Home Blog Page 13

Altimet “Pegang Tangan” bersama Adam Nuqris

Oleh: Khadijah Ibrahim

KITA hanya merancang, Allah yang menentukan kerana Allah adalah sebaik-baik Perancang. Pada November 2018, penyanyi rap Altimet mengumumkan persaraannya dari dunia seni suara.

Keputusan tersebut dibuat ketika usianya mencecah 40 tahun selepas berkhidmat selama sedekad dalam bidang muzik.

Kini selepas lapan tahun tidak merakam suara, Altimet, 48, kembali merakam lagu bersama penyanyi baharu Adam Nuqris menerusi single berjudul “Pegang Tangan”. Kali terakhir beliau tampil dengan album berjudul “O”.

Altimet atau Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadah, 48, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor bagi kawasan Lembah Jaya, membuat kemunculan yang tidak dijangka.

Gandingan dua generasi yang berbeza mencerminkan keserasian kreatif antara mereka.

“Pegang Tangan”, adalah sebuah karya daripada arkib penulisan muzik peribadinya yang kini diberi nafas baharu melalui perspektif vokal dan interpretasi Adam Nuqris.

Diterbitkan di bawah Altimet Holdings Sdn. Bhd. dan diuruskan oleh SVLTAN Management, “Pegang Tangan” hadir sebagai sebuah karya yang lahir secara organik, bukan dirancang sebagai sebuah kempen besar, tetapi terbentuk daripada momen sebenar dan konteks kehidupan semasa kedua-dua artis.

Kolaborasi antara Altimet dengan Adam Nuqris tidak bermula dengan perancangan industri atau strategi pemasaran, sebaliknya terbentuk secara semula jadi.

Altimet menjelaskan bahawa karya ini hadir pada waktu yang sangat peribadi dan bermakna dalam hidupnya.

“Lagu ini datang dalam keadaan yang sangat organik. Ia bukan tentang kembali semula secara besar-besaran, tetapi lebih kepada satu karya yang jujur, lahir daripada momen dan perasaan sebenar. Kadang-kadang lagu yang paling ringkas itulah yang paling dekat di hati,” katanya.

Jelasnya, lagu tersebut diinspirasikan daripada hubungan antara ibu dan anak. “Pegang Tangan” membawa naratif emosi yang berkembang melalui beberapa fasa kehidupan.

Bermula daripada zaman kanak-kanak, saat bergantung kepada bimbingan, kepada fasa dewasa yang lebih berdikari, sehinggalah detik apabila peranan itu bertukar ketika berdepan dengan cabaran kehidupan dan kesihatan.

Lagu tersebut disampaikan dengan pendekatan yang sederhana, tanpa elemen dramatik berlebihan, sebaliknya menekankan kejujuran emosi dan pengalaman yang dekat dengan realiti kehidupan manusia.

Gandingan ini mencerminkan keserasian kreatif antara dua generasi, seorang figura berpengaruh dalam hip hop tempatan, dan seorang pendatang baharu yang sedang membina identiti melalui pendekatan penceritaan yang lebih peribadi.

Adam Nuqris, yang baru sahaja diperkenalkan menerusi single solo “Alasan”, meneruskan fokusnya terhadap karya berteraskan emosi, kejujuran dan pengalaman hidup, menjadikan “Pegang Tangan” sebagai kesinambungan kepada perjalanan artistiknya.

Lagu “Pegang Tangan” dekat dengan hati pendengar kerana ia berkisar realiti kehidupan.

Dari sudut kreatif, “Pegang Tangan” merupakan sebuah karya hip-hop mellow yang ditulis oleh Altimet dan digubah oleh Mas Dewangga, dengan susunan muzik yang minimalis namun hangat serta reflektif.

Pendekatan produksi yang sederhana ini memberi ruang kepada lirik dan penyampaian vokal untuk menjadi teras utama lagu.

Adam Nuqris pula menyifatkan peluang bekerjasama dengan Altimet sebagai satu penghormatan besar dalam perjalanan awal kerjayanya.

“Bagi saya, ini bukan sekadar kolaborasi. Ia adalah ruang untuk belajar dan memahami bagaimana sebuah lagu boleh membawa makna yang sangat dalam walaupun disampaikan secara sederhana.

“Saya bersyukur diberi kepercayaan untuk menjadi sebahagian daripada karya istmewa ini,” kata Adam Nuqris.

Menurut kedua-dua artis, “Pegang Tangan” tidak pernah dirancang sebagai sebuah projek besar. Ia hadir secara organik hasil daripada situasi semasa, menjadikan rakaman ini lebih bersifat peribadi dan dekat dengan pengalaman sebenar.

Ketiadaan tekanan komersial dalam proses penghasilannya membolehkan lagu ini berkembang secara lebih telus dan jujur, tanpa terikat kepada tuntutan pasaran atau formula muzik semasa.

Walaupun sebelum ini Altimet mengumumkan pengundurannya daripada dunia rap, “Pegang Tangan” menjadi bukti bahawa muzik masih mempunyai ruang dalam kehidupannya, walaupun dalam bentuk yang berbeza.

Kemunculan ini tidak dilihat sebagai “comeback”, sebaliknya sebagai satu karya yang hadir pada masa yang tepat, dengan mesej yang dekat dengan hatinya. Sebagai pelengkap kepada perjalanan lagu ini, sebuah visualiser rasmi dilancarkan.

Pelancaran visualiser tersebut dijangka memperkukuhkan lagi naratif dan emosi yang dibawa menerusi “Pegang Tangan”, sekali gus memberikan dimensi visual kepada karya yang telah menyentuh hati ramai pendengar sejak dilancarkan.

“Pegang Tangan” oleh Altimet feat. Adam Nuqris yang dilancarkan pada 8 Mei lalu, kini boleh distrim di semua platform digital utama serta YouTube.

TPM dekati golongan gen-Z tonton Piala Dunia 2026

Oleh: Nafsiah Jani

Sempena pertandingan akhir Piala Dunia 2026 antara Sepanyol menentang Argentina, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turun padang mendekati golongan Gen-Z dengan menganjurkan program Final World Cup & Semarak Subuh di Bangi Square 2 pada 19 Julai lalu.

Lebih 6,000 peminat bola sepak membanjiri medan selera itu bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala Dunia 2026 menerusi tayangan skrin gergasi, sekali gus mewujudkan suasana penuh meriah apabila penyokong kedua-dua pasukan berkumpul menyaksikan kemuncak perlawanan antara Argentina dan Sepanyol.

Timbalan Perdana Menteri (berjaket biru) Zahid Hamidi disambut meriah ketika hadir menyaksikan perlawanan Piala Dunia 2026 antara Sepanyol dan Argentina.

Sementara itu, Ahmad Zahid Hamidi juga menyatakan hasratnya ingin melihat Malaysia menjadi tuan rumah kejohanan bola sepak paling berprestij di pentas antarabangsa, Piala Dunia, selain menyasarkan skuad Harimau Malaya layak beraksi sebagai wakil Asia Tenggara pada kejohanan itu.

“Hasrat tersebut mencerminkan cita-cita besar negara dalam memartabatkan sukan bola sepak di peringkat antarabangsa seiring usaha memperkukuh pembangunan sukan berkenaan.

“Insya-Allah, satu hari nanti kita bercita-cita untuk menjadikan Malaysia tuan rumah Piala Dunia. Mudah-mudahan ketika itu pasukan Malaysia akan menjadi satu daripada pasukan untuk mewakili Asia Tenggara,” katanya.

Wajah-wajah ceria penonton yang menyertai program
Semarak Subuh setelah berakhirnya perlawanan bolasepak Argentina menentang Sepanyol.

Suasana sentiasa penuh dengan laungan setiap pengunjung yang berteriak menyokong pasukan pilihan mereka. Suasana cukup mendebarkan sepanjang perlawanan dimana akhirnya pasukan Sepanyol berjaya menjaringkan satu gol hingga layak bergelar juara Piala Dunia 2026. Sorakan kegembiraan turut terpancar di wajah TPM apabila pasukan bola pilihannya, Sepanyol berjaya mengalahkan pasukkan Argentina yang sebelum itu disebut-sebut bakal bergelar juara.

Program yang bermula seawal jam 9 malam Ahad itu turut menampilkan pelbagai pengisian menarik termasuk persembahan buskers dan artis jemputan, sesi trivia bola sepak serta program Borak Bola yang dikendalikan pengacara Hafizal Hamad.

Sesi tersebut dimeriahkan dengan kehadiran legenda bola sepak negara Datuk Zainal Abidin Hassan serta bekas pemain kebangsaan Mohd Farizal Marlias dan Mohamad Zaquan Adha Abdul Radzak yang berkongsi pengalaman serta pandangan mengenai perkembangan bola sepak tanah air.

TPM ( lima dari kanan);bergambar kenangan bersama bekas-bekas pemain bola sepak negara.

Turut memeriahkan program ialah beberapa personaliti dan pempengaruh terkenal termasuk penyanyi Marsha, Babah Naden, Ayam Kahau dan Angah Raja Lawak, selain pelbagai hadiah cabutan bertuah disediakan kepada pengunjung dengan hadiah utama berupa sebuah motosikal.

Sementara menantikan perlawanan, pengunjung juga berpeluang menikmati minuman percuma yang disediakan oleh syarikat kopi tempatan, Richiamo Coffee, sepanjang program berlangsung.

Dalam perkembangan berkaitan, ranking skuad Harimau Malaya turut menunjukkan peningkatan apabila naik dua anak tangga ke kedudukan ke-136 dunia berbanding tangga ke-138 sebelum ini berdasarkan kemas kini terbaharu Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi bersama lagenda bolasepak, Datuk Zainal Abidin Hassan.

Peningkatan ranking itu dilihat sebagai petanda positif terhadap perkembangan prestasi skuad kebangsaan, sekali gus menyuntik keyakinan bahawa impian untuk melihat Malaysia bersaing di pentas Piala Dunia mampu direalisasikan pada masa hadapan.

Program berkenaan diakhiri dengan Semarak Subuh apabila Ahmad Zahid bersama orang ramai menunaikan solat Subuh berjemaah di Surau Al-Hamidiah, Kajang sebagai penutup acara yang menghimpunkan ribuan peminat bola sepak dari pelbagai lapisan masyarakat.

Inovasi anti-penuaan : Awet muda dengan teknologi sel stem tumbuhan Switzerland

Oleh : Nafsiah Jani

PUTRAJAYA – Selain wanita, kaum lelaki juga begitu mementingkan penjagaan kesihatan luaran dan dalaman agar awet muda, kekal sihat dan cergas seperti orang muda.

Menyedari keperluan masyarakat yang ingin sentiasa awet muda membuatkan syarikat NovaBio CellTech Sdn. Bhd. melakukan kerjasama strategik bersama syarikat bioteknologi dari Switzerland, Mibelle Biochemistry mencipta produk berasaskan teknologi sel stem cell bagi memperluas manfaatnya menerusi rangkaian produk di bawah jenama GenElla dan NuElla.

Pengasas Mibelle Biochemistry, Dr. Fred Zulli berkata, syarikat itu merupakan perintis teknologi sel stem tumbuhan apabila berjaya membangunkan bahan aktif berasaskan sel stem epal pada 2008 selepas menjalankan penyelidikan selama empat hingga lima tahun.

Pengasas NovaBio CellTech, Puan Sri Ella Tan ( kanan) menyampaikan cenderamata kepada Dr. Fred Zulli.

“Syarikat kami merupakan syarikat pertama di dunia yang melancarkan teknologi sel stem tumbuhan. Kini teknologi tersebut telah digunakan secara meluas dalam industri kosmetik dan nutraseutikal. Sel stem epal kami dihasilkan daripada baka epal lama di Switzerland dan hanya sebiji epal diperlukan untuk menghasilkan biojisim yang boleh digunakan selama bertahun-tahun,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran rangkaian produk GenEla dan NuEla.

Turut hadir Pengasas NovaBio Celltech, Puan Sri Ella Tan, Ketua Penyelidik dari Universiti Malaya (UM), Dr. Gokula Mohan dan pelakon yang juga duta produk, Azar Azmi.

Menurut Fred Zulli, penghasilan bahan aktif tersebut dilakukan secara mampan menggunakan teknologi bioreaktor sebelum diekstrak untuk dijadikan ramuan dalam produk kesihatan dan kosmetik.

Dr. Fred Zulli ketika memperkenalkan produk berasaskan teknologi Stem Cell epal yang ditemuinya.

“Kajian saintifik mendapati nutrien daripada sel stem tumbuhan dapat membantu merangsang aktiviti sel stem manusia, menjadikannya lebih aktif serta melindunginya apabila fungsi sel semakin merosot akibat proses penuaan.

“Produk ini bukan ubat atau terapi suntikan, sebaliknya suplemen makanan dan produk kosmetik yang digunakan secara oral atau sapuan, sekali gus sesuai untuk kegunaan harian,” katanya.

Mengulas mengenai kerjasama tersebut, Dr. Fred Zülli berkata, NovaBio CellTech Sdn. Bhd. telah lama menggunakan bahan aktif premium keluaran Mibelle Biochemistry dalam pembangunan formulasi produknya.

Azar Azmi bersama dua rakan kongsinya (dari kiri), Kam dan Zelmey.

“Kami membekalkan bahan mentah berkualiti tinggi, manakala NovaBio CellTech membangunkan produk akhir. Ia merupakan kolaborasi saintifik antara Switzerland dan Malaysia yang telah berlangsung selama beberapa tahun,” katanya sambil menambah teknologi berasaskan tumbuhan itu juga telah diperakui halal selepas melalui penilaian menyeluruh.

Sementara itu, Dr. Mohan berkata, pelancaran produk di bawah jenama GenEla dan NuEla mencerminkan perubahan pendekatan kepada penjagaan kesihatan secara pencegahan bagi menyokong kesejahteraan jangka panjang.

“Zaman sudah berubah, kini pesakit tidak lagi mengambil ubat apabila sakit, sebaliknya memberi perhatian kepada penjagaan kesihatan sebelum berlakunya penyakit. Inilah konsep `regenerative longevity’ yang semakin berkembang di Eropah, Jepun dan Korea,” katanya.

Menurut beliau, semua formulasi produk dibangunkan menggunakan bahan aktif premium dari Switzerland yang disokong penyelidikan saintifik dan ujian klinikal.

“Keberkesanan sesuatu formulasi bukan sahaja bergantung kepada pemilihan bahan aktif, malah turut dipengaruhi penggunaan dos yang menepati bukti klinikal.

“Kami bekerjasama rapat dengan Dr. Fred Zülli bagi memastikan setiap bahan digunakan pada dos yang menepati standard kajian klinikal. Dos berkesan sebanyak dua miligram, itulah dos yang kami gunakan… tak boleh lebih dan tak boleh kurang dosnya.”

Tambah Dr. Mohan lagi, NovaBio turut mengambil pendekatan berbeza apabila memasarkan produknya menerusi klinik pengamal perubatan, klinik estetik dan klinik perubatan bagi memastikan pengguna memperoleh nasihat profesional sebelum menggunakan produk.

Antara klinik-klinik dan pusat farmasi yang bersetuju berkerjasama dalam mempromosikan dan dan menjual produk NuEla dan GenEla.

“Kami mahu doktor menjadi barisan hadapan untuk memberi penerangan kepada pengguna dan mengelakkan dakwaan berlebihan yang sering dikaitkan dengan produk suplemen.”

“Produk berkenaan bukan bertujuan sekadar membantu pengguna kelihatan awet muda, sebaliknya menyokong kesihatan sel, metabolisme dan kecergasan tubuh secara menyeluruh melalui pemakanan sel yang lebih baik.

“Keremajaan bermula dari dalam badan. Apabila sel menjadi lebih sihat dan aktif, kesannya bukan sahaja dirasai pada tahap tenaga tetapi turut dapat dilihat pada kulit selepas penggunaan berterusan.”

Persaraan bukan sekadar perancangan duit – Hari PRS sulung buka mata rakyat, aset PRS cecah rekod RM10.9 bilion

Oleh: Nafsiah Jani

KUALA LUMPUR – Hari Skim Persaraan Swasta (PRS) terus mencatat perkembangan memberangsangkan apabila jumlah aset di bawah pengurusannya mencecah paras tertinggi RM10.9 bilion, sekali gus mencerminkan peningkatan kesedaran rakyat Malaysia terhadap kepentingan perancangan persaraan.

Pencapaian itu diumumkan sempena penganjuran Hari PRS 2026 yang berlangsung selama dua hari pada 11 dan 12 Julai di MyTOWN Shopping Centre, sekali gus menyaksikan sambutan menggalakkan daripada orang ramai serta pertambahan pendaftaran ahli baharu dan prospek berkualiti kepada penyedia PRS.

Pengerusi Private Pension Administrator (PPA), Datuk Dr. Tengku Aizan Tengku Abdul Hamid berkata, aset PRS meningkat sebanyak RM2.1 bilion sejak awal tahun, termasuk RM379 juta hasil caruman ahli, manakala jumlah keahlian kini melepasi 690,000 orang selepas hampir 19,000 ahli baharu menyertai skim itu tahun ini.

“Perkembangan tersebut membuktikan semakin ramai rakyat Malaysia mula beri perhatian betapa pentingnya menyediakan simpanan persaraan sejak usia muda bagi menjamin kehidupan yang lebih selesa pada masa depan.

Pengerusi PPA, YM Datuk Dr. Tengku Aizan Tengku Abdul Hamid

“Pencapaian aset PRS yang kini mencecah RM10.9 bilion membuktikan semakin ramai rakyat Malaysia memahami kepentingan membina simpanan persaraan sejak awal. Setiap caruman yang dibuat hari ini adalah pelaburan untuk kehidupan yang lebih terjamin pada masa hadapan,” katanya.

Menurut Tengku Aizan, persediaan persaraan tidak seharusnya tertumpu kepada aspek kewangan semata-mata, sebaliknya perlu meliputi kesihatan fizikal, kesejahteraan mental, hubungan sosial serta ilmu dalam membuat keputusan kewangan yang bijak.

“Persaraan bukan sekadar memastikan kita mempunyai wang yang mencukupi, tetapi turut melibatkan aspek kesihatan, kesejahteraan mental dan sosial. Apabila semua elemen ini dipersiapkan lebih awal, seseorang dapat menikmati kehidupan persaraan dengan lebih yakin dan bermakna,” katanya.

Sejajar dengan pendekatan itu, Hari PRS 2026 menghimpunkan pelbagai aktiviti termasuk khidmat nasihat kewangan, pemeriksaan kesihatan percuma, bengkel literasi kewangan, program kecergasan seperti Zumba dan Pilates, aktiviti kekeluargaan serta pelbagai pengisian berkaitan kesejahteraan tanpa dikenakan sebarang bayaran.

Pada majlis sama, PPA turut memperkenalkan Portal Ahli PRS yang dipertingkatkan serta Kalkulator Perancangan Persaraan PRS yang dinaik taraf bagi membantu ahli mengurus simpanan, merancang pendapatan persaraan dan menilai profil risiko dengan lebih mudah.

“Melalui penambahbaikan portal ahli dan kalkulator perancangan persaraan, kami mahu memudahkan ahli mengurus simpanan mereka secara lebih cekap serta membuat keputusan kewangan yang lebih tepat sepanjang perjalanan menuju persaraan,” kata Tengku Aizan lagi.

Pengerusi PPA, YM Datuk Dr. Tengku Aizan Tengku Abdul Hamid (duduk tengah) bersama Pengarah PPA, Ms. Ho Chai Huey, dan rakan industri Selina Yeop Jr., bersama Ketua Pegawai Eksekutif PPA, Taufiq Iskandar bergambar kenangan bersama pasukan PPA, penyedia PRS lain, rakan industri dan wakil acara di Hari PRS 2026.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PPA, Taufiq Iskandar berkata, kejayaan penganjuran Hari PRS 2026 menjadi titik permulaan kepada usaha lebih besar untuk memperluaskan kesedaran mengenai kepentingan simpanan persaraan dalam kalangan rakyat.

“Sambutan terhadap Hari PRS 2026 memberi keyakinan bahawa kesedaran mengenai kepentingan perancangan persaraan semakin meningkat. Kami mahu momentum ini diteruskan agar budaya menyimpan untuk persaraan menjadi amalan dalam kalangan lebih ramai rakyat Malaysia.”

Hari PRS 2026 turut disertai tujuh penyedia PRS iaitu AHAM Asset Management Berhad, Principal Asset Management Berhad, Kenanga Investors Berhad, RHB Asset Management Sdn. Bhd., AIA Pension and Asset Management Sdn. Bhd., Public Mutual Berhad dan Manulife Investment Management (Malaysia) Berhad, bersama pengedar PRS iFAST Capital Sdn. Bhd., selain mendapat sokongan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, penaja serta pelbagai rakan strategik.

Turut memeriahkan acara ialah penajaan hadiah bernilai lebih RM13,000 iaitu Kenanga Investors Berhad, AIA Pension and Asset Management Sdn. Bhd., Principal Asset Management Berhad dan Public Mutual Berhad bagi menggalakkan caruman tambahan di lokasi, rakan gaya hidup dan kesejahteraan L’Oréal Paris Malaysia, Big Pharmacy dan Seoul Espresso.

Pakar kandungan kewangan peribadi Mr Money TV, The FAQ Show iaitu Frankie dan Financial Faiz, dengan Peter Yong, pengasas bersama Mr Money TV, tampil sebagai penceramah dan wajah kempen sepanjang dua hari acara berlangsung.

Kesemua sokongan itu, termasuk MyTOWN Shopping Centre selaku tuan rumah dan agensi acara yang dilantik, sekali gus memperkukuhkan usaha menjadikan festival itu sebagai platform utama meningkatkan literasi kewangan dan budaya menabung demi kesejahteraan persaraan rakyat Malaysia.

Maklumat lanjut mengenai PRS boleh didapati di www.ppa.my.

Shila Amzah lega, bebas bersuara untuk kerjaya seninya

Oleh: Khadijah Ibrahim

TAHUN ini merupakan 25 tahun , penyanyi Shila Amzah terbabit dalam bidang seni suara. Sempena sambutan Jubli Perak beliau bergelar anak seni, Shila bakal mengadakan konsert istimewa, “KITA – 25 Tahun Bersama”, yang akan berlangsung pada 15 Ogos 2026, jam 7.30 malam di Arena of Stars, Resorts World Genting.

Konsert anjuran Pink Asia itu merupakan simbol penghargaan terhadap perjalanan seni Shila selama suku abad, selain meraikan sokongan tidak berbelah bahagi daripada para peminat yang sentiasa bersama beliau sejak awal pembabitannya dalam dunia hiburan.

Shila memulakan kerjaya seni sejak zaman kanak-kanak lagi dan pada usia 10 tahun, beliau sudah ada album pertama, “Terima Kasih Guru”. Pada ketika itu beliau lebih dikenali dengan nama lengkapnya, Nurshahila Amir Amzah.

Anak sulung daripada empat beradik itu juga pernah menggunakan nama pentas Sha-Hila sewaktu tampil dengan album kedua. Selepas menyertai program realiti One In A Million sebagai pemenang tempat kedua, beliau lebih dikenali dengan nama Shila OIAM dan kini beliau berjaya dengan nama Shila Amzah.

Shila yang bakal mencecah usia 36 tahun pada 13 Ogos ini, mengakui sebelum berada di kedudukan sekarang sudah banyak suka duka yang dilalui.

Shila bersama rakan artis yang bakal berada di pentas yang sama dengannya, dari kiri Balan Kashmir, Mimifly dan Kidd Santhe.

“Banyak perkara yang saya lalui dalam kehidupan sebelum ini menghalang saya untuk terus bergerak ke depan. Jadi apabila saya dapat peluang ini sekarang, walaupun pada usia sekarang, saya rasa itu menginspirasikan diri saya sendiri untuk kuat, tak kira di umur berapa pun kita boleh mengatur langkah baharu.

“We can develop our self, kita boleh buat benda yang kita suka. Saya dah merasakan banyak peluang untuk saya belajar. Sejujurnya tahun ke-25 tahun ini saya sangat menghargai sebab saya ada 100 peratus kebebasan, ini yang saya selalu mimpikan.

“Saya ada kebebasan bersuara untuk melakukan apa-apa keputusan besar untuk hidup dan kerjaya saya. Inilah masa yang tepat, saya sangat bersyukur kerana apa-apa yang berlaku sebelum ini menjadikan siapa saya sekarang.

“Ubai (suami) adalah orang yang paling memberi dorongan dan sokongan, sekarang kami sama-sama mengorak langkah untuk pencapaian saya bagi zaman ini dan mendatang. Saya rasa cukup bersyukur,” kata Shila tanpa berselindung.

Tambahnya, jika apa yang disasar berjalan lancar dan pantas, beliau tidak akan menolak seandainya beliau perlu berhijrah kembali ke China pada hujung tahun hadapan.

“Pada 1 Ogos ini, saya akan berada di China dan saya akan stay sampai 8 Ogos sebab tour saya kat sana. Kemudian saya balik ke Malaysia seminggu untuk konsert dan kemudian fly balik ke sana.

Shila bersama artis jemputan, penganjur dan wakil rakan rasmi serta rakan strategik konsert.

“Di bulan Ogos, bulan kelahiran saya, saya rasakan alhamdulillah atas apa perit lelah yang telah saya lalui sebelum ini dan saya merasakan ini adalah rezeki yang tak ternilai,” katanya yang bakal tandatangani kontrak yang lama di China.

Shila yang sedang menyiapkan album Mandarin yang bakal berada di pasaran tahun depan itu berkata, beliau tiada masalah jika perlu menetap di China kerana sebelum ini sudah pernah berada di sana selama lapan tahun.

“Saya duduk di China dari 2012 selama lapan tahun. Saya kembali ke Malaysia sebab kahwin dulu. Bagi saya di mana ada rezeki di situlah saya.

“Sekarang saya sedang buat album Mandarin. Mungkin hujung tahun depan album dipasarkan dan progres kerja dah bermula daripada sekarang,” jelasnya.

Sebelum ini Shila pernah mengeluarkan album Mandarin, “My Journey” pada 2016 yang menggandingkan beliau dengan komposer, penulis lirik dan penerbit dari Hong Kong, China dan Malaysia kerana album tersebut diterbitkan oleh syarikat rakaman beliau, Shilala (HK) Limited di Beijing, China.

Memandangkan peminatnya bukan sekadar rakyat tempatan, untuk konsert “KITA – 25 Tahun Bersama”, Shila akan mendendangkan kira-kira 40 buah lagu, di mana 17 daripadanya adalah lagu Mandarin dan selebihnya lagu Melayu dan Inggeris.

Mahu mengambil peluang ini untuk menyuarakan keinginannya sebagai anak seni.

“Saya akan nyanyi 40 lagu, dalam 17 lagu adalah lagu Mandarin dan yang lain campuran lagu bahasa Melayu dan Inggeris. Untuk konsert ini ada peminat dari China juga yang sudah membeli tiket dan jualan tiket untuk konsert ini sudah mula dijual di sana. Alhamdulillah kita akan nampak peminat saya berbilang kaum.

“Dari segi pemilihan lagu 90 peratus saya yang pilih. Muzik yang akan iring adalah band saya sendiri, mereka ini yang iringi saya masa konsert kat DFP (Dewan Filharmonik) hari tu. Mereka benar-benar mengenali saya dan tak payah nak cari keserasian. Malah tour saya kat China pun mereka juga.

“Untuk konsert ini juga, saya ambil kesempatan untuk buat tribute kepada Allahyarham Sudirman, Michael Jackson dan kepada Fish Leong, legenda penyanyi Cina tempatan yang dah bawa nama Malaysia ke Taiwan pada tahun 2000-an lagi. Saya rasa sosok-sosok ini yang betul-betul menginspirasikan saya sehinnga saya memasuki 25 tahun dalam bidang seni ini,” jelasnya.

Untuk konsert tersebut Shila bukan seorang diri tapi akan diserikan dengan penampilan rakan artis lain iaitu DJ Fuzz, Balan Kashmir, Kidd Santhe, Mimifly dan Hael Husaini.

Kehadiran mereka dijangka menyuntik kelainan menerusi kolaborasi eksklusif dan persembahan yang hanya dapat disaksikan pada malam tersebut, sekali gus menjadikan “KITA – 25 Tahun Bersama” sebuah produksi yang menghimpunkan pelbagai genre muzik dalam satu pentas.

Shila berkata, beliau teruja dapat berkongsi pentas bersama rakan-rakan artis yang banyak mewarnai industri muzik tempatan.

“Malam tersebut akan menjadi sebuah persembahan yang sangat dekat di hati saya. Saya juga sangat teruja dapat berkongsi pentas dengan rakan-rakan artis yang saya hormati kerana mereka masing-masing mempunyai identiti dan kekuatan tersendiri.

“Saya percaya gabungan ini akan menjadikan “KITA – 25 Tahun Bersama” lebih istimewa dan saya berharap semua yang hadir akan pulang dengan kenangan yang sukar dilupakan,” katanya.

Shila bakal mendendangkan kira-kira 40 buah lagu sewaktu konsert nanti.

Bagi Shila, “Konsert ‘KITA – 25 Tahun Bersama” bukan sekadar meraikan ulang tahun ke-25 beliau dalam industri muzik, tetapi lebih kepada menghargai setiap insan yang menjadi sebahagian daripada perjalanan kerjaya seninya.

“Saya percaya setiap lagu yang pernah saya nyanyikan mempunyai cerita tersendiri dan saya mahu menghidupkan semula semua kenangan itu bersama para peminat yang sentiasa berada di sisi saya sejak hari pertama,” ujarnya.

Sepanjang persembahan nanti, Shila bakal menyampaikan 40 buah lagu yang merangkumi karya Melayu, Mandarin dan Inggeris, termasuk lagu-lagu ikonik seperti Ada Saja, Tragik, Kita Berdansa, Patah Seribu Hatiku, Oscar Winning Tears, Forever Love, Masih Aku Cinta, Memori Tercipta dan Temberang, selain beberapa lagu Mandarin yang telah melonjakkan namanya di pentas antarabangsa.

Sementara itu, tiket-tiket yang dijual pada harga VIP – RM599, SA1 – RM399, SA2 – RM249,(Restricted View), SA3 – RM249, SA4 – RM199 dan SA5 – RM149 boleh didapati menerusi Ticket2U Malaysia dan Resorts World Genting.

Lebih menarik, pemegang tiket juga layak menikmati diskaun 20% untuk makanan dan minuman kegemaran di mana-mana cawangan The Coffee Bean & Tea Leaf Malaysia yang mengambil bahagian dengan hanya menunjukkan tiket konsert dalam tempoh tiga hari dari tarikh pembelian.

Promosi eksklusif ini merupakan sebahagian daripada kerjasama antara Pink Asia dan The Coffee Bean & Tea Leaf Malaysia bagi memberikan nilai tambah kepada peminat sambil bersama-sama meraikan “KITA – 25 Tahun Bersama” bersama Shila Amzah di Arena of Stars, Resorts World Genting.

Konsert “KITA – 25 Tahun Bersama” merupakan anjuran Pink Asia dengan sokongan The Coffee Bean & Tea Leaf selaku Rakan Rasmi, manakala Resorts World Genting dan Visit Malaysia 2026 tampil sebagai Rakan Strategik dalam menjayakan penganjuran konsert berprestij tersebut.

Roseyatimah ‘lawan’ barah hingga akhir hayat!

Oleh SYED WAFA
Foto Koleksi SYED WAFA
Sumber : Ladybosz (Terima Kasih Datuk Sri Rozita Ramelan)

MENYANTUNI watak Rose, cikgu sekolah khas di ‘Kampung Pinang Sebatang’ yang mengajar warga tua membaca dan menulis benar-benar memberi kesan pada kerjayanya sebagai pelakon dan kemudian bergelar seniwati bermula pada tahun 1959.

Betapa tidak filem “Pendekar Bujang Lapok”terbitan Malay Film Productions yang diarahkan oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee itu bukan sahaja telah memperkenalkan beliau dalam bidang lakonan. Sebaliknya filem itu telah melahirkan ‘sebutir’ bintang yang terus menyinar dan bergemerlapan sebelum beliau mengambil keputusan meletakkan noktah pada kerjaya seninya pada tahun 1968!

ROSEYATIMAH bersama P. Ramlee dalam satu babak filem “Pendekar Bujang Lapok.”
POSTER “Pendekar Bujang Lapok” filem pertama lakonan Roseyatimah dengan P. Ramlee.
Turut berlakon dalam filem ini ialah Allahyarham Datuk Aziz Sattar dan Allahyarham S. Shamsuddin.

Itulah Allahyarham Seniwati Datin Roseyatimah yang dilahirkan di Singapura pada 17 November 1943. Beliau adalah anak tunggal kepada pasangan suami isteri, Allahyarham Biduan Jasni Ahmad dan Allahyarham Seniwati air mata, Neng Yatimah.

Mungkin ramai yang beranggapan Roseyatimah memulakan kerjaya seninya setelah lulus dalam ujibakat yang dijalankan oleh P.Ramlee. Tetapi sebenarnya ada insiden lain yang membawa Roseyatimah ditemukan sebelum ujibakat untuk filem berkenaan.

DALAM kenangan…Roseyatimah bergambar bersama ayah dan ibunya, Allahyarham Biduan Jasni Ahmad dan Allahyarham Seniwati Neng Yatimah.

Khabarnya ia bermula apabila P. Ramlee terpandangkan wajah Roseyatimah dan rakan-rakannya dalam kalangan orang ramai yang menyaksikan penggambaran filem arahannya “Sumpah Orang Minyak”(1958).

Hakikatnya, P. Ramlee yang secara kebetulan ketika itu sedang mencari pelakon muda untuk filem komedi “Pendekar Bujang Lapok” yang akan memulakan penggambaran tidak lama lagi.

TIGA ‘bintang’ Cathay-Keris Film.
Berdiri dari: Allahyarham Seniwati Roseyatimah, Allahyarham Seniwati Fatimah Ahmad dan Seniwati Rahmah Ali.
EMPAT seniwati yang sering menghiasi filem-filem terbitan Cathay-Keris Film. Berdiri dari kanan: Rahmah Ali, Allahyarham Seniwati Datin Umi Kalthum, Allahyarham Seniwati Latifah Omar dan Roseyatimah.

Setelah ‘merisik khabar’ dan mengetahui ‘siapakah gerangan gadis’ yang telah mencuri pandangannya, P. Ramlee pergi berjumpa dengan Neng Yatimah dan Jasni untuk meminta kebenaran.

Mengenali dan menghormati P.Ramlee, akhirnya hasrat beliau menjadi kenyataan. Namun sebelum itu, Roseyatimah harus menjalani sesi ujibakat yang dikendalikan P.Ramlee dan Allahyarham Seniman Datuk Aziz Sattar sebagai salah seorang penilai bakat.

SENIWATI popular dan berbakat yang sering membintangi filem Melayu pada era 1950-an sehingga 1960-an.
Duduk dari kiri: Seniwati Datin Noor Azizah, Seniwati Datuk Dr. Sarimah Ahmad dan Roseyatimah.
Berdiri dari kanan: Seniwati Normah Zainal dan kakaknya, Hamidah Zainal dan Intan Mahmud.

Akhirnya beliau lulus dalam ujibakat tersebut dan sejak itu bermulalah perjalanan seni Rosnah Jasni yang kemudiannya dikenali sebagai Roseyatimah. Nama itu adalah ilham P.Ramlee yang menggabungkan nama ‘Rose’ dan ibunya ‘Yatimah.’ Bagi P. Ramlee nama ‘Roseyatimah’ lebih glamour.

Walaupun Roseyatimah mula berlakon dalam filem “Antara Senyum dan Tangis” sebagai pelakon kanak-kanan ketika berusia sembilan tahun pada 1952 tetapi “Pendekar Bujang Lapok” telah ‘melahirkan’ beliau sebagai ‘bintang’ pada usia 14 tahun yang masih belajar di menengah dua Sekolah St. Thomas.

Dengan nama ‘Roseyatimah’ beliau terus melangkah sebagai satu diantara ‘bintang-bintang’ yang menyerlah dan bergemerlapan dalam filem Melayu pada era akhir 1950-an sehingga akhir 1960-an tanpa menoleh ke belakang.

GAYA seorang seniwati berbakat dan cantik jelita…Roseyatimah.
SENIWATI Neng Yatimah dan anak kesayangannya, Roseyatimah.

Siapa sangka budak perempuan berusia sembilan tahun yang berlakon sebagai kanak-kanak dalam filem “Antara Senyum dan Tangisan” akhirnya mencipta nama dan kejayaan setelah diberi watak sebagai Cikgu Rose.

Walaupun memulakan kerjaya sebagai ‘orang filem’ di Malay Film Productions tetapi selepas kejayaan filem itu, Roseyatimah terus melangkah tanpa menoleh ke belakang sebagai seorang diantara seniwati-seniwati hebat dan dikagumi di Cathay-Keris Film.

Roseyatimah dikenali bukan sahaja kerana bakatnya malah kecantikan wajahnya menjadi daya tarikan para pengarah mengundangnya berlakon.

Bakat dan kecantikan asli miliknya membuatkan Roseyatimah sering dipilih menjadi penghias muka depan majalah hiburan antaranya, Berita Filem.
ROSEYATIMAH sekali lagi dipilih sebagai penghias muka depan Majalah Berita Filem.

Sepanjang kariernya sebagai ‘orang filem’ Roseyatimah telah berlakon lebih daripada 20 filem. Bagaimanapun bermula pada tahun 1960, Roseyatimah membintangi 18 filem bersama Cathay-Keris Film antaranya filem “Tunang Pak Dukun,” ( watak/Tijah) dan “Pak Pandir Moden”(Busu) dan 1961 dengan filem “Sri Mersing”(Siti Payung), “Jalak Lenteng”(Kemuning) dan “Lancang Kuning”(Teratai).

Dua daripada filem tersebut dilakonkan bersama Allahyarham Datuk Mustapha Maarof iaitu “Sri Mersing” dan “Udang Di Sebalik Batu”(1966).

Sementara pada tahun 1962, beliau membintangi filem “Badang” (Tengku Manis), “Tun Fatimah” (Lela Sari)“Gurindam Jiwa”(1965) dengan filem terakhirnya “Udang di Sebalik Batu” (1966).

ROSEYATIMAH menjadi penghias muka depan Majalah Berita Filem.
POPULARITI Roseyatimah membuatkan beliau sering menjadi pilihan Majalah Berita Filem.
SENYUMAN manis ‘hadiah’ Roseyatimah buat para pembaca setia majalah Fashion

Selain membintangi filem terbitan MFP dan Cathay-Keris, bakat, kejelitaan dan popularitinya telah membawa Roseyatimah berlakon dalam filem Jepun “Under The Stars of Singapore” (1967).

Filem arahan Hirokazu Ichimura terbitan bersama Shochiko Films dan Cathay-Keris Film ini selain penampilan khas Roseyatimah sebagai ‘Kak Siti’ ia turut menampilkan Allahyarham Seniwati Siput Sarawak dan pelakon kanak-kanak, Rahman Rahim (adik penyanyi Rahimah Rahim).

Selain pelakon dari Cathay-Keris, filem ini turut dibintangi pelakon dan penyanyi hebat seperti Yukio Hashi, Kenji Sugaharq, Kaoru Yumi dan Yuki Arikawa.

Penggambaran selama dua minggu di Singapura mengabadikan sekitar kawasan perkuburan Kristian di Singapura, Masjid Sultan Abu Bakar dan Taman Istana Johor Baharu.

ROSEYATIMAH bergaya dengan kebaya pendek pilihannya.
KEAYUAN Roseyatimah terserlah dengan selendang dan berkebaya.

Selain Neng Yatimah, turut membimbing Roseyatimah dalam bidang lakonan adalah seniman hebat Cathay-Keris iaitu Allahyarham Nordin Ahmad yang berlakon dalam filem antaranya pada tahun 1961 filem “Sri Mersing” dan dua filem pada tahun 1963 iaitu”Lanchang Kuning” dan “Chuchu Datok Merah.”

Filem “Sri Mersing” arahan Allahyarham Salleh Ghani pertama kali menemukan Roseyatimah dengan Allahyarham Datuk Mustapha Maarof. Sementara filem “Udang Di Sebalik Batu” (1967) arahan Allahyarham Hussein Haniff adalah filem terakhir mereka berlakon sama sebelum disatukan sebagai suami isteri pada tahun 1967. Majlis perkahwinan mereka telah dilangsungkan di rumah ayah dan ibu Roseyatimah di Jalan Senyum, Changi Road, Singapura.

ROSEYATIMAH memang pandai bergaya.

Roseyatimah dan Mustapha Maarof saling mengenali ketika sama-sama belajar seni-silat dengan guru silat, Pak Awang di Boon Teck Road, Singapura. Pak Awang merupakan sahabat baik, Pak Jasni, ayah Roseyatimah.

Bermula dari itulah Mustapha Maarof mengenali Roseyatimah yang akhirnya mereka berhijrah ke Cathay-Keris.

Kehidupan pasangan bahagia ini diserikan dengan kehadiran tiga cahayamata iaitu Azlynna, Mohamed Khairudden dan Mohamad Rezainuddeen. Namun Khairudden meninggal dunia pada usia empat tahun kerana demam denggi.

ROSEYATIMAH kelihatan cantik bergaya dengan fesyen kebaya.
ROSEYATIMAH…kelihatan bergaya dengan persalinan bagaikan seorang srikandi dalam sebuah filem.

Bagaimanapun kebahagiaan pasangan ini ‘terhenti’ apabila Roseyatimah menghembuskan nafas terakhir pada usia 44 tahun kerana barah payudara pada 14 Disember 1987.

Adalah difahamkan setelah 10 hari menjalani radioterapi di hospital, Roseyatimah minta kebenaran daripada pihak hospital supaya menbawa beliau pulang ke rumahnya.

DI HARI persandingan Roseyatimah dan Seniman Mustafa Maarof pada tahun 1967z
Turut hadir Allahyarham Seniwati Datin Umi Kalthum dan pengarah terkenal, Allahyarham Zain Mahmud.
CINTA sejati…Mustapha Maarof hidup sendirian selepas ‘pemergian’ isteri tersayang, Roseyatimah.

Beliau dibawa pulang ke rumah bersama seorang jururawat dan tangki oksigen. Selepas tiga hari di rumah, Roseyatimah meninggal dunia selang tujuh bulan ayahnya meninggal.

Selepas ‘pemergian,’ Roseyatimah, Mustapha Maarof hidup bersama anak-anak sehinggalah beliau meninggal dunia kerana kanser paru-paru pada 15 Disember 2014 iaitu 27 tahun 1 hari selepas ‘pemergian’ isteri tercinta.

DALAM kenangan…Allahyarham Seniwati Suraya Haron (bekas isteri pertama Allahyarham Mustapha Maarof) bersama Roseyatimah.

Memulakan kerjaya seninya dengan filem arahan P. Ramlee, Roseyatimah yang terkenal dengan watak ikonik ‘Cikgu Rose’ mengakhiri kariernya sebagai seniwati pujaan ramai dengan filem “Anak Bapak”(1968) iaitu selepas berkahwin dengan Mustapha Maarof.

Sejak itu, Roseyatimah lebih senang menjalani kehidupannya sebagai isteri dan ibu kepada tiga orang anak.

ROSEYATIMAH…nampak anggun dan bergaya.
ROSEYATIMAH mula berlakon dengan filem arahan P. Ramlee dan mengakhiri kariernya sebagai ‘orang filem’ dengan “Anak Bapak” (1965) arahan pengarah yang sama.

Bagaimanapun pada tahun 1974, Roseyatimah membuat kemunculan istimewa di kaca TV apabila berlakon dua drama terbitan RTM iaitu “Pulang Senja” dan “Anak Seluang Jauh Melaut.”

Sepanjang bergelar anak seni, Roseyatimah telah dianugerahkan sebagai Aktress Terbaik kerana lakonannya sebagai Salmah dalam filem “Jiran Sekampong”(1965) pada Festival Filem Malaya 1965.

PASANGAN bahagaia.
CINTA hingga akhir hayat dua legenda.

Pada Ogos 1964, beberapa wakil dari Persatuan Pengeluar Filem Amerika yang membuat lawatan rasmi ke Studio Cathay-Keris telah menyampaikan anugerah yang dikenali ‘The Goldeb Statue of Grace’ bersandarkan beberapa faktor antaranya bakat lakonan dan wajahnya yang jelita. Roseyatimah merupakan seniwati pertama dalam sejarah filem Melayu yang menerima anugerah tersebut.

Kami di Ladybosz mendoakan semoga roh arwah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam golongan orang beriman…Amin

SYED Wafa (penulis) bersama Seniwati Neng Yatimah menziarahi pusara anaknya, Allahyarham Roseyatimah.
PUSARA Allahyarham Roseyatimah dan Allahyarham Mustapha Ma’arof bersebelah di Tanah Perkuburan Islam Ampang, Kuala Lumpur.

Kredit: Terima kasih Ladybosz.com dan Dato Seri Rozita Ramelan

ROZITA ROHAIZAD KEMBALI MEMERIAHKAN SOLO KERONCONG FESTIVAL BUAT KALI KEDUA

Oleh: Syed Yusof Wafa

Penyanyi dan aktivis budaya terkenal tanah air, Rozita Rohaizad, meluahkan rasa teruja dan penuh kesyukuran apabila sekali lagi diberi penghormatan mewakili Malaysia di pentas antarabangsa menerusi penyertaannya dalam Solo Keroncong Festival 2026 di Surakarta, Indonesia.

Rozita telah berlepas ke Solo pada 16 Julai lalu bagi menjalani sesi latihan sebelum mengadakan persembahan istimewa bersama Royal Surakarta Symphony Orchestra pada 19 Julai 2026 di Alun-Alun Utara Keraton Kasunanan Surakarta.

Pada festival kali ini, Rozita bakal mempersembahkan dua buah lagu iaitu “Zapin Rinduan Kasih” dan “Rindu Ini Tetap Ada” dalam versi keroncong.

Dikenali sebagai artis yang aktif memperjuangkan seni dan budaya Nusantara, Rozita tidak pernah jemu menjalin hubungan persahabatan serta mengukuhkan ikatan silaturahim bersama para pemuzik dari seluruh dunia. Penglibatannya dalam pelbagai festival kebudayaan antarabangsa secara tidak langsung memperkukuhkan hubungan seni dan budaya antara Malaysia dengan negara-negara serantau, khususnya dalam kelompok Nusantara.

Pada festival kali ini, Rozita bakal mempersembahkan dua buah lagu iaitu “Zapin Rinduan Kasih” dan “Rindu Ini Tetap Ada” dalam versi keroncong yang diiringi alunan simfoni orkestra. Solo Keroncong Festival 2026 yang membawa tema “Keroncong Majestik Memayu Hayuning” mengetengahkan perpaduan harmoni antara nilai tradisi keraton dan sentuhan kreativiti moden. Festival berprestij ini turut menghimpunkan barisan pemuzik keroncong dari peringkat tempatan, nasional dan antarabangsa.

Sekembalinya ke Malaysia, Rozita akan meneruskan komitmen seninya menerusi pementasan teater “Tok Bidan Somah” yang bakal dipentaskan di Mini Auditorium MaTiC, Kuala Lumpur pada 25 dan 26 Julai 2026. Dalam pementasan tersebut, Rozita memegang watak utama.

Menurut Rozita, bulan Julai 2026 membawa seribu makna dalam perjalanan seninya.

Sekembalinya ke Malaysia, Rozita akan meneruskan komitmen seninya menerusi pementasan teater “Tok Bidan Somah”

“Sejujurnya, bulan Julai sangat indah buat saya. Dua buah lagu baharu yang telah dirakam dan diterbitkan pada bulan Jun kini dipersembahkan dalam dua platform yang cukup istimewa – satu di Solo Keroncong Festival 2026 dan satu lagi menerusi teater Tok Bidan Somah. Semuanya berlaku dalam bulan Julai yang luar biasa dan penuh kenangan buat saya,” katanya.

Pencapaian ini sekali lagi membuktikan dedikasi Rozita Rohaizad dalam mengangkat seni budaya Melayu dan Nusantara ke persada antarabangsa, sekali gus mengharumkan nama Malaysia di mata dunia.

Konsert Soundstage satukan band Malaysia dan Indonesia

Oleh: Khadijah Ibrahim

SEJAK kebelakangan ini boleh dikatakan setiap minggu ada saja konsert yang dianjurkan, terpulang kepada penonton sama ada nak pergi atau tidak. Apapun itu semua turut bergantung kepada isi kandungan dompet dan siapa yang kita minat.

Bagi peminat muzik alternatif dan indie, sila pastikan anda tidak terlepas untuk menonton konsert Soundstage yang menggabungkan kumpulan muzik Malaysia dan Indonesia.

Tahun ini kumpulan Hujan banyak mendapat peluang menjayakan konsert.

Konsert Soundstage yang akan berlangsung di Unifi Arena, Bukit Jalil pada 16 Ogos ini, bermula 6 petang hingga 11 malam itu bakal menampilkan Hujan, Nidji, Dukes, Empty Page dan Midnight Fusic.

Pertemuan lima band dari dua negara ini menjanjikan sebuah persembahan rentas sempadan yang menghubungkan peminat daripada pelbagai generasi menerusi muzik. Manakala, Hujan dan Nidji sebagai artis utama untuk persembahan tersebut.

Kumpulan Dukes yang popular dengan lagu Bila Kau Datang Menangis.

Daripada karya yang menjadi kegemaran ramai hinggalah persembahan pentas yang dinanti-nantikan, setiap band bakal tampil dengan karakter dan kekuatan tersendiri.

Bagi memberikan lebih banyak pilihan kepada peminat, tiket dijual dalam empat kategori iaitu Rock Zone (RM139), Mosh Pit Standing (RM169), Indie Zone (RM179) dan HIP Zone (RM369). Pemegang tiket HIP Zone turut menikmati akses Fast Lane bagi memudahkan kemasukan ke arena.

Kalau nak dengar lagu Caramel Cream dendangan Midnight Fusic jangan lupa untuk hadir ke konsert Soundstage pada 16 Ogos ini.

Jangan lepaskan peluang menyaksikan Hujan, Nidji, Dukes, Empty Page dan Midnight Fusic
berkongsi pentas menerusi Soundstage. Dapatkan tiket anda sekarang di http://www.wowtix.com.my/

Tiket untuk konsert Soundstage sudah dijual.

AIM25 dapat peruntukan dana, pemenang 15 kategori bakal terima DKK bernilai RM50,000 setiap satu

Oleh: Khadijah Ibrahim

TAHUN ini penganjuran Anugerah Industri Muzik telah memasuki ke-25 tahun (AIM25). Anugerah muzik berprestij yang sudah lama bertahan di Malaysia itu dianjurkan oleh Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM).

Bagi meraikan Jubli Perak AIM25, buat julung kalinya majlis anugerah tersebut akan diadakan di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), Sarawak, pada 26 September ini.

Majlis ini disokong penuh oleh Kementerian Komunikasi menerusi Geran Digital Content Fund melalui MyCreative Ventures, Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Persembahan Sarawak (MTCP) menerusi Geran Acara Pelancongan, manakala TVS bertindak sebagai Penyiar Rasmi dan Rakan Kongsi Penganjur AIM25.

Pengerusi RIM dan AIM, Rosmin Hashim berkata, penganjuran AIM di luar Semenanjung Malaysia adalah satu langkah penting bagi pihaknya untuk lebih dekat dengan komuniti kreatif di Sabah dan Sarawak, selain meraikan kepelbagaian budaya dan muzik yang begitu kaya di Borneo.

Rosmin Hashim harap penganjuran AIM25 di luar Semenanjung Malaysia dapat mendekati komuniti kreatif di Sabah dan Sarawak.

“Ini adalah satu langkah penting bagi kami untuk lebih dekat dengan komuniti kreatif di Sabah dan Sarawak, dan untuk turut meraikan kepelbagaian budaya dan muzik yang begitu kaya di Borneo.

“Pemilihan Kuching sebagai tuan rumah AIM25 bukan sekadar perubahan lokasi. Ia melambangkan komitmen RIM untuk memperluaskan pengiktirafan terhadap bakat di seluruh Malaysia, di samping memperkukuh kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai sebahagian penting daripada ekosistem muzik negara.

“Kami percaya industri muzik Malaysia hanya akan terus berkembang apabila setiap wilayah diberi ruang untuk diraikan dan diketengahkan. Landskap muzik sentiasa berkembang, begitu juga dengan AIM.

“Sebagai anugerah yang sentiasa mencerminkan perkembangan industri, kami mahu memastikan setiap edisi terus relevan dengan kepelbagaian budaya, kreativiti dan ekspresi muzik Malaysia hari ini,” katanya.

Sejajar dengan semangat inklusiviti tersebut, untuk acara kali ini, dua kategori anugerah baharu diperkenalkan iaitu ‘Lagu Borneo Terbaik’ sebagai pengiktirafan kepada karya-karya muzik yang meraikan kekayaan budaya, bahasa, tradisi dan identiti unik Sabah dan Sarawak.

Dan satu lagi adalah ‘Lagu Perayaan Terbaik’ yang meraikan karya-karya muzik bertemakan pelbagai perayaan di Malaysia serta mencerminkan nilai perpaduan, keharmonian dan kepelbagaian budaya negara kita.

Pengenalan kategori-kategori ini mencerminkan komitmen berterusan AIM untuk mengiktiraf kepelbagaian industri muzik Malaysia sambil meraikan identiti budaya unik dan tradisi muzik yang membentuk landskap kreatif negara.

Dengan penambahan ini, AIM25 kini merangkumi sebanyak 33 kategori anugerah julat terbesar dalam sejarah AIM.

Bagi memperkukuh pembangunan industri muzik tempatan, Kementerian Komunikasi menerusi Dana Kandungan Kreatif (DKK) yang diuruskan oleh MyCreative Ventures Sdn. Bhd. (MyCreative Ventures) telah meningkatkan peruntukan DKK untuk AIM25 sebanyak RM250,000, menjadikan jumlah keseluruhan kepada RM950,000, berbanding RM700,000 yang diperuntukkan bagi AIM24.

Daripada jumlah tersebut, pemenang bagi 15 kategori anugerah akan menerima geran DKK berjumlah RM50,000 setiap satu, iaitu Lagu Terbaik, Artis Baharu Terbaik, Lagu Nasyid Terbaik, Lagu Etnik Terbaik, Lagu Tradisional Terbaik, Lagu Perpaduan Terbaik, Lagu Inggeris Tempatan Terbaik, Lagu Cina Tempatan Terbaik, Lagu India Tempatan Terbaik, Video Muzik Terbaik, Lagu Electronic Pop/Dance Terbaik, Lagu Rock Terbaik, Lagu Hip Hop Terbaik, Lagu Pop Terbaik dan Lagu Runut Bunyi (OST) Terbaik dalam Filem/Drama.

Penganjuran AIM25 memperkenalkan dua kategori baharu, keseluruhan ada 33 kategori anugerah.

Sementara itu, pemenang bagi kategori Album Terbaik akan menerima geran DKK berjumlah RM200,000.

DKK merupakan antara inisiatif kerajaan dalam membantu dan menggalakkan pengamal industri kreatif dalam penghasilan, penerbitan dan penyebaran kandungan kreatif yang berdaya cipta tinggi serta berupaya dipasarkan di pasaran tempatan dan antarabangsa.

Inisiatif ini sekali gus menunjukkan kesungguhan dan komitmen kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dalam memupuk pertumbuhan industri kreatif termasuk industri muzik yang berpotensi besar sebagai salah satu tonggak utama pertumbuhan ekonomi jingga.

Peningkatan peruntukan ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam mengiktiraf kecemerlangan seni, menggalakkan kreativiti dan inovasi, serta memperkasa industri kreatif sebagai penyumbang penting kepada pembangunan ekonomi negara.

Pada masa yang sama, ia merupakan pengiktirafan terhadap sumbangan besar para penggiat industri muzik dalam memperkaya khazanah seni dan budaya negara.

Malah AIM25 turut mendapat geran RM1 juta daripada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Persembahan Sarawak (MTCP), yang menegaskan komitmen Sarawak dalam memperkukuh industri kreatif Malaysia serta memposisikan negeri tersebut sebagai destinasi utama seni, budaya dan hiburan.

AIM25 terbuka kepada Lagu/Album dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa India yang dikeluarkan di Malaysia antara 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2025. Penyerahan penamaan bagi AIM25 bermula 16 Julai 2026 dan ditutup pada 6 Ogos 2026.

Seperti edisi-edisi AIM yang terdahulu, penamaan akan dinilai oleh panel juri terdiri daripada pengamal industri muzik yang berkelayakan tinggi serta pakar terkemuka dari pelbagai disiplin dalam industri muzik tempatan, diketuai oleh Ketua Hakim yang dilantik, Ajai.

Skor para juri akan dijumlahkan dan diaudit oleh juruaudit bebas sebelum keputusan diumumkan. Penerima Anugerah Sri Wirama akan ditentukan oleh Ahli Majlis RIM. Keputusan lima calon terakhir AIM25 dijangka diumumkan pada September 2026.

Sementara itu, TVS dilantik sebagai penyiar rasmi dan rakan kongsi penganjur. Selain acara pada malam anugerah, TVS akan menerbitkan rancangan Hits 122 Edisi AIM2, yang ditayangkan mulai 18 Julai 2026 dan disiarkan setiap hari Sabtu jam 8:30 malam.

Rancangan selama 13 episod ini akan membina keterujaan ke arah AIM25 dengan turut memaparkan kisah anak seni tempatan serta industri muzik tanah air.

Berikut adalah senarai 33 kategori anugerah AIM25:

Kategori Utama
1. ARTIS BAHARU TERBAIK
2. VOKAL LELAKI TERBAIK
3. VOKAL WANITA TERBAIK
4. VOKAL KUMPULAN TERBAIK
5. KUMPULAN (BAND) TERBAIK
6. VOKAL DUO/KOLABORASI TERBAIK
7. VIDEO MUZIK TERBAIK
8. LAGU TEMA TERBAIK DALAM FILEM/DRAMA
9. LAGU ROCK TERBAIK
10. LAGU POP TERBAIK
11. LAGU RAP/HIP HOP TERBAIK
12. LAGU POP ELEKTRONIK/DANCE TERBAIK
13. LAGU TEMPATAN BAHASA INGGERIS TERBAIK
14. LAGU TEMPATAN BAHASA CINA TERBAIK
15. LAGU TEMPATAN BAHASA INDIA TERBAIK
16. LAGU MELAYU TERBAIK DIPERSEMBAHKAN OLEH ARTIS ANTARABANGSA
17. KOLABORASI TERBAIK OLEH ARTIS TEMPATAN DAN ARTIS/PENGGUBAH ANTARABANGSA
18. LAGU NASYID TERBAIK
19. LAGU ETNIK TERBAIK
20. LAGU PERPADUAN TERBAIK
21. LAGU TRADISIONAL TERBAIK
22. LAGU BORNEO TERBAIK
23. ALBUM TERBAIK TAHUN INI
24. LAGU TERBAIK TAHUN INI

Anugerah Khas
25. ANUGERAH SRI WIRAMA

Kategori Pra-Anugerah
26. LAGU PERAYAAN TERBAIK
27. KULIT ALBUM TERBAIK
28. KEJURUTERAAN LAGU TERBAIK
29. KEJURUTERAAN ALBUM TERBAIK
30. SUSUNAN MUZIK TERBAIK DALAM SEBUAH LAGU
31. LAGU PALING BANYAK DISTRIM
32. VIDEO MUZIK RASMI PALING BANYAK DITONTON DI PLATFORM VIDEO UTAMA
33. LAGU DENGAN VIDEO KREASI TERBANYAK DI TIKTOK

Eco-Fest 2026 tonjol eco print sempena Tahun Melawat Malaysia

Oleh: Khadijah Ibrahim

SUDAH lama kita mengetahui tentang batik canting atau batik tulis. Batik canting ialah seni tekstil tradisional di mana corak yang rumit dilukis menggunakan alat seperti pen yang dipanggil canting untuk melakar lilin panas pada kain.

Kain batik canting boleh dipelbagaikan menjadi pakaian lelaki dan wanita seperti baju kurung, baju Melayu, kemeja korporat, kaftan (baju kelawar) dan blazer. Pemilihan fabrik yang betul seperti sutera, kapas, atau viscose sangat penting bergantung pada kesesuaian gaya.

Apa kata sekarang ini kita mendalami ilmu mengenali eco print (cetakan eco) batik pula. Eco print adalah teknik menghias fabrik menggunakan pigmen dan bentuk semula jadi daripada tumbuhan.

Proses mesra alam ini memindahkan warna dan corak daun, bunga, atau batang pokok ke atas bahan asas melalui kaedah susunan, tekanan, dan haba.

Heintje Nazaruddin bakal mempamerkan fesyen rekaannya yang dibuat menggunakan kaedah eco print sempena Eco-Fest 2026 pada September ini.

Menggunakan tumbuhan sebenar; tiada bahan pewarna kimia sintetik berbahaya yang digunakan. Setiap cetakan adalah satu-satunya di dunia. Corak bergantung pada tindak balas semula jadi daun. Paling berkesan pada fabrik serat semula jadi seperti kapas, sutra, atau linen.

Jika anda ingin melihat hasil seni eco print, jangan ketinggalan untuk hadir ke Festival Eco-Fest 2026, pada 4 hingga 6 September ini di Fahrenheit 88, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Festival yang menampilkan slogan ‘Think Sustainable, Act Responsible’ itu dianjurkan oleh Legasi Indah dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Acara itu bakal menghimpunkan penggiat industri seni dan budaya termasuk pereka fesyen serta kraftangan menerusi pelbagai aktiviti berteraskan kelestarian alam sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Pengasas festival yang juga pereka fesyen terkenal, Heintje Nazarudin berkata, penganjuran festival tersebut, bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan memelihara alam sekitar menerusi penggunaan teknik ‘eco print’, iaitu penghasilan fabrik menggunakan pewarna semula jadi daripada daun dan bunga.

Antara rekaan Heintje yang pernah dihasilkan.

“Di festival ini, pengunjung dapat melihat produk eco print, selain memberi pendedahan mengenai fesyen lestari yang mesra alam yang berpotensi menjadi produk pelancongan negara yang unik.

“Menariknya, sepanjang festival berlangsung, pengunjung berpeluang menyaksikan pameran pelbagai produk eco print termasuk pakaian, fabrik, aksesori, beg tangan dan kasut melalui pertunjukan fesyen yang menampilkan koleksi eksklusif daripada tiga pereka fesyen tempatan,” katanya.

Menurut Heintje lagi, acara tersebut juga akan dimeriahkan dengan pelbagai persembahan, pertandingan dan perarakan berskala besar bagi menarik perhatian pengunjung di sekitar Bukit Bintang.

“Selain pameran dan pertunjukan fesyen, kita juga menampilkan persembahan daripada penyanyi popular tanah air, termasuk pemain biola, Dr. Julian Lee.

“Festival ini juga terbuka untuk kanak-kanak kerana kita akan adakan pertandingan pencarian Dewi Rimba yang para pesertanya adalah kanak-kanak antara usia 7 hingga 13 tahun. Untuk pertandingan tersebut, mereka akan memakai pakaian-pakaian yang diperbuat daripada elemen fauna dan flora.

“Paling menarik pada hari Sabtu dan Ahad itu nanti, kita akan ada perarakan yang akan berarak di hadapan pancutan air Pavilion tu dengan paluan kompang dan sebagainya.

Sering terlibat dalam acara bertaraf antarabangsa.

“Saya percaya ia akan menarik perhatian orang ramai termasuk pelancong yang berada di kawasan itu untuk singgah dan melihat sendiri keunikan Eco-Fest 2026,” katanya penuh yakin.

Ujarnya lagi, sebanyak 16 vendor akan mempamerkan produk masing-masing sepanjang festival tersebut berlangsung.

“Designer yang akan sertai eco print ini adalah vendor yang terdiri daripada pelbagai produk eco print. Untuk fesyen show peragaan pakaian-pakaian daripada eco print ada tiga designer termasuk saya. Kita juga akan tampilkan model-model yang terdiri daripada Ratu Cantik untuk lebih menarik.

“Saya sendiri akan tampil dengan lapan design, ego print. Saya akan mengetengahkan koleksi eco print bertaraf antarabangsa bagi memperkenalkan fesyen lestari Malaysia ke peringkat dunia.

“Kita juga ada perancangan untuk membawa program ini ke Dubai tahun depan, insya-Allah kalau ada rezeki kita akan memasarkan produk eco print ini di ekspo Dubai. Itu kita punca perancangan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata Eco-Fest 2026 mampu mengangkat warisan negara sambil mempromosikan budaya, seni dan kelestarian selaras dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Saya yakin eco print merupakan satu produk yang boleh kita bangunkan untuk Malaysia, dengan harapan masyarakat berganding bahu mempromosikan produk ini, kerana ia juga mampu menyumbang kepada sektor pelancongan negara kita,” jelasnya yang berusia awal 60-an itu.

Bermula sebagai penari, kini Heintje berjaya meletakkan dirinya sebagai salah seorang pereka fesyen terkenal di dalam dan luar negara.

Insan yang dikurniakan pelbagai bakat itu mengakui beliau tidak pernah mendapat pendidikan khusus tentang dunia fesyen yang diceburinya hingga kini.

“Saya asalnya adalah seorang penari Kebudayaan di Kompleks Budaya Negara. Kemudian saya sertai RTM sejak awal 80-an dan bersama RTM kira-kira 20 tahun di bahagian hiburan. Banyak konsert, program Kebudayaan berbentuk moden dan banyak kali mewakili RTM sendiri untuk joint venture dengan negara-negara ASEAN untuk program besar.

“Saya dah terlibat lebih dari 300 program TV, konsert TV dan sebagainya. Selain menjadi koreografer di RTM, saya juga membantu untuk stylist kepada penyanyi-penyanyi yang terlibat dalam program hiburan.

“Kemudian saya menubuhkan kumpulan saya sendiri. Dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan Malaysia Airlines kita membuat promosi pelancongan ke luar negara. Hampir seluruh negara Eropah, Amerika Syarikat, Timur Tengah serta Asia saya dah pergi buat promosi..

“Sekarang ni saya banyak terlibat untuk Ratu-Ratu Cantik peringkat international. Contohnya, Miss Universe, Miss Global, Miss Global Asian, Miss Worldwide, Miss Asia dengan beberapa penganjur di dalam dan luar negara. Saya selalu diberi tanggungjawab untuk pakaian tradisional dan banyak kali menang juga.

“Saya dah design lama kerana sebagai koreografer dah mula design pakaian penari-penari saya. Saya juga adalah wedding planner untuk beberapa negara termasuk di Brunei. Masa Stacy dan Akim pun saya yang jadi wedding planner dia dan juga untuk Bella Daly,” cerita Heintje tentang pengalamannya.

Tambah anak ketiga daripada enam beradik yang berasal dari Kluang, Johor itu, sebaik tamat sekolah menengah beliau terus mengatur langkah ke ibu kota untuk menjadi seorang penari.

“Saya build up saya punya karier daripada seorang penari. Saya pernah juga bekerja di bank, syarikat swasta sebagai GM, sebagai Pegawai Kebudayaan di Telekom Malaysia dan beberapa lagi tapi itu semua tidak menepati kemahuan jiwa saya dan balik semula ke dunia saya.

“Sebagai seorang anak seni saya ingin melihat perkembangan seni baik daripada seni tari atau kreatif, kita dapat mengembangkan di Malaysia. Saya yakin di Malaysia kita mempunyai banyak aset dan kita harus tahu macam mana nak mempromosi, menggunkannya dan memasarkannya.

“Saya harap untuk eco print batik ini masyarakat dapat menerima dan dapat membantu usahawan yang pada masa ini bekerja keras untuk menaikkan dan mempromosikan produk eco print ini. Kita juga berkolaborasi melalui media sosial dengan pengusaha di Malaysia, Indonesia, Thailand dan India setakat ini.

“Sesungguhnya, saya bersyukur kerana dilahirkan dengan pelbagai bakat. Sekarang ini juga saya sebagai koreografer, wedding planner, designer dan saya juga sebagai MC di event-event tertentu dan saya juga menyanyi untuk event korporat.

“Kadang-kadang orang kata kita tamak sebab tapau banyak tapi kita tak dapat mengelak sebab Allah dah bagi kita bakat tu dan kita kena pandai menyalurkan kat mana saluran itu,” katanya dengan rasa syukur.