri) bersama Sultan Pahang dan anak serta cucunya sebelum berangkat pulang.
Bukan setakat hidangan yang disajikan menarik dan enak dimakan, dekorasi dalaman premis pun boleh membuatkan pelanggan merasa suasana seperti di rumah dan bukan di restoran.
Tambahan pula layanan daripada staf Rumoh Mekda memang mesra, macam kita pergi makan-makan ke rumah saudara mara.
Pada yang ingin menikmati menu sajian Pantai Timur, jangan tunggu lama-lama, silalah ke Rumoh Mekda untuk menjamu selera dengan ahli keluarga masing-masing.
Oleh SYED WAFA Foto KOLEKSI SYED WAFA
Sumber : Ladybosz (Terima Kasih Datuk Sri Rozita Ramelan)
WALAUPUN memulakan langkah sebagai pelakon kanak-kanak ketika berusia 11 tahun dalam filem “Manusia”(1951) realitinya bermula dari itulah ia menjadi titik tolak beliau meneruskan minat dan impiannya menjadi pelakon terkenal seperti ibunya, Allahyarham Seniwati Habsah Buang.
Sejak itu, satu demi satu tawaran berlakon diterima dan filem keempat belas lakonannya “Nujum Pak Belalang”(1959) dan filem kesembilan belas daripada 35 filem arahan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee telah ‘melahirkan’ seorang lagi seniwati terkenal sebaris dengan Allahyarham Seniwati Datin Saadiah dan Seniwati Zaiton.
SEMASA kecil beliau selalu mengikuti bonda tercinta, Seniwati Habsah Buang di set penggambaran.
Bukan itu sahaja, malah filem “Nujum Pak Belalang” sebagai Puteri Si Bujur Sirih, menunjukkan kesinambungan sisi lain Hashimah Yon bukan setakat berlakon malah memiliki suara yang ‘sedap’ didengar.
Sebagai menghargai bakatnya itu, P. Ramlee memberi peluang Hashimah Yon berduet dengannya dalam lagu “Kalau Kaca Menjadi Intan.”
SEBAGAI penari, penglibatan awal beliau dalam bidang seni.ANTARA satu persembahan pentas beliau.
Nyanyian Hashimah Yon dan P. Ramlee telah diabadikan dalam babak ketika ‘Puteri Si Bujur Sirih’ bertemu dengan ‘Pak Belalang’ yang kemudian diberi nama ‘Kanda Satria’ di taman istana pada waktu tengah malam kononnya sebagai mengubati ‘penyakit ganjil’ puteri berkenaan.
Selain filem berkenaan, Hashimah Yon telah menyanyi lebih daripada 20 lagu runut bunyi filem (Original Sound Track atau OST) dengan 14 daripadanya berduet dengan Allahyarham Seniman Aziz Jaafar antaranya filem “Hantu Jerangkong”(1957) ‘Joget Berpantun Kasih’ dengan empat daripadanya untuk filem “Gergasi”(1958) antaranya ‘Sumpah Tanda Setia’ dan ‘Sejiwa’ dan tiga untuk filem “Sumpah Wanita”(1960) antaranya ‘Membawa Berita’ dan ‘Rintihan Si Tanjung.’
BAKAT menari beliau sungguh menyerlah.
Itulah Seniwati Hashimah Yon atau nama sebenarnya Hashimah Mohd. Leon berbakat bukan sahaja sebagai pelakon tetapi penari dan penyanyi. Beliau dilahirkan di Lorong Engku Aman, Singapura pada 10 September 1940 dan anak kelima daripada enam beradik. Bapanya meninggal dunia kerana kanser ketika beliau masih kecil.
Sejak kematian bapanya, emaknya yang juga merupakan pelakon terkenal di Malay Film Productions, Habsah Buang meneruskan kerjayanya sebagai pelakon untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga.
APABILA Puteri Si Bujur Sirih bertemu Kanda Arjuna dalam filem “Nujum Pa’ Blalang.”BUAT pertama kali Hashimah Yon berduet dengan P. Ramlee dalam lagu “Kalau Kaca Menjadi Intan” dalam filem “Nujum Pa’ Blalang.”
Hashimah Yon yang sering mengikut ibunya ke lokasi penggambaran mengakui bermula dari itulah dia belajar cara berlakon dan menghayati watak.
Selepas ditawarkan watak kanak-kanak pada tahun 1951, Hashimah Yon ditawarkan watak sebagai penari dalam filem “Penarek Becha” diikuti filem “Hang Tuah” sebagai penari Jawa.
P.RAMLEE dan Hashimah Yon dalam filem “Anak-ku Sazali.”P. RAMLEE ditemukan dengan Hashimah Yon dalam “Anak-ku Sazali.”
Meskipun Hashimah Yon memulakan kerjaya seninya dengan filem “Manusia” arahan S. Ramanathan tetapi beliau tidak akan lupa jasa P. Ramlee dalam membentuk dirinya sebagai pelakon. Tanpa P.Ramlee tidak mungkin peluang itu akan hadir dalam hidupnya sebagai menjadi seorang seniwati.
Semuanya bermula apabila beliau yang sering mengikuti ibunya menjalani penggambaran akhirnya telah menemukan beliau dengan P. Ramlee.
SENIWATI paling seksi…Gelaran yang diberi kepada seniwati Hashimah Yon.
Dalam pertemuan itu, P. Ramlee memberitahu Hashimah Yon berbakat sebagai pelakon tetapi beliau harus banyak berlatih.
P. Ramlee bukan sahaja memberi semangat kepada beliau sebaliknya turut membantu Hashimah Yon hingga berpeluang berlakon dalam filem “Manusia.”
HASHIMAH Yon dan Bat Latiff dalam satu babak filem “Sri Tanjung.”
Bagi Hashimah Yon, walaupun wataknya dalam filem berkenaan sebagai pelakon ‘extra’ tetapi tanpa bantuan P. Ramlee tidak mungkin lahir sebutir bintang bernama ‘Hashimah Yon.’
Setelah berlakon beberapa filem, akhirnya P. Ramlee menawarkan Hashimah Yon watak utama sebagai ‘Teratai’ dalam filem ketiga arahannya iaitu “Pancha Delima.”
KEJELITAAN Hashimah Yon yang menjadi kegilaan peminat filem Melayu ketika itu.HASHIMAH Yon bergaya dengan kebaya moden.
Dalam “Pancha Delima”(1957) Hashimah Yon berpasangan dengan Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin. Filem ini adalah pertama kali memberi peluang mereka berpasangan sebagai hero dan heroin.
Sebagai pengarah, P. Ramlee tidak mahu mengambil risiko dengan memberi sepenuh kepercayaan kepada pasangan berkenaan.
JINS Shamsuddin, Hashimah Yon dan Aziz Jaafar antara pelakon utama dalam filen “Sumpah Wanita.”
Sebaliknya selama sebulan mereka menjalani latihan untuk menghayati watak Teratai (Hashimah Yon) dan Suria Kenchana (anak raja, Jins Shamsuddin) di pejabat beliau, di Studio Jalan Ampas.
Akhirnya terbukti filem ini bukan sahaja telah melahirkan pasangan hero dan heroin baru malah telah mendapat sambutan hangat daripada para peminat filem Melayu ketika ditayangkan.
SENIWATI dari Malay Film Productions…Zaiton, Hashimah Yon dan Dayang Sofia.
Sejak itu, Hashimah Yon yang pernah digelar oleh sebuah akhbar di Singapura sebagai seniwati paling seksi tidak henti menerima tawaran demi tawaran berlakon.
Realitinya gelaran itu mungkin diberikan kepada Hashimah Yon bukan kerana beliau sering berpakaian menyolok mata untuk kelihatan seksi tetapi zahirnya jika melihat perwatakan beliau dan suaranya yang lembut dan manja membuatkan beliau layak menerima gelaran itu.
DARI kiri: HAMZAH Dolmat, Normadiah, Ismail Bontak, Hashimah Yon dan SM Salim sebelum berlepas ke Congo untuk menghiburkan askar-askar dari Malaya (Malaysia) yang bertugas sebagai pasukab pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 1961.DUA seniwati dari Malay Film Productions, Hashimah Yon dan Normadiah yang ‘ditugaskan’ membuat persembahan ke Congo.
Sepanjang 12 tahun menjalani hidup sebagai salah seorang Seniwati di Studio Jalan Ampas yang popular dan diminati ramai dengan membintangi lebih 20 filem antaranya “Anakku Sazali”(1956), “Hantu Jerangkong”(1957), “Megat Terawis”(1960) dan “Singapura Dilanggar Todak” (1961) tidak pernah beliau menduga terpaksa meletakkan noktah setelah filem “Budi dan Dosa”(1963) arahan Allahyarham Datuk Jamil Sulong.
Semuanya gara-gara Shaw Brothers memecat Hashimah Yon dari Malay Film Productions (MFP) mengenai perkahwinan kali kedua beliau. Ketika itu beliau berusia 22 tahun.
LAWATAN bintang Hollywood yang terkenal dengan filem-filem koboi, John Wayne ke Singapura pada Januari 1958. Beliau diraikan pada Malam Gala yang dihadiri (dari kanan), Sir Run Run Shaw, Hashimah Yon, Puan Sri Saloma, Zaiton, Ahmad Mahmud, Salleh Kamil, Jins Shamsuddin, Haji Mahadi dan Aziz Sattar di Hotel Raffles, Singapura.AKTOR Joh Wayne bersama Mariani, Hashimah Yon dan Latifah Omar.HASHIMAH Yon bersama John Wayne.
Adalah difahamkan tindakan itu diambil apabila 15 artis MFP menghantar surat kepada Shaw Brothers agar menamatkan kontrak beliau disebabkan hal peribadi yang didakwa Hashimah Yon tiada kena mengena dengan syarat-syarat kontrak.
Dengan pemecatan itu, filem “Budi Dan Dosa” arahan Jamil Sulong adalah filem terakhir lakonan Hashimah Yon yang mana akhirnya mengambil keputusan bersara dari dunia filem.
BINTANG Hollywood, Elizabeth Taylor bersama pemilik Shaw Brothers, Run Run Shaw, Normadiah, Hashimah Yon dan Dayang Sofia di Festivel Filem Asia Pasifik di Tokyo.
Bagaimanapun selepas 26 tahun ‘bersara’ dari dunia filem akhirnya pada tahun 1989, Hashimah Yon diundang berlakon dalam filem “Kolej 56” arahan Ahmad Fauzee.
Selain Hashimah Yon tujuh lagi seniman dan seniwati Studio Jalan Ampas turut diundang membintangi filen berkenaan iaitu Allahyarham Seniman Yusof Latiff, Allahyarham Omar Suwita, Allahyarham Kemat Hassan, Ahmad Sabri, Allahyarham S. Shamsuddin, K. Fatimah dan Allahyarham Seniwati Mariani.
GAYA seorang seniwati…Hashimah Yon.HASHIMAH Yon bersama Seniman Datuk Mustapha Maarof.
Pada tahun 1994, Pengarah U-Wei Shaari mengundang beliau berlakon dalam filem “Black Widow-Wajah Ayu” dan filem ini merupakan filem terakhir lakonan Hashimah Yon.
Hashimah Yon dicalonkan bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik kerana lakonannya sebagai Aton dalam filem “Black Widow-Wajah Ayu” pada Festival Filem Malaysia ke-12 yang berlangsung di Grand Ballroom, Hotel Istana, Kuala Lumpur pada 5 November 1990.
KENANGAN ketika berkunjung ke Mesir.
Sementara itu, pada 3 April 1961, Hashimah Yon bersama Allahyarham Seniwati Normadiah, Allahyarham Pelawak Ismail Bontak, Allahyarham Tan Sri SM Salim dan Allahyarham Hamzah Dolmat telah ke Congo untuk menghiburkan askar-askar dari Malaya (Malaysia) yang bertugas sebagai pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
KENANGAN…Ramlah Ram bergambar bersama bonda tercinta seniwati Hashimah Yon, Habsah Buang.MENGABADIKAN kenangan…Datuk Jalaluddin Hassan bersama dua bintang Malay Film Productions iaitu Hashimah Yon dan Zaiton.KENANGAN…dari kanan seniwati K. Fatimah, seniwati Zaiton, seniwati Hashimah Yon, Puan Rosie dari Shaw Organisation, seniwati Datuk Rosnani Jamil dan seniwati Habibah Haron.
Kini pada usianya 84 tahun, Hashimah Yon masih sihat dan menetap di Singapura. Kami di Ladybosz sentiasa mendoakan seniwati legenda Hashimah Yon sentiasa diberikan kesihatan yang baik dan dirahmati Allah SWT…Amin.
SYED Wafa (Penulis) bergambar kenangan bersama seniwati legenda Hashimah Yon.
Kredit: Terima kasih Ladybosz.com dan Dato Seri Rozita Ramelan
SEKARANG ini antara platform media sosial yang sering mendapat perhatian warga maya adalah TikTok kerana ia merupakan platform video berdurasi pendek yang sangat digemari ramai untuk hiburan dan pemasaran.
Salah seorang pempengaruh yang berjaya menjadikan platform tersebut sebagai sumber pendapatan ialah Issey Miyake SG.
Menurut Issey, beliau bukanlah pengguna TikTok. Namun sewaktu melihat seorang individu membuat live di TikTok, terdetik di hatinya untuk mencuba.
“Saya bermula dengan F&B. Kemudian kerja kapal dan bila Covid dengan tak sengaja saya terjumpa TikTok dan nampak Bangla ni buat live. Saya tanya dia macamana dia buat live.
“Dulu kalau nak buat live kena ada 1,000 followers jadi saya banyak follow orang dan bila dah cukup 1,000 followers saya buat live. Bila saya buat live, sambutan makin lama makin meriah.
Misi Issey Miyake SG sekarang adalah untuk membantu orang sekelilingnya berjaya mencapai impian masing-masing.
“Alhamdulillah, dari zero kini saya berjaya mencipta nama sebagai hos TikTok LIVE dan pencipta kandungan. Saya bersyukur dengan setiap pencapaian tersebut tetapi saya mesti mengingatkan diri untuk be humble.
“Bagi saya tittle ranking diamond boleh berubah pada bila-bila masa. Tetapi cara kita melayan orang, menghargai mereka yang menyokong kita, bagaimana kita membawa diri itu yang agak penting untuk saya sebenarnya.
“Saya seorang yang mempunyai determination (keazaman) yang sangat kuat. Bila saya letakkan sesuatu sebagai matlamat, saya akan berusaha belajar daripada kesilapan dan terus mencuba menjadi lebih baik daripada sebelumnya,”katanya yang pernah memenangi beberapa anugerah di majlis anjuran KamiSempoi International Agency.
Antara anugerah yang pernah diraih adalah Hos Terbaik Singapura (SG Top Host) sewaktu acara Anugerah Emas KSIA ( KSIA Golden Awards).
Issey yang dikenali dalam komuniti sebagai PK King berkata, misi utamanya bukan sekadar untuk menjadi hos yang dikenali tapi di waktu yang sama, beliau mahu membantu membina satu komuniti yang saling sokong dan menghormati antara satu sama lain.
“Bagi saya kejayaan paling bermakna bukan bila kita sampai di puncak seorang diri tetapi apabila kita boleh melihat ke kiri dan ke kanan serta tahu bahawa orang yang berjalan bersama kita juga telah berjaya dalam bisnes, konten dan live mereka.
“Saya percaya kita tidak perlu menjatuhkan orang lain untuk berada di atas. Persaingan sepatutnya membuat kita menjadi lebih baik, bukan membuat kita lupa siapa diri kita sebenarnya.
“Saya sangat percaya dengan team work yang saya buat dari 2020 bersama team Familia yang selalu menyokong saya di belakang tabir. Kerjasama itu mengingatkan siapa diri saya kerana apa yang saya perolehi sekarang ini disebabkan mereka yang berada di belakang saya,” katanya yang sentiasa berpijak di bumi nyata.
Bersama content creator yang bekerjasama dengan KamiSempoi yang diterajui Pakcik Chin Swee (duduk – tengah).
Ujarnya lagi, sejak menyertai KamiSempoi, banyak ilmu yang diperolehi dan justeru itulah Issey mahu menggunakan ilmu yang beliau ada untuk membantu orang lain.
“KamiSempoi banyak membantu dalam live streaming dan lighting. Cara bagaimana kita nak perform. Bantuan dan tunjuk ajar mereka dapat membantu lebih ramai potensi klien untuk datang kepada kita.
Selain jadi PK, saya juga content creator dan influencer. Ada orang menjual tapi kita tak menjual. Apa yang kita lakukan adalah mempromosi diri dan membantu mereka untuk menjual produk yang mereka usahakan.
“Kita sebagai hos, kita buat nama, kita buat bisnes dan jual produk. Orang yang tak bekerja akan dapat kerja apabila bersama kita.
Itu saya punya misi dan visi sebab di Malaysia banyak peluang, bukan macam di Singapura kerana di sana semua benda dah ada.
“Kat Malaysia ni macam-macam boleh ada. Tapi saya tak faham kenapa orang Melayu kita tak buat apa-apa. Ini pendapat saya kerana ini boleh push mereka pergi lebih jauh.
“Contoh, kita nak buat bisnes tapi tak ada kapital, bila ada kapital tak tahu pula macam mana nak mula.
Semua itu boleh dilaksanakan jika kita berkolaborasi dengan team yang berwibawa. Itulah yang saya dan team Familia lakukan kerana hubungan kami seperti keluarga,” jelasnya.
Bagi dirinya, tiada apa lagi yang mahu dikejar melainkan membantu komuniti Familia mencapai sasaran masing-masing.
“Awalnya memang saya tak percaya dan yakin media sosial ni boleh memberi pendapatan kepada saya.
“Bila orang kata orang tu boleh dapat banyak dalam tempoh singkat, memang saya tak percaya. Tapi bila saya sendiri lalui, tak sangka rezeki berpihak kepada saya.
“Saya suka buat live streaming sebab saya suka layan orang. Daripada situlah saya nekad untuk buat, alhamdulillah dah lapan tahun saya dalam bidang TikTok ni. Saya jadi hos dari 2023 sampai hari ni.
“Tak ada apa lagi yang ingin saya kejar, melainkan mahu tengok orang sekeliling saya berjaya.
“Jika saya boleh menjana lebih daripada USD15,000 dalam sesi pertarungan selama 15 minit dengan kerjasama KamiSempoi, saya nak orang lain pun boleh.
“Saya nak mereka yang bersama saya ini mampu mencapai impian mereka dan berjaya. Bagi saya selagi mana kita respek antara satu sama lain, insya-Allah rezeki akan berpihak kepada kita,” katanya.
SEKARANG ini ramai yang ingin menjadi pempengaruh atau influencer sebab nak glamor kerana mempunyai ramai pengikut di media sosial.
Tidak semua orang menjadikan media sosial sebagai platform untuk popular, tapi sebagai lubuk rezeki.
Bagi Muhamad Shahrul Nizam, media sosial atau platform atas talian itu mampu mendatangkan rezeki jika diguna dengan berhemah.
Muhamad Shahrul Nizam yang berasal dari Pulau Pinang itu mengakui beliau adalah seorang yang introvert. Untuk makluman, introvert ialah sejenis personaliti di mana seseorang mendapat tenaga dan rasa tenang apabila mereka berada secara bersendirian.
Muhamad Shahrul Nizam mahu berkongsi ilmu dan pengalamannya dengan content creator baharu.
Kisah perjalanan kehidupan beliau boleh dijadikan inspirasi kepada insan-insan introvert lain kerana sekarang ini Muhamad Shahrul Nizam berjaya meletakkan dirinya sebagai seorang pencipta kandungan digital, bakat suara video-ke-teks (VTT) dan hos TikTok LIVE yang terkemuka.
“Saya mula main TikTok masa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan). Saya kaji dulu macam mana TikTok boleh bagi pendapatan atau tidak kepada saya.
“Sebelum itu, saya selalu main games kat Facebook. Lepas tu bila saya kaji dan tengok TikTok ni boleh bagi income daripada live streaming dan dari segi branding. Kemudian saya mula main TikTok, saya mula dengan live streaming dan tak buat content lagi.
Bila saya mula dengan live streaming, lama-lama saya terfikir macam mana nak naikkan followers macam orang lain sampai 100,000 ke atas. Sekarang saya ada followers 736,000. Tahun 2021 saya mula brandingkan nama saya dan mula buat content menggunakan suara saya.
“Dari situ, saya cari apa kelebihan yang saya ada. Kelebihan yang saya ada mungkin dari suara, tonasi dan mimik muka saya waktu saya sampaikan content itu dan ayat-ayat itu yang mewakili masyarakat kita. Apa yang orang rasa.
Dari situ saya mula mengatur langkah daripada video bodoh-bodoh saya terus upgrade sampai sekarang,” kongsinya.
Sekarang ini beliau berkhidmat sebagai Pengurus Bakat untuk KamiSempoi Premier Academy di bawah KamiSempoi International Agency (KSIA).
Kata Muhamad Shahrul Nizam, sebelum menyertai KamiSempoi, beliau tidak konsisten memuat naik kandungan atau melakukan live streaming.
“Sebelum ini saya tak ada kerja proper macam ni. Bila saya masuk KamiSempoi saya dapat belajar banyak perkara termasuk dari bahagian content dan pengurusan.
“Di waktu yang sama pihak KamiSempoi nampak kelebihan saya. Bekerja di KamiSempoi sangat seronok kerana kami semua macam satu keluarga.
Muhamad Shahrul Nizam lebih dikenali sebagai AG9 Official di platform TikTok.
“Di sini saya nampak banyak creators yang kita boleh ketengahkan. Ada yang dah jadi creators KamiSempoi tapi tak dapat bimbingan yang betul. Sebagai pembimbing saya akan tanya seorang demi seorang.
“Saya cuba bagi semangat, tunjuk cara apa yang perlu dibuat. Saya suka ajar orang daripada kosong. Daripada tak ada video, saya akan ajar ikut silibus yang KamiSempoi Academy tetapkan.
“Alhamdulillah ada creators yang bawah saya, tak sampai sebulan dah graduate. Saya mula dalam pengurusan, menjadi seorang manager pada penghujung 2024. Saya merupakan salah seorang manager yang dipanggil untuk membantu KSIA untuk bangunkan kreatif baharu,” katanya yang mahu melahirkan ramai pencipta kandungan profesional.
Justeru itu, beliau menasihatkan mereka yang tidak yakin dengan kebolehan diri, supaya menggubah persepsi tersebut dan berani mencuba sesuatu yang baharu.
“Kalau rasa diri tak pandai jangan pandang rendah pada diri sendiri sebelum mencuba. Apabila anda sudah dapat mengeluarkan kebolehan diri yang selama ini kita tak tahu, kita sendiri yang tak akan berhenti.
“Melalui Akademi ini saya nak lahirkan seberapa ramai profesional hos. Kalau hos biasa-biasa ni semua orang boleh. Saya berhasrat untuk lahirkan lebih ramai creators profesional. Sebab tu kita ada kolaborasi dengan MK Studio,” katanya lagi.
Kerana sebuah lagu yang memartabatkan irama Malaysia, FM Group impi bintang Cak Cak Cekuk gegarkan pentas Precious of Malaysia September ini.
Malah FM Group juga mahu ‘rebut hati’ Gen Z, Precious of Malaysia idam Wani Kayrie untuk gegarkan pentas final event tersebut.
Warisan budaya Malaysia tidak seharusnya hanya diraikan ketika berlangsungnya festival atau sambutan tertentu, sebaliknya perlu dibawa lebih dekat dengan generasi muda agar terus relevan dan menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka.
Itu antara pendekatan yang diketengahkan FM Group, yang diasaskan oleh pereka fesyen Farel Mikhail dan Pengerusi Program, Jonathan Kok, menerusi Precious of Malaysia Citraloka 2026.
Inilah dua insan yang menjayakan event yang penuh berprestij ini iaitu Pereka fesyen dan penganjur dari FM Group, Farel Mikhail (kanan) dan Jonathan Kok.
Menariknya, dalam usaha mendekatkan warisan Malaysia dengan generasi muda, Farel dan Jonathan turut menyimpan impian untuk menjalinkan kerjasama dengan penyanyi popular, Wani Kayrie, bagi memeriahkan pentas final Precious of Malaysia.
“Kalau ditanya, kami mengimpikan Wani Kayrie tampil membuat persembahan di pentas final program Precious of Malaysia.
“Kalau ada rezeki, lebih istimewa jika beliau sudi mengenakan busana rekaan kami,” kata Farel.
Impian tersebut bukan sekadar kerana populariti Wani, sebaliknya mereka melihat penyanyi berkenaan sebagai antara figura muda yang mampu menjadi jambatan antara budaya, fesyen dan generasi baharu.
“Dalam masa yang sama, kami akui cukup meminati lagu Cak Cak Cekuk nyanyian Wani Kayrie.
“Selain itu, kami melihat karakter dan imej Wani juga sesuai dengan konsep yang mahu diketengahkan dalam Precious of Malaysia,” ujarnya.
Bagi mereka, kolaborasi bersama Wani boleh menjadi satu pendekatan kreatif untuk membawa fesyen tradisional dan identiti Malaysia kepada khalayak yang lebih muda, khususnya pengguna media sosial.
Menurut Farel, cara masyarakat khususnya golongan muda melihat budaya perlu diubah supaya warisan tidak dianggap sebagai sesuatu yang ‘old-fashioned’ atau hanya sesuai dipamerkan di muzium.
“Kita kena ubah cara kita membawa budaya. Itulah yang kami lakukan dalam Precious of Malaysia.
“Kalau budaya hanya diletakkan dalam muzium atau dipersembahkan ketika sambutan tertentu, generasi muda mungkin melihatnya sebagai sesuatu yang jauh daripada kehidupan mereka.
“Untuk itu, Precious of Malaysia menggunakan pendekatan yang lebih dekat dengan dunia anak muda menerusi fesyen, kandungan media sosial, pertandingan, catwalk, muzik, pendidikan dan kolaborasi,” katanya.
Menariknya, dalam usaha mendekatkan warisan Malaysia dengan generasi muda, Farel dan Jonathan turut menyimpan impian untuk menjalinkan kerjasama dengan penyanyi popular, Wani Kayrie, bagi memeriahkan pentas final Precious of Malaysia.
Wani Kayrie pengaruh besar kepada Gen Z
Dalam konteks itu, figura seperti Wani Kayrie dilihat mampu membantu memperluaskan capaian dan kesan mesej tersebut kerana muzik dan fesyen mempunyai pengaruh besar dalam membentuk trend serta gaya hidup generasi muda.
Apabila seorang penyanyi muda mengenakan busana tempatan di pentas persembahan atau berkongsi penampilannya menerusi media sosial, ia secara tidak langsung boleh menjadikan elemen warisan lebih dekat, moden dan mudah diterima anak muda.
“Bagi saya, kerjasama seperti ini juga boleh membuka ruang kepada pereka tempatan untuk menghasilkan rekaan yang menggabungkan elemen tradisional dengan potongan kontemporari tanpa menghilangkan identiti asalnya.
“Contohnya Seni Telepuk. Dalam acara sebelum ini, kita bukan sekadar pamerkan Telepuk. Kita sudah mulakan bengkel bersama pelajar, mereka belajar menghasilkan Telepuk, kemudian hasil itu dibawa ke pertandingan dan pentas fesyen.
“Kita mahu anak muda rasa bahawa memakai batik, kebaya, songket atau mengangkat seni tradisi itu bukan sesuatu yang ‘old-fashioned’,” katanya.
Menurutnya, warisan tidak perlu diubah identitinya semata-mata untuk menjadikannya trendy, sebaliknya cara warisan itu dipersembahkan kepada generasi baharu yang perlu berubah.
“Ini amat penting dalam memastikan budaya tempatan tidak terputus daripada generasi masa kini yang lebih terdedah kepada pengaruh budaya global melalui media sosial dan dunia digital.
“Atas alasan itu juga, Precious of Malaysia Citraloka 2026 turut memberi ruang kepada pelajar, pereka muda, artisan, usahawan kreatif, model, penggiat seni, sekolah, kolej vokasional, universiti dan masyarakat umum untuk terlibat secara langsung,” katanya.
Precious of Malaysia Citraloka 2026
Precious of Malaysia Citraloka 2026 bakal berlangsung selama enam hari dari 11 hingga 16 September 2026 di Taman Tasik Titiwangsa.
Antara aktiviti atau pengisian menarik sepanjang tempoh itu adalah seperti International Cultural Fashion Week, Gema Tari Etnik Malaysia, Si Cilik Busana Kreasi Tradisi, Lenggok Si Bulus, aktiviti masakan dan bakeri, persembahan muzik serta tarian dan pengisian seni Telepuk.
Kemuncaknya pada 16 September bersempena Hari Malaysia ialah Precious Cultural Walk.
Ia menghimpunkan peserta berbusana tradisi dan budaya untuk bersama-sama membawa semangat perpaduan mengelilingi tasik.
Farel berkata, konsep penganjuran tahun ini bukan sekadar mengajak masyarakat datang menonton, sebaliknya memberi peluang kepada mereka untuk melihat, belajar, mengambil bahagian dan merasai sendiri kepelbagaian budaya Malaysia.
“Warisan tidak perlu diubah identitinya untuk menjadi trendy. Cara kita mempersembahkannya yang perlu berubah.
“Kita tidak mahu budaya hanya dikenang – kita mahu budaya dipakai, digunakan, dikongsi dan dibanggakan,” katanya.
Precious of Malaysia Citraloka 2026 turut dilaksanakan dalam ekosistem Festival Budaya Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), selain membabitkan pelbagai institusi pendidikan, pereka, artisan, penggiat seni dan rakan industri.
Selepas lima tahun membina platform berkenaan, FM Group mahu Precious of Malaysia bergerak lebih jauh dengan menghubungkan warisan kepada industri dan generasi baharu.
Muzik, fesyen dan budaya perlu seiring
Sementara itu, Jonathan Kok berpendapat kolaborasi bersama Wani Kayrie juga merupakan sebahagian daripada impian lebih besar mereka untuk melihat fesyen, muzik dan budaya tempatan bergerak dalam satu ekosistem yang sama.
“Kita percaya apabila artis, pereka fesyen dan penggiat budaya bergabung, mesej mengenai warisan Malaysia dapat disampaikan dengan cara yang lebih segar, dekat dan mudah diterima generasi muda.
“Jika perancangan dan impian itu menjadi kenyataan, ia bukan sahaja memberi nilai kepada Precious of Malaysia, malah membuka peluang untuk memperkenalkan rekaan tempatan kepada peminat Wani dan khalayak lebih luas.
“Sekaligus, kita berharap lebih ramai artis muda selepas ini berani membawa elemen budaya Malaysia dalam karya, muzik dan penampilan mereka,” katanya.
Selepas lima tahun membina platform berkenaan, FM Group mahu Precious of Malaysia bukan sahaja terus hidup, malah mempunyai nilai ekonomi dan mampu diketengahkan ke peringkat antarabangsa.
Antara wajah yang mereka impikan berada di pentas Precious of Malaysia ialah Wani Kayrie yang menyanyikan lagu popularnyq Cak, Cak Cekuk, sambil mengenakan busana rekaan Farel dan Jonathan sebagai simbol bahawa warisan Malaysia boleh tampil moden, bergaya dan dekat dengan jiwa generasi muda.
YAIKK dan FM Group jalin kerjasama
Yayasan Amanah Industri Kreatif Kebangsaan (YAIKK) dan FM Group turut mengumumkan kerjasama strategik dalam memartabatkan seni, muzik dan warisan budaya Malaysia.
Menerusi kerjasama itu, Precious of Malaysia – Citraloka 2026 dan Festival Pancaragam Malaysia 2026 menjadi pengisian utama Festival Budaya Malaysia (FBM) 2026.
Dianjurkan oleh MOTAC, festival berkenaan berlangsung dari 11 hingga 16 September 2026 di Taman Tasik Titiwangsa, bersempena Hari Malaysia pada 16 September.
Pelancaran Precious of Malaysia Citraloka 2026 baru-baru ini turut menyaksikan pelancaran rasmi Festival Pancaragam Malaysia 2026, yang dijadualkan berlangsung dari 14 hingga 16 September 2026.
Sambutan Maulidur Rasul 1448H di Malaysia adalah pada hari ini, 25 Ogos (Selasa).
Tema Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan iailah “Madani Dihayati, Ummah Diberkati”.Acara Peringkat Kebangsaan akan diadakan di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM Serdang.
Siaran Langsung akan bermula jam 9.00 pagi di saluran RTM TV1 serta Facebook rasmi JAKIM.
Banyak amalan digalakkan hari Ini antaranya masyarakat Islam digalakkan menghidupkan hari ini dengan pelbagai amalan:
Memperbanyakkan Selawat:
-Memuji junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Membaca Al-Quran:
-Mendekatkan diri dengan kitab suci Allah.
Mendalami Sirah:
-Membaca kisah perjuangan Nabi bersama keluarga.
Menghidupkan Sunnah:
-Mengamalkan sifat terpuji seperti jujur dan berbuat baik.
Salam Maulidur Rasul dari kami di Wafa News buat semua pembaca yang kami hormati.
Oleh SYED WAFA Foto KOLEKSI SYED WAFA Sumber : Ladybosz (Terima Kasih Datuk Sri Rozita Ramelan)
“Orang ni saya kenal benar, memang pemalu orangnya…Jamil…Jamil…kusangkakan dua, rupanya tiga.”
“Nasib baik tak empat Chek!”
“Apa yang dua…apa yang tiga?”
POSTER filem “Madu Tiga” dengan pelakon utamanya, P. Ramlee, Sarimah Ahmad, Zaharah Agus, Jah Mahadi dan Ahmad Nisfu.
BAGI anda yang meminati filem-filem arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee pasti ingat dialog ini yang dipetik dari filem “Madu Tiga” (1964) yang mana buat pertama kali mengesahkan ketiga-tiga mereka bermadu dan isteri kepada ‘Abang Jamil’ ( P. Ramlee).
Babak itu adalah kali kedua mereka bertemu setelah pertama kali di kedai emas tetapi ketika itu mereka tidak tahu mereka bertiga bermadu dan bersuamikan ‘Abang Jamil’ dengan isteri pertama, Cik Latifah (Allahyarham Seniwati Zaharah Agus), isteri kedua, Cik Hasnah (Allahyarham Seniwati Jah Mahadi) dan isteri ketiga, Cik Rohani (Seniwati Datuk Dr. Sarimah Ahmad).
SEBAGAI suami isteri dalam “ Madu Tiga”…Encik Jamil dan Chik Latifah.
Pertemuan di rumah Cik Rohani di tepi laut yang pada mulanya ‘tenang’ tetapi ‘bergelora’ apabila Cik Latifah dan Cik Hasnah saling ‘berbalah dalam diam.’
Perbalahan itu akhirnya telah mencetuskan idea kepada Cik Hasnah dan Cik Latifah agar mereka bertiga ‘berperang’ setelah Cik Hasnah terpandang gambar dalam bilik Cik Rohani bersama suaminya, ‘Abang Jamil.’
Tetapi isteri muda, Cik Rohani, seorang wanita yang bijak dan berhemah tinggi menolak cadangan itu kerana bukan mereka yang bersalah “tetapi Abang Jamil yang bersalah!”
Maka bermulalah babak kejar mengejar dari rumah Cik Rohani di tepi laut sehingga ke rumah Haji Latiff (bapak Cik Hasnah lakonan Allahyarham Seniman Ahmad Nisfu) sehingga menimbulkan kehairanan kepada mereka bertiga kerana ‘Abang Jamil’ masuk pintu lain dan keluar pintu lain dan mereka mendakwa suami mereka mengamalkan ‘ilmu Madu Tiga.’
CIK Latifah berpura ‘sporting’ apabila diberitahu ‘Abang Jamil’ kahwin lagi satu.ANTARA babak lucu Zaharah Agus dalam filem Madu Tiga.
Babak kejar mengejar itu berakhir setelah ‘Abang Jamil’ terjun dari jambatan dan akhirnya Cik Rohani membuat ‘undang-undang’ yang adil untuk dipraktikkan ‘Abang Jamil’ dengan cara bergilir dengan ketiga-tiga isterinya ‘sehinggalah Abang Jamil…mampus!’
Walaupun babak dan dialog itu lucu tetapi dalam diam ia menyindir kaum lelaki yang pandai berkahwin lebih daripada satu tetapi tidak bersikap adil kepada isteri-isterinya.
SATU babak dari filem “Madu Tiga.”BABAK di rumah Cik Rohani bukan sahaja menemukan Cik Latifah dan Cik Hasnah malah akhirnya rahsia Abang Jamil terbongkar!
Begitulah bijaknya P. Ramlee dalam berkarya. Beliau bukan setakat berfikir bagaimana filem itu boleh menarik peminat filem Melayu ke pawagam malah ia juga memberi nasihat kepada kaum lelaki yang hanya pandai berpoligami tetapi tidak adil dalam menjalani kehidupan sebagai seorang suami yang beristeri lebih daripada satu!
Filem ini bukan sahaja memaparkan kisah ‘kepincangan’ rumahtangga apabila suami tidak berlaku adil malah ia juga menampilkan bakat lakonan Zaharah Agus!
APABILA tiga madu berjumpa huru-hara jadinya. Dari kiri: Cik Latifah (Zaharah Agus), Cik Hasnah (Jah Mahadi) dan Cik Rohani (Sarimah Ahmad).
“Madu Tiga” dikatakan telah membuktikan kehebatan Zaharah Agus (Cik Latifah) sebagai pelakon yang sentiasa dikenang sehingga hari ini. Filem tersebut adalah filem kedua daripada empat filem lakonannya sepanjang 15 tahun bergelar anak seni.
Zaharah Agus mula berlakon dalam filem “Angin Pesan”(1954), “Madu Tiga”(1964), “Miang-Miang Keladi”(1968) dan filem terakhir “Bukan Salah Ibu Mengandong”(1969).
Walaupun itu adalah filem ketiga lakonannya dan merupakan filem ke-16 daripada 35 arahan P. Ramlee namun dialog-dialognya yang lucu tetap mencengkam di jiwa dan sentiasa diingat para peminat filem Melayu sejak sekian lama.
P. RAMLEE ketika mengarah filem “Madu Tiga.”
Melihat lakonan Zaharah Agus, P. Ramlee yang memanggilnya ‘Zeera’ pernah berkata;
“Zeera mempunyai bakat sungguh terpuji. Dia tak ubah seperti permata asli, bagaimanapun dibentuk, cahayanya tetap berseri!”
Itulah kehebatan Seniwati Zaharah Agus atau Zara Agus (Zera Agus) yang dilahirkan di Palembang, Sumatera, Indonesia pada tahun 1922. Beliau adalah isteri kepada Allahyarham Seniman M. Suki atau nama sebenarnya Mohamed Suki Sutan Nordin yang lebih dikenali Pak Suki.
TURUT berlakon dalam filem ‘Miang Miang Keladi’
Sejak usianya sembilan tahun, Zaharah Agus mengikut bapa tirinya, Pengurus Borneo Star Opera menjelajah Malaya (Malaysia). Kemudian beliau menguruskan satu kumpulan sandiwara dan beliau berbakat sebagai penari, penyanyi dan pelakon pentas.
Bersandarkan bakatnya Zaharah Agus memulakan kerjaya seninya secara profesional sebagai penyanyi sejak era 1960-an sehingga 1970-an yang mana lagu-lagunya sering ‘dimainkan’ di Radio Malaya.
FILEM terakhir Zaharah Agus ‘Bukan Salah Ibu Mengandong’.
Selain berlakon, Zaharah Agus juga terkenal sebagai penyanyi dan pernah merakamkan lagu antaranya Tiang Ugama, Abdullah, Kalau Mau Kenal, Saya Cemburu, Mat Lodeh, Duka di Hari Mulia, Ikan Kekek, Malaya Merdeka, Pulau Aman, Mas Merah, Jiwa Merana dan Keindahan Bintang Malam.
Lagu “Keindahan Bintang Malam” nyanyian Zaharah Agus digubah semula oleh Tan Sri Dr. Ahmad Nawab dan dinyanyikan semula oleh Allahyarham Puan Sri Saloma dengan tajuk “Bintang Malam” pada tahun 1965.
ANTARA LP…Zaharah Agus.
Selain itu, lagu “Mat Lodeh” nyanyian asal Zaharah Agus telah dipopularkan semula oleh Anita Sarawak dengan tajuk “Lodeh Mak Lodeh” dengan lirik yang baharu.
Beliau juga dikatakan penyanyi nasyid wanita pertama dengan merakamkan lagu “Rukun Islam.” Lirik lagu nasyid tersebut antaranya mengingatkan tentang solat.
Walaupun Zaharah Agus hanya berlakon empat filem, namun bakat seninya diwarisi anak beliau, Noraini Muti, cucunya, Nanu Baharuddin dan cicitnya, Haneesya Hanee.
NANU Baharuddin…cucu Zaharah Agus, menyerlah sebagai pelakon.
Nanu Baharuddin yang telah berlakon 12 filem sejak tahun 1992 telah menerima Anugerah Pelakon Wanita Harapan melalui filem “Rimba Malam” pada Festival Malaysia ke-10 pada tahun 1992.
Sementara cicit Zaharah Agus, Haneesya Hanee yang pernah merangkul gelaran Juara Dewi Remaja pada tahun 2018/2019 (gelaran itu ditarik balik kerana kejadian kontroversi) telah berlakon banyak drama antaranya “Cinta Roller Coaster, Cik Reen & Encik Ngok Ngek, Tirai Keinsafan dan Roti Cicah Susu.”
Oleh: Syed Yusof Wafa/Faizah Yasmin Tan Sri Mustapa
KUALA LUMPUR: Warisan budaya Malaysia tidak seharusnya hanya muncul ketika musim perayaan, festival atau sambutan tertentu, sebaliknya perlu dihidupkan dalam kehidupan seharian supaya terus dekat dengan masyarakat dan kekal relevan kepada generasi masa kini.
Berpegang kepada aspirasi itu, FM Group yang diasaskan pereka fesyen Farel Mikhail bersama Pengerusi Program, Jonathan Kok, meneruskan penganjuran Precious of Malaysia Citraloka 2026, yang menyasarkan sehingga 500,000 pengunjung sepanjang enam hari penganjurannya.
Acara berkenaan bakal berlangsung dari 11 hingga 16 September 2026 di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur, dengan menghimpunkan pelbagai elemen termasuk fesyen, seni, muzik, tarian, warisan, pendidikan, kreativiti dan keusahawanan dalam satu ekosistem budaya yang lebih terbuka serta interaktif.
Penganjuran tahun ini juga dilihat sebagai usaha memperkenalkan warisan Malaysia dalam bentuk yang lebih segar tanpa mengorbankan identiti dan nilai tradisinya.
Budaya perlu dekat dengan masyarakat
Farel berkata, sasaran 500,000 pengunjung bukan sekadar angka, sebaliknya mencerminkan cita-cita pihak penganjur untuk membawa kekayaan budaya Malaysia kepada khalayak yang lebih luas.
“Kami mahu Precious of Malaysia menjadi acara yang benar-benar dekat dengan masyarakat. Kami tidak mahu budaya hanya dilihat ketika sambutan tertentu, sebaliknya orang ramai perlu datang, belajar, mengambil bahagian dan merasai sendiri kepelbagaian budaya Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Pelancaran Precious of Malaysia Citraloka 2026 di Royal Chulan Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Menurut Farel, pendekatan memperkenalkan warisan juga perlu bergerak seiring perubahan zaman, terutama dalam usaha menarik minat generasi muda yang semakin dekat dengan dunia digital dan kandungan visual.
“Warisan tidak perlu diubah identitinya untuk menjadi trendy. Cara kita mempersembahkannya yang perlu berubah,” katanya.
Atas sebab itu, Precious of Malaysia menggunakan pelbagai pendekatan termasuk fesyen, media sosial, pertandingan, catwalk, muzik, bengkel pendidikan dan kolaborasi bersama pemain industri serta institusi pendidikan.
Pendekatan berkenaan bukan sahaja memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat budaya dari sudut tradisi, malah membolehkan mereka mengalami sendiri proses di sebalik penghasilan sesuatu karya budaya.
Enam hari sarat aktiviti budaya
Sepanjang enam hari penganjuran, pengunjung bakal disajikan dengan pelbagai program yang merangkumi aspek fesyen, seni persembahan, makanan, kraf dan warisan.
Antara pengisian utama ialah International Cultural Fashion Week, Gema Tari Etnik Malaysia, Si Cilik Busana Kreasi Tradisi, Lenggok Si Bulus, selain aktiviti masakan dan bakeri, persembahan muzik dan tarian serta seni tradisional Telepuk.
Program yang dirangka itu turut memberi ruang kepada golongan kanak-kanak dan generasi muda untuk mengenali budaya melalui pengalaman yang lebih santai, kreatif dan menyeronokkan.
Menurut Farel, pengunjung bukan sekadar hadir sebagai penonton kerana pelbagai aktiviti dirancang supaya mereka boleh belajar, mencuba, menyertai pertandingan, berinteraksi dengan artisan dan memahami proses penghasilan seni tradisional.
Pendekatan sebegini penting kerana pengalaman secara langsung mampu menjadikan warisan lebih mudah difahami dan diingati, terutama dalam kalangan generasi muda.
Precious Cultural Walk sempena Hari Malaysia
Kemuncak penganjuran dijadualkan berlangsung pada 16 September, bersempena sambutan Hari Malaysia, menerusi Precious Cultural Walk.
Program berkenaan bakal menghimpunkan peserta dalam pelbagai busana tradisi dan elemen budaya untuk berjalan mengelilingi kawasan tasik, sekali gus membawa mesej perpaduan dan kepelbagaian masyarakat Malaysia.
Menurut Farel, pemilihan Hari Malaysia sebagai kemuncak acara mempunyai makna tersendiri kerana ia memberi peluang kepada masyarakat untuk meraikan kepelbagaian identiti budaya dalam suasana yang lebih terbuka.
Ia juga diharap menjadi gambaran bahawa perbezaan budaya bukan penghalang, sebaliknya kekuatan yang membentuk identiti Malaysia.
Sekitar sidang media yang penuh gilang gemilang baru-baru ini.
Telepuk sebagai jambatan kepada generasi muda
Antara elemen yang diberi penekanan dalam penganjuran kali ini ialah seni Telepuk, yang diperkenalkan melalui bengkel dan pengalaman secara langsung.
Farel berkata, pihaknya telah memulakan bengkel bersama pelajar bagi memberi pendedahan kepada mereka mengenai proses menghasilkan Telepuk sebelum karya berkenaan dibawa ke pertandingan dan pentas fesyen.
Usaha itu bukan sekadar bertujuan memperkenalkan teknik seni tradisional, malah memberi peluang kepada generasi muda memahami nilai kreativiti, ketelitian dan kemahiran yang terkandung dalam warisan tersebut.
“Kita mahu anak muda rasa bahawa memakai batik, kebaya, songket atau mengangkat seni tradisi bukan sesuatu yang ‘old-fashioned’,” katanya.
Sehubungan itu, Precious of Malaysia Citraloka 2026 membuka ruang penyertaan kepada pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelajar, pereka muda, artisan, usahawan kreatif, model, penggiat seni, sekolah, kolej vokasional, universiti dan orang awam.
Peluang penyertaan itu secara tidak langsung mewujudkan ruang untuk bakat baharu diketengahkan, selain mempertemukan generasi lama yang memiliki kemahiran tradisi dengan generasi baharu yang membawa pendekatan lebih moden.
Warisan perlu mempunyai nilai ekonomi
Sementara itu, Jonathan Kok berkata, usaha memperkasakan budaya perlu bergerak seiring dengan pembangunan industri kreatif supaya warisan bukan sekadar dipelihara, tetapi turut mampu memberikan nilai ekonomi kepada penggiatnya.
“Kita mahu melihat fesyen, muzik, seni dan budaya tempatan bergerak dalam satu ekosistem yang sama,” katanya.
Menurut beliau, selepas lima tahun membina platform berkenaan, FM Group mahu Precious of Malaysia berkembang daripada sekadar acara tahunan kepada sebuah platform yang mampu menghubungkan warisan, masyarakat dan industri kreatif secara lebih berterusan.
Katanya, sasaran besar tahun ini juga diharap membuka lebih banyak peluang kepada pereka fesyen, artisan, usahawan, penggiat seni dan komuniti tempatan untuk memperkenalkan produk serta karya mereka kepada khalayak yang lebih luas.
“Kita mahu budaya bukan sekadar dikenang, tetapi mempunyai nilai dan masa depan,” katanya.
Pendekatan itu selari dengan perkembangan industri kreatif yang semakin melihat warisan sebagai sumber inspirasi untuk menghasilkan produk baharu dalam bidang fesyen, reka bentuk, seni persembahan, makanan, kraftangan dan kandungan kreatif.
Inilah dua insan yang menjayakan event yang penuh berprestij ini iaitu Pereka fesyen dan penganjur dari FM Group, Farel Mikhail (kanan) dan Jonathan Kok.
Sebahagian daripada Festival Budaya Malaysia 2026
Precious of Malaysia Citraloka 2026 turut dilaksanakan dalam ekosistem Festival Budaya Malaysia (FBM) 2026 dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).
Penganjuran itu turut membabitkan institusi pendidikan, pereka fesyen, artisan, penggiat seni dan rakan industri, sekali gus memperluaskan jaringan kerjasama antara sektor budaya, pendidikan dan industri kreatif.
Dengan sasaran sehingga 500,000 pengunjung, penganjuran tahun ini diharap dapat mengangkat Precious of Malaysia sebagai platform budaya berskala besar yang lebih moden, inklusif dan dekat dengan generasi baharu.
Farel berkata, matlamat akhirnya adalah memastikan budaya Malaysia bukan sekadar dipertontonkan, tetapi terus diamalkan, digunakan dan dibanggakan oleh masyarakat.
“Warisan tidak perlu diubah identitinya untuk menjadi trendy. Cara kita mempersembahkannya yang perlu berubah.
“Kita tidak mahu budaya hanya dikenang – kita mahu budaya dipakai, digunakan, dikongsi dan dibanggakan,” katanya.
YAIKK dan FM Group jalin kerjasama strategik
Dalam perkembangan berkaitan, Yayasan Amanah Industri Kreatif Kebangsaan (YAIKK) dan FM Group turut mengumumkan kerjasama strategik bagi memperkasakan seni, muzik dan warisan budaya Malaysia.
Menerusi kerjasama itu, Precious of Malaysia – Citraloka 2026 dan Festival Pancaragam Malaysia 2026 menjadi antara pengisian utama Festival Budaya Malaysia 2026.
Festival berkenaan dianjurkan oleh MOTAC dan dijadual berlangsung dari 11 hingga 16 September 2026 di Taman Tasik Titiwangsa, bersempena sambutan Hari Malaysia pada 16 September.
Pelancaran Precious of Malaysia Citraloka 2026 baru-baru ini turut menyaksikan pelancaran rasmi Festival Pancaragam Malaysia 2026, yang dijadual berlangsung dari 14 hingga 16 September 2026.
Gabungan program berkenaan dijangka menjadikan Taman Tasik Titiwangsa sebagai antara lokasi tumpuan utama sambutan budaya dan kreativiti Malaysia sepanjang tempoh penganjuran.
Lebih penting, usaha tersebut memperlihatkan bagaimana acara budaya boleh berkembang menjadi platform yang menghubungkan masyarakat dengan seni, pendidikan, pelancongan dan industri kreatif.
Dengan pelbagai program yang merangkumi tradisi dan pendekatan moden, Precious of Malaysia Citraloka 2026 bukan sahaja membawa mesej untuk mengenali warisan, malah mengajak masyarakat mengalami, menyertai dan menghidupkan budaya Malaysia dalam bentuk yang lebih dekat dengan kehidupan mereka.
SELANGOR, 24 Ogos 2026 — “Kita nak cari bakat yang selama ini hanya bernyanyi di rumah.”
Itu misi yang dibawa usahawan, penyanyi dan penggiat seni tempatan, Illa Sabry, menerusi Pertandingan Karaoke Suara Merdeka Laman Kencana 2026, yang bakal berlangsung pada 30 Ogos 2026 di Bazaria Laman Kencana, Dataran Selayang Mutiara.
Berlangsung sempena sambutan Bulan Kemerdekaan, program ini bukan sekadar pertandingan nyanyian untuk merebut hadiah, sebaliknya menjadi platform untuk mencungkil bakat-bakat baharu dan memberi peluang kepada mereka yang selama ini hanya menyanyi sebagai hobi untuk berani tampil di pentas sebenar.
Menurut Illa Sabry, masih ramai individu berbakat yang mempunyai suara menarik tetapi belum pernah mendapat peluang untuk mengetengahkan kebolehan mereka.
«“Saya percaya ramai sebenarnya mempunyai suara yang sedap dan bakat yang luar biasa, cuma mereka belum mendapat peluang. Jadi melalui Suara Merdeka Kencana ini, saya mahu cari bakat-bakat baharu dan beri mereka ruang untuk berani tampil ke hadapan.”»
Tambahnya, peserta tidak perlu mempunyai pengalaman sebagai penyanyi profesional untuk menyertai pertandingan tersebut.
«“Tak semestinya kena penyanyi profesional. Kalau selama ini hanya menyanyi di rumah, karaoke dengan kawan-kawan atau di media sosial, inilah masanya untuk cuba nasib dan tunjukkan bakat.”»
SATU PENTAS UNTUK BAKAT YANG BELUM DITEMUI
Illa Sabry berharap pertandingan ini dapat menjadi titik permulaan kepada peserta untuk melangkah lebih jauh dalam bidang seni dan muzik.
Baginya, peluang untuk berada di atas pentas walaupun bermula daripada sebuah pertandingan kecil mampu membuka pintu kepada peluang yang lebih besar pada masa akan datang.
«“Jangan tunggu sampai rasa diri kita cukup hebat baru nak mencuba. Kadang-kadang satu pentas kecil boleh menjadi permulaan kepada sesuatu yang besar. Saya nak dengar suara baharu Malaysia.”»
Justeru, Suara Merdeka Kencana 2026 dibuka kepada mereka yang mahu mencuba sesuatu yang berbeza sempena sambutan kemerdekaan, khususnya golongan muda dan individu yang mempunyai minat serta bakat dalam bidang nyanyian.
12 LAGU PILIHAN BERTEMAKAN MALAYSIA
Menariknya, peserta akan membawakan lagu-lagu pilihan yang mempunyai elemen patriotik, nostalgia serta karya popular tanah air.
Antara lagu yang disenaraikan ialah:
1. Warisan – Sudirman
2. Standing in the Eyes of the World – Ella
3. Bahtera Merdeka – Aishah
4. Saya Anak Malaysia – Dr Sam
5. Sejati – Wings
6. Madah Berhelah – Ziana Zain
7. Nirmala – Siti Nurhaliza
8. Najiiyat Tampi – Noraniza Idris
9. Gemuruh – Faizal Tahir
10. Seri Dewi Malam – Sharifah Aini
11. Mentea Semerah Padi – M. Nasir
12. Keranamu Kekasih – Illa Sabry
Pemilihan lagu-lagu tersebut dijangka memberikan warna tersendiri kepada pertandingan, dengan gabungan karya patriotik, lagu nostalgia dan lagu popular yang dekat dengan jiwa masyarakat Malaysia.
HADIAH WANG TUNAI MENANTI PEMENANG
Selain peluang untuk menunjukkan bakat di pentas terbuka, peserta turut berpeluang membawa pulang hadiah wang tunai.
🥇 Johan — RM500
🥈 Naib Johan — RM200
🥉 Tempat Ketiga — RM100
Pendaftaran dan sesi saringan peserta akan bermula pada jam 9.00 pagi, manakala pertandingan akhir dijadualkan berlangsung pada jam 8.00 malam.
BUKAN SEKADAR PERTANDINGAN NYANYIAN
Suasana di Bazaria Laman Kencana dijangka lebih meriah apabila program ini turut menampilkan pelbagai aktiviti untuk pengunjung.
Lebih 35 gerai jualan akan mengambil bahagian, selain jualan makanan dan minuman, carboot sale, preloved & thrift, cabutan bertuah serta demonstrasi masakan tradisi.
Penganjuran program ini secara tidak langsung turut memberi ruang kepada usahawan kecil dan peniaga tempatan untuk memperkenalkan produk serta perniagaan mereka kepada komuniti setempat.
Dalam masa sama, ia menjadi wadah untuk menyemarakkan semangat kemerdekaan melalui gabungan seni, hiburan, keusahawanan dan komuniti.
“SUARA KITA, SEMANGAT MERDEKA — KENCANA BERSATU!”
Bagi mereka yang selama ini hanya menyanyi di rumah, bersama rakan-rakan ketika karaoke atau berkongsi nyanyian di media sosial, Suara Merdeka Kencana 2026 mungkin menjadi peluang untuk mengambil langkah pertama.
Pendaftaran kini dibuka dan peserta boleh mendaftar menerusi:
🌐 suaramerdekakencana.cikgebu.my
Orang ramai juga dijemput hadir beramai-ramai ke Bazaria Laman Kencana, Dataran Selayang Mutiara pada 30 Ogos 2026 untuk menyaksikan pertandingan, memberikan sokongan kepada para peserta serta menikmati pelbagai aktiviti yang disediakan.
MAKLUMAT PROGRAM
PERTANDINGAN KARAOKE SUARA MERDEKA LAMAN KENCANA 2026
📅 30 Ogos 2026
📍 Bazaria Laman Kencana, Dataran Selayang Mutiara
🕘 Pendaftaran & Saringan: 9.00 pagi
🎤 Pertandingan Akhir: 8.00 malam
🇲🇾 Countdown Merdeka: 11.55 malam
Untuk pertanyaan:
Mike: 016-220 5262
Aki: 011-2111 5116
JIKA anda ada impian nak menjadi penyanyi, jangan lepaskan peluang untuk hadir ke acara Community Members – Pahang Auto Show 2K26, pada 29 Ogos hingga 31 Ogos 2026, di Perkarangan Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang, bermula jam 10 pagi hingga 12 tengah malam.
Pelbagai acara menarik disediakan oleh penganjur Riuh Entertainment & Trading, termasuklah pertandingan karaoke yang bermula pada 29 Ogos dan kemuncaknya pada keesokan hari.
Peserta yang ingin sertai pertandingan tersebut mesti berumur 17 tahun hingga 30 tahun sahaja kerana para finalis akan dipilih untuk menjadi penyanyi rakaman di bawah label Nova Music dan Kijang Music.
Ady Hafize menerangkan jadual aktiviti acara Community Members kepada pengguna Harley Davidson dalam satu perjumpaan, baru-baru ini.
Pertandingan yang mewajibkan peserta menyanyi lagu-lagu era 80-an dan 90-an berdasarkan minus one yang dibawa sendiri akan dijuri oleh komposer tersohor Eddie Hamid yang juga dilantik sebagai Ikon Community Members untuk acara Community Members – Pahang Auto Show 2K26.
“Kita tak kata juara akan dipilih untuk menjadi artis rakaman kerana peluang tersebut dibuka kepada finalis. Mungkin pada malam itu, peserta tersebut tidak muncul sebagai juara tapi kalau dia mempunyai ciri-ciri yang kami cari, insya-Allah mungkin dia yang kami ambil.
“Untuk menjadi artis rakaman, perlu ada bakat, gaya tersendiri dan yang penting disiplin. Saya harap orang ramai tak melepaskan peluang yang sudah ada di depan mata,” kata Eddie yang mencipta lagu popular dendangan Eda Ezrin dan Den Manjo iaitu “Adek Saye Abe Sore” dan “Cinta Setandan Pisang”.
Finalis pertandingan karaoke juga berpeluang untuk berduet dengan salah seorang daripada penyanyi iaitu Blank Gamma, Shafie Rio, Isa Gravity dan Tuah Azmi yang akan menjayakan Malam Ambang Merdeka.
Ada persembahan nyanyian dan pertunjukan bunga api sempena sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-69 tahun.
Selain pertandingan karaoke, acara yang berlangsung selama tiga hari itu juga memberi peluang kepada orang ramai untuk test ride motor Harley Davidson.
Pasti ramai yang teruja untuk test ride motosikal berkuasa tinggi itu, maklumlah kalau nak miliki tak kemampuan. Biasanya orang yang memiliki motor Harley Davidson ini individu dewasa yang bekerjaya stabil serta ahli kelab konvoi tempatan.
Ini kerana harga motosikal reka bentuk cruiser tradisional Amerika dan bunyi enjin V-Twin yang unik itu lebih mahal berbanding jenama lain. Jadi inilah masanya untuk peminat-
peminat motor berkuasa tinggi mencuba.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Entertainment & Trading, Ady Hafize, yang mendapat kerjasama Harley Davidson, Petaling Jaya serta Harley Davidson Malaysia itu, acara tersebut bertujuan menghimpun komuniti Harley Davidson dan secara tak langsung membuka ruang kepada orang ramai untuk mengetahui lebih lanjut tentang jenama tersebut.
Tiada bayaran dikenakan untuk pertandingan mewarna bagi kanak-kanak.
Acara tersebut turut mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan dan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK).
Menurut Ady Hafize, sesiapa saja pemilik Harley Davidson yang nak sertai acara konvoi “Sunset Ride Merdeka” dialu-alukan, terbuka kepada penunggang Harley Davidson. Kalau yang berminat nak sertai bolehlah rujuk pada ketua kelab masing-masing.
“Setakat ini yang sudah setuju untuk turut sertai konvoi ke Kuantan adalah ahli HOG PJ, ahli HOG JB, HOG Kuantan, Pahang, Seven MC dan Bikers Chef Malaysia.
“Acara yang akan berlangsung selama tiga hari itu akan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik yang jarang diadakan, seperti test ride motor Harley Davidson.
Tidak dikenakan bayaran untuk masuk tapi berpeluang menikmati pelbagai aktiviti sepanjang acara berlangsung.
“Kita tak nak rakyat pandang kalau Harley saja, ekzos bising. Sebab sistem enjinnya memang macam tu dan bukan diubah suai. Kita nak bagi pendedahan kepada orang ramai.
“Bila kita buat perhimpunan dan pameran macam ni serta test ride, jadi orang ramai boleh tahu pasal motor Harley. Pada mereka yang berminat pasal Harley tapi tak mampu miliki boleh test ride. Harap rebutlah peluang ini di event itu nanti,” katanya yang banyak menganjur acara-acara besar sebelum ini.
Tambahnya, seperti motosikal lain, Harley Davidson pun mampu dimiliki oleh sesiapa saja. Justeru itu, beliau harap peminat-peminat motor hadir untuk mengetahui lebih lanjut tentang Harley Davidson yang sering dianggap harga ‘kayangan’ itu.
Paling menarik kata Ady Hafize, pengunjung yang hadir ke acara tersebut dan membeli barangan (merchandise) yang dijual di booth jualan baju Community Members siri Merdeka berpeluang untuk menyertai cabutan bertuah yang akan dibuat pada pukul 2 petang, 31 Ogos nanti.
Antara pemilik motosikal Harley Davidson yang akan sertai Community Members – Pahang Auto Show 2K26.
“Bagi yang gemar kumpul merchandise Harley Davidson, jangan lepaskan peluang ini. Kalau anda beli waktu acara berlangsung, anda layak untuk sertai cabutan bertuah.
“Hadiah utama untuk pemenang cabutan bertuah adalah sebuah motosikal. Manakala lain-lain hadiah adalah barangan keluaran Harley Davidson,” katanya.
Aktiviti yang diadakan tidak hanya tertumpu kepada penggemar-penggemar motosikal berkuasa tinggi saja tapi ia juga terbuka kepada orang ramai tanpa mengira usia.
Perhimpunan Community Members – Pahang Auto Show 2K26 juga tidak lupa untuk menghiburkan kanak-kanak. Pada hari pertama acara bermula, akan berlangsungnya pertandingan mewarna bagi kanak-kanak untuk usia 5 – 7 tahun dan 8 – 10 tahun. Tiada bayaran dikenakan untuk menyertai pertandingan mewarna ini.
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang aktiviti yang bakal diadakan sepanjang tempoh Community Members – Pahang Auto Show 2K26, sila rujuk di TikTok: Community members